Berusaha Ke Arah Kesejahteraan
   

Pembimbing Rakan Sebaya

Program Pembimbing Rakan Sebaya secara formal diperkenalkan dalam tahun 1987 setelah dijalankan projek rintis di 4 buah sekolah di Petaling Jaya dan Wilayah Persekutuan.

Berasaskan kepada andaian bahawa remaja mempunyai pengaruh yang kuat terhadap rakan sebaya sama ada dari segi positif atau negatif, maka penulis berpendapat bahawa remaja berupaya mempengaruhi rakan secara
positif jika mereka dilatih dengan teknik-teknik bersahabat dan berkomunikasi dengan berkesan, di samping menjadi contoh teladan yang baik.

Hasil projek ini telah dibentangkan dalam seminar pertama Pembimbing Rakan Sebaya dalam bulan Januari 1987.

Peserta seminar telah sebulat suara bersetuju menggunakan nama Pembimbing Rakan Sebaya atau lebih dikenali sebagai PRS yang berpayung di bawah perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah.

Yang membezakan program PRS dengan program lain yang menggunakan pengaruh rakan sebaya ialah, PRS dilatih mengikut modul latihan yang terancang dalam bidang asas komunikasi dan kaunseling.

Tujuannya bukan menjadikan mereka sebagai kaunselor tetapi membekalkan mereka dengan kemahiran penting dalam perhubungan manusia. Guru kaunseling diberi tugas melatih mereka dengan lengkap sebelum mereka diiktiraf sebagai PRS.

PRS dilatih mengalami proses memahami, memotivasi dan menghormati diri sebelum mereka dapat membantu dan membimbing rakan-rakan mereka. Nilai-nilai murni seperti toleransi, hormat, menyimpan rahsia, bersikap positif dan sentiasa memajukan diri menjadi prinsip program ini.

Dalam bidang akademik, PRS dimestikan meningkatkan prestasi atau sekurang-kurangnya mengekalkan prestasi akademik mereka.

Melalui pencapaian akademik yang baik mereka berupaya membantu rakan bukan saja dalam mengatasi masalah emosi bahkan juga membantu diri dari segi akademik, jika diperlukan.

Dari segi psikologi, peringkat remaja merupakan peringkat yang paling berpengaruh dalam kehidupan mereka.

Mereka lebih rela menceritakan dan mencurahkan perasaan kepada rakan-rakan mereka dari ibu bapa, guru atau orang dewasa lain.

Pada peringkat inilah pengaruh rakan sebaya paling kuat dan paling diterima.

Oleh itu pendekatan yang logikal ialah menggunakan remaja ini untuk mempengaruhi remaja lain.

Program PRS dapat memenuhi hasrat ini dengan syarat mereka dilatih dan diselia dengan teratur.

Prinsip asas program PRS ialah Bantu Diri supaya Dapat Membantu Orang Lain menggalakkan PRS sentiasa meningkatkan diri dan bersikap positif.

Mereka merupakan contoh teladan yang baik kepada rakan sebaya dari segi akademik dan juga perhubungan manusia. Antara bidang latihan yang dititikberatkan ialah;

Membina perhubungan mesra dengan keluarga, rakan sebaya, sekolah dan masyarakat PRS disedarkan tentang kesan sikap, cara bercakap, nada suara, mimik muka, pilihan perkataan, dan bahasa bukan lisan tatkala berinteraksi dengan orang lain.

Kemahiran mendengar merupakan kemahiran penting bagi mereka untuk mendapatkan rasa hormat dan percaya dari rakan-rakan dan orang lain. Kemahiran ini menggalakkan PRS bersifat hormat, toleran, positif serta berfikir dengan matang.

Kemahiran asas kaunseling seperti mendengar dengan aktif, bertanya, memahami perasaan rakan, memupuk, menyimpan rahsia, serta membuat keputusan yang memberi manfaat kepada diri mereka. Dengan ini, rakan yang bermasalah berasa selesa untuk berkongsi kebimbangan dengan PRS dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik baginya.

Kemahiran berfikir dengan rasional, membina keyakinan diri, memimpin, bersifat asertif serta tidak mudah putus asa.

Melatih pelajar sebagai PRS bukanlah untuk menjadikan mereka sebagai penyelesai masalah rakan tetapi mereka memainkan peranan sebagai pendengar dan pembantu dalam perbincangan dengan rakan tentang kebimbangan mereka
serta menggalakkan mereka membuat keputusan yang bijak.

Remaja tidak begitu rela berbincang tentang masalah emosi atau peribadi mereka dengan orang dewasa seperti ibu bapa, guru dan orang dewasa lain.

Orang pertama mereka mengadu dan berkongsi perasan ialah rakan rapat mereka.

Di sinilah PRS boleh memainkan peranan membantu dengan merapatkan diri dengan rakan-rakan dan menjadi satu sumber penting bagi rakan mencurahkan perasan.

