KG. SUNGAI SARANG BUAYA
| sejarah sg. balang | sejarah sarang buaya | jambatan sg. sarang buaya | sejarah sg. resik |
| kenangan sg. sarang buaya | permainan kuda kepang | perlatan kuda kepang |
| pantang larang kuda kepang | rumah adat bugis |

Replika buaya yang tersergam tidak jauh dari simpang masuk ke Kg. Sarang Buaya Sungai Sarang Buaya mengalir deras.........

Kampung Sungai Sarang Buaya terletak di  Mukim Sungai Balang dalam daerah Batu Pahat. Kampung ini lebih dikenali oleh orang-orang Cina sebagai "Panglong" (sempena nama sebuah kilang papan) telah dibuka lebih kurang seabad yang lalu oleh Tahir bin Mohammad. Kampung ini dibuka atas cadangan Temenggong Seri Maharaja Johor pada masa itu iaitu Daeng Abu Bakar. Kampung ini dibuka sebelum kedatangan British iaitu pada tahun 1872.

Bak kata pepatah "Bagaimana acuan begitulah kuihnya". Disebabkan terlalu banyak buaya dalam sungai yang berdekatan dengan kampung ini maka dinamakan kampung ini "Kampung Sarang Buaya". Dalam jarak satu rantai sungai itu, kita boleh berjumpa kira-kira 5 hingga 8 ekor buaya. Buaya-buaya itu dikatakan sangat besar kira-kira 2 hingga 5 depa. Terdapat 2 jenis buaya dalam sungai tersebut iaitu Buaya Tembaga (kuning) dan Buaya Hitam. Pada musim panas, buaya-buaya ini akan naik ke tebing sungai untuk berjemur dan mengangakan mulut untuk menangkap mangsanya. Buaya juga dikatakan tidak mempunyai lidah, insang dan anak tekak. Buaya bernafas dengan menggunakan limau-limau. Selain itu reptilia ini mempunyai kelemahan iaitu tidak boleh menelan mangsanya di dalam air, tidak boleh menghadamkan tulang mangsa yang ditelannya dan tidak boleh melakukan apa-apa apabila kakinya terikat pada belakang badannya. Selain itu buaya akan segera mati apabila ditikam secara menyongsang dari belakang  iaitu dari bahagian bawah ekor hingga ke kepala terutama di bahagian leher.

Pada awal kehadiran reptilia ini dalam sungai, ia tidak menganggu keselamatan penduduk-penduduk di situ. Tetapi 'malang tidak berbau' dalam ketenangan dan kedamaian air sungai pada mulanya, ianya berubah apabila buaya mulai mengganas. Kanak-kanak bernama Kamariah telah terkorban dibaham buaya sewaktu sedang mandi di sungai bersama rakan-rakanya. Tragedi ini berulang apabila dua orang kampung terkorban dan seorang cedera. Mereka ialah Sardan bin Adam sewaktu sedang mengail dan seorang Cina sewaktu sedang kada hajat manakala yang cedera ialah En. Ismail yang cedera dimuka semasa sedang membasuh mukanya.

Dengan terjadinya peristiwa hitam ini, muncul dua orang yang berkebolehan untuk menangkap buaya. Sejak ada penangkap buaya, keganasan semakin berkurangan dan perasaan cemas serta takut penduduk berkurangan. Menurut Tn. Hj. Ali terdapat dua cara untuk menangkap iaitu cara "Alih" dan "Tempuling". Tempuling ialah ialah sejenis alat yang dibuat daripada sebatang buluh yang hujungnya diikat pada pisau toreh yang tajam dan pangkalnya diikat pada pelampung. Manakala Alih ialah sejenis mata kail yang besar yang dipasangkan umpan seperti ayam atau anak anjing yang akan menarik perhatian buaya untuk memakannya. Cara Alih biasanya untuk menangkap/membunuh buaya kecil manakala cara Tempuling untuk menangkap/membunuh buaya besar.

Kini dipercayai masih terdapat lagi buaya dalam Sungai Sarang Buaya. Ini terbukti apabila seekor anak buaya tersangkut di Pintu Air kampung ini pada tahun 1992.