RUMAH ADAT BUGIS (BALLA LOMPO)
| sejarah sg. balang | sejarah sarang buaya | jambatan sg. sarang buaya | sejarah sg. resik |
| kenangan sg. sarang buaya | permainan kuda kepang | perlatan kuda kepang |
| pantang larang kuda kepang | rumah adat bugis |


Gambar lama Rumah Bugis sewaktu masih berbumbungkan atap nipah


Bumbung rumah ini telah digantikan dengan zingpada 1993


Seni ukiran yang halus bertukangkan tangan terdapat di segenap ruang dalam rumah.


Rupa bahagian hadapan rumah


Peralatan dan barangan lama yang antik masih berkeadaan baik di letakkan di atas loteng rumah ini.


Kedudukan rumah dari tepi jalan besar Parit Jawa - Batu Pahat

Rumah ini menjadi tarikan webmaster ketika bertugas di SMK Pekan Baru selama setahun. Setiap kali pergi dan balik bertugas semestinya pandangan tertumpu ke arah rumah ini yang terletak di Km 19 Parit Pecah Muar. Sememangnya rekabentuk rumah ini amat unik. Melalui perbualan dengan rakan setugas, rumah ini sering dilawati pelancong kerana keunikannya dibina dari kayu Berlian tanpa menggunakan sebatang paku pun.

Rumah ini telah dibina kira-kira 100 tahun yang lalu oleh Tahir bin Daeng Mustapha. Beliau dikatakan dari keturunan Raja Bugis. Rumah ini dikenali sebagai 'Saroja' atau 'Balla Lompo' ataupun 'Bollo Lopo'. Dalam bahasa Bugis, 'Bolla' bererti rumah dan 'Lopo' bererti besar. Kesemua kayu yang digunakan untuk membuat rumah ini didatangkan khas dari Kalimantan Indonesia. Kayu Berlian ini dikatakan semakin baik apabila terjemur. Semakin panas semakin kuat!

Dalam rumah adat Bugis ini terdapat beberapa ruang. Di bahagian hadapan rumah ini terdapat satu ruang dipanggil 'Tamping' yang digunakan untuk menyambut tetamu. Di dalam ruang ibu rumah, terdapat satu set meja makan yang usianya sezaman dengan rumah ini. Ukiran-ukiran pada pintu dan tingkap masih asli dan terpelihara. Semua ukiran ini dibuat dengan tangan. Pada bahagian belakang terdapat ruang tengah rumah dan ruang "kelek Anak". Ruang tengah rumah adalah untuk kegunaan penghuni rumah. Selain itu terdapat sebuah loteng di ruang tengah ini. Pada zaman dulu, apabila seorang gadis telah bertunang, si gadis dikehendaki tinggal di loteng hinggalah hari pernikahan. Makan minum, mandi dan sebagainya dihantarkan ke loteng ini. Di atas loteng ini terdapat banyak barang-barang lama yang disimpan sejak zaman datuk dan nenek penghuni.

Di puncak bumbung rumah ini terdapat sebatang kayu yang dipanggil "tunjuk langit".Sementara di bahagian tepi sudut kaki bumbung ada bentuk ukiran kayu dipanggil "Salu Bayang". Ukiran ini melambangkan gambaran seekor ular atau naga yang kononnya menjadi penunggu rumah ini. Kesemua ukiran yang indah-indah pada dinding rumah, tingkap, pintu dinding bilik dan juga sekeliling bumbung adalah ukiran tangan seorang tukang ukir yang mahir di datangkan dari Sulawesi.