SEJARAH JAMBATAN SUNGAI SARANG BUAYA
| sejarah sg. balang | sejarah sarang buaya | jambatan sg. sarang buaya | sejarah sg. resik |
| kenangan sg. sarang buaya | rumah adat bugis |


Gambar jambatan Sarang Sg, Buaya yang lama. Di bahagian bulatan inilah dipercayai masih tertanam saki baki bom lama.

Jambatan Sarang Sg. Buaya yang baru, dibina pada tahun 1993

Pada awalnya Sungai Sarang Buaya hanya direntangi oleh jambatan yang diperbuat dari batang Nibung dan kemudian diganti dengan jambatan kayu pada tahun 1924, seterusnya jambatan ini boleh dilalui kenderaan seperti kereta, lori dan sebagainya.

Selepas itu pada tahun 1938 sebuah jambatan baru telah dibina dan kini jambatan telah dirobohkan kerana telah tamat tempohnya. Menurut Tn. Hj. Ali bin Niat (Allahyarham merupakan cicit pengasas Kg. Sarang Buaya) sewaktu pemerintahan Jepun, jambatan itu pernah diletakkan dengan bom dan getah keping untuk memerangi musuh yang melaluinya. Beliau menambah lagi bahawa beliau pernah bertugas mengeluarkan bom-bom tersebut setelah kedatangan British. Menurut beliau, lebih kurang 20 biji bom yang dapat dikeluarkan dan Tn. Hj. Ali bimbang jikalau masih ada saki baki bom tersebut di bawah jambatan sewaktu ianya diruntuhkan pada tahun 1993 untuk diganti dengan jambatan baru.

Berdasarkan cerita Tn. Hj. Naim (Bekas Ketua Kampung Kg. Sarang Buaya) Penghulu Kasbi yang telah sama-sama bergotong royong membina jambatan kayu pada pemerintahannya ada seorang yang mempunyai ilmu yang boleh menundukkan buaya. Kejadian ini berlaku sewaktu mereka menghadapi masalah merentengkan kayu. Tetapi secara tiba-tiba kayu telah terentang di hadapan mereka bagi memudahkan kerja mereka. Walau bagaimanpun mereka agak keberatan untuk memijaknya. Tetapi Penghulu Kasbi menasihatkan mereka agar memijaknya tanpa melihat ke bawah. Setelah selesai semuanya, mereka begitu terperanjat apabila mendapati kayu yang mereka pijak itu adalah merupakan beberapa ekor buaya. Sejak hari itu mereka mengetahui bahawa penghulu mereka mempunyai ilmu yang boleh menundukkan buaya.