KERETAPI MUAR
| keretapi muar | panglima lidah hitam | bukit kepong | puteri gunung ledang | tokoh agama |
| madrasah al haji taib | lembing Awang pulang ke Dayang | seri menanti |


Dahulu..........Kepala Keretapi Muar gagah memberi perkhidmatan kepada penduduk Muar bermula dari Bandar Maharani ke Parit Jamil. Perkataan 'MSR' bermaksud 'MUAR STATE RAILWAY'

Sekarang..........Tersemadi dalam sejarah. Kepala keretapi ini dipamer  kepada umum di Tanjung Emas Muar

Muar merupakan jajahan terbesar dan terpenting yang pertama dimajukan di negeri Johor. Daerah Parit Jawa pula merupakan daerah terpenting bagi Muar dimana penduduknya mengusahakan tanaman gambir, kelapa dan pinang pada abad ke sembilan belas.

Perjalanan dari Parit Jawa ke Bandar Muar pada waktu itu amatlah sukar. Perjalanan laut terpaksa menghadapi serangan dari lanun-lanun, sementara perjalanan darat pula tiada kenderaan dan jalan yang ada pula buruk keadaannya.

Pada 13 November 1887, Kerajaan Johor cuba menyelesaikan masalah ini. Satu rundingan diadakan diantara Residen Ungku Sulaiman dengan Dato' Bentara Luar yang pada masa itu berjawatan sebagai ketua Jabatan Tanah dan Hal Ehwal Pertanian Daerah Muar.

Dalam rundingan ini satu persetujuan telah dicapai dimana pembinaan keretapi akan dimulakan pada awal tahun 1889 dengan tujuan memberi kemudahan kepada penduduk di Selatan Bandar Muar dan memudahkan kepada para pelajar sekolah berulangalik ke sekolah Inggeris di bandar Muar secara percuma.

Pekerja yang terlibat dalam pembinaan jalan keretapi ini kebanyakannya terdiri dari orang Jawa yang berhijrah beramai-ramai ke Tanah Melayu. Ini adalah kerana orang Jawa ini tidak mempunyai sebarang kerja tetap semasa berada di sini dan hasil tenaga mereka yang murah. Antara tahun 1889 - 1890 disifatkan sebagai peringkat permulaan jalan keretapi dan pemasangan rel dan enjin yang dibekalkan dari Eropah.

Bentuk keretapi ini adalah seperti keretapi yang terdapat pada masa ini. Hanya terdapat sedikit perbezaan. Enjinnya menggunakan kayu arang dan tempat duduknya pula disusun berhadap-hadapan. Terdapat 8 buah gerabak. Lima daripadanya untuk penumpang dan tiga gerabak di belakang untuk pengangkutan barang. Bahagian penumpang terdapat kelas pertama, kedua dan ketiga yang sentiasa penuh sesak. Selain itu terdapat juga kelengkapan-kelengkapan yang lain. Setiap penumpang dikenakan bayaran sebanyak lima sen sebatu.

Keretapi ini mula mengadakan perkhidmatannya dari Jalan Sulaiman di Bandar Muar ke Parit Jawa pada tahun 1890. Pada tahun 1894 jalan keretapi ini disambungkan sejauh 3 batu lagi hingga ke Sungai Pulai. Keretapi ini menjalankan perkhidmatannya sebanyak lima kali dalam sehari.

Terdapat lima buah stesyen tetap dan lapan buah stesyen sementara di sepanjang perjalanan ini.

STESYEN TETAP STESYEN SEMENTARA
1.  Bandar Maharani Muar 1.  Parit Perupok
2.  Parit Bakar 2.  Parit Keroma
3.  Parit Jawa 3.  Parit Raja
4.  Parit Pecah 4.  Parit Unas
5.  Parit Pulai 5.  Parit Samsu
  6.  Parit Jamil
  7.  Parit Bulat
  8.  Parit Seri Menanti

Landasan Keretapi Muar melalui Parit Samsu. Kelihatan DYM Almarhun Sultan Ibrahim (Sultan Johor) memburu harimau di Kg. Parit Samsu pada tahun 1915. Berdiri dari kiri : DYM Almarhum Sultan Ibrahim, Orangkaya Hasran bin Abd Jabar (pembuka Parit Jawa), Mr. Brown (pengurus Ladang Tanjung Olak) dan Dato Abdullah bin Jaafar (Menteri Besar Johor). Duduk : Kapten Yahya bin Abu Talib

Perkhidmatan ini pada awalnya sangat menguntungkan. Terdapat beberapa faktor penting yang memajukannya umpamanya terdapat dua trem perkhidmatan dan kerana terhentinya jalan laut. Pada tahun 1915 pendapatan keretapi Muar ini mencapai sejumlah RM 86,701.92 berbanding dengan anggaran perbelanjaan sejumlah RM 63,216.77

Memandangkan kepada kemajuan ini DYM Sultan Johor bercadang untuk menyambung lagi sehingga ke Sungai Batu Pahat. Namun rancangan ini gagal kerana beberapa faktor kewangan dan faktor alam. Contohnya rel-rel yang terletak di kawasan tanah lembut (gambut) proses penambakan terpaksa dijalankan setiap kali trem melaluinya. Ini adalah merugikan.

Keuntungan dari perkhidmatan ini mulai merosot disebabkan kelemahan enjin dan juga proses membaikpulih stesen dan rel-rel yang menelan belanja yang besar. Pembukaan jalan raya "Jalan Abd. Rahman" yang menghubungkan Bandar Maharani Muar dengan Parit Jawa menghentikan terus perkhidmatan keretapi ini pada 1925.

Photo antik.......gambar diambil pada tahun 1890an. Lelaki yang duduk di belakang meja berbunga ialah Mr. John Campbell, Manager MSR yang berkerja dengan AlMarhum King Abu Bakar. Mr. John Campbell ialah warga Australia dan beliau dipercayai telah meninggal dunia di Muar pada sekitar 1900. Gambar ini dikirim oleh Judy Balcombe dari Adelaide Australia (Judy adalah cucu kepada John Campbell, dan beliau sedang berusaha mengesan dimanakah kubur datuknya ini) Lelaki Melayu yang berpakaian  Melayu lengkap ini tak pula diketahui samada beliau adalah Orang Kaya Muar atau hanya sebagai pelayan.