Disamping itu, di sekolah PRS boleh menjadi sebagai penyambung kepada khidmat kaunseling dengan berbincang dan menggalakkan rakan bertemu dengan kaunselor supaya masalah mereka dapat dibantu dengan lebih berkesan.

Hasil dari pengalaman menjadi PRS, mereka dapat mempelajari kemahiran berhubung dengan berkesan.

Melalui berinteraksi dengan rakan-rakan, PRS menjadi lebih matang berfikir dan berupaya menimbang buruk baik sesuatu tindakan.

Perkongsian pengalaman dan masalah rakan membantu mereka melihat diri sendiri dan bersyukur dengan segala anugerah Tuhan sambil menghargai ikatan kekeluargaan.

PRS juga menjadi lebih yakin dengan diri, bijak berkomunikasi dengan orang lain, lebih toleransi serta tidak berputus asa. Pengalaman sebagai PRS membantu mereka dalam membina perhubungan manusia yang sihat apabila
mereka bekerja dan menjadi lebih dewasa.

Walau bagaimanapun guru kaunseling yang melatih PRS perlu selalu menyelia mereka dan mengingatkan mereka bahawa sebagai pelajar mereka mempunyai tugas penting terhadap diri sendiri iaitu pencapaian akademik.

Mereka digalakkan membahagi masa supaya proses membantu rakan yang bermasalah tidak mengganggu masa pembelajaran mereka.

PRS juga perlu diingatkan bahawa faktor kerahsiaan sangat penting dan jika mereka bertemu rakan yang bermasalah rumit mereka harus merujukkannya kepada kaunselor.

Kepada guru-guru, PRS boleh menjadi pelajar yang dipercayai sebagai pemimpin dan pembantu.

Ini tidak bererti guru melepaskan tanggungjawab tetapi guru menjadi penggerak kepada sesuatu aktiviti, dengan PRS sebagai pembantu.

Ibu bapa pula akan mendapati anak-anak mereka menjadi lebih bertimbang rasa, matang dan bertanggungjawab. Kadang-kadang ibu bapa atau orang dewasa sendiri berasa senang menceritakan kemusykilan mereka kepada PRS.

Apa yang mereka perlukan ialah seseorang yang boleh mendegar curahan perasan mereka, faham perasan mereka pada masa itu serta berbincang dengan rasional tindakan yang boleh mereka ambil untuk mengatasi masalah yang
dihadapi. Pengalaman awal sebagai PRS di sekolah boleh menjadikan mereka sebagai pekerja atau ketua yang prihatin terhadap perasaan orang lain.

Sama ada seorang PRS itu berfungsi dengan baik atau tidak banyak terpulang kepada cara mereka dilatih, penyeliaan, pembantuan serta susulan kepada aktiviti mereka. Sebagai remaja, PRS masih perlukan bimbingan dan panduan
guru, terutama guru kaunseling.

Di samping itu, mereka sangat perlukan kata-kata perangsang dan bukannya cemuhan supaya PRS dapat membina keyakinan diri serta berupaya menerima teguran dengan positif. PRS tidak boleh dibiarkan terumbang-ambing selepas
mereka diberi tugas.

Pelajar yang dipilih menjadi PRS tidak semestinya terdiri dari pelajar bijak sahaja. Walaupun pelajar bijak mempunyai kemampuan yang lebih dalam mengimbangkan tuntutan akademik dan aktiviti sekolah, pelajar yang
sederhana atau lemah boleh dipupuk.

Kebaikan melatih pelajar lemah ialah, program ini memberi peluang kepada mereka mencungkil potensi diri dengan bimbingan guru kaunseling.

Menjadi PRS memberi mereka peluang diiktiraf dan secara tidak langsung meningkat kesedaran kepada pentingnya mereka meningkatkan pencapaian akademik supaya mereka dihormati dan dipercayai oleh rakan, guru dan ibu bapa.

Pelajar sederhana atau lemah lebih mudah dirapati oleh rakan-rakan mereka yang senasib dengan mereka tanpa berasa rendah diri. Malah pelajar yang bermasalah disiplin juga boleh dilatih sebagai PRS kerana mereka ini mempunyai pengaruh yang kuat terhadap rakan-rakan seperti mereka.

Melatih pelajar sebegini memerlukan kegigihan dan kesabaran. Modul latihan mereka juga berbeza dengan banyak menumpukan kepada pembinaan dan kesedaran diri.

Walau apa pun jenis pelajar yang dilatih menjadi PRS, jurulatihnya perlu lebih dedikasi dalam membentuk pelajar menjalankan tugas sebagai PRS supaya kepercayaan yang diberi tidak disalahgunakan. Program ini perlu
diaktifkan semula supaya pelajar mendapat manfaat dari latihan yang diberi dan pengalaman yang dihadapi.