Tanda-Tanda Kematian
Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan ujud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini. Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara langsung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda.

Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya.

Adapun riwayat -riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hambaNya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT. Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus direntap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT.

Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan :

Tanda 100 hari sebelum hari mati.
Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan menggigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar.

Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat.Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati.
Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut.Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT.Maka malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa.Akan terjadi malaikatmaut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika.Adapun malaikatmaut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari sebelum hari mati.
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari sebelum hari mati.
Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi.Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam.Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari sebelum hari mati.
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir sebelum hari mati.
Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum.Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semoga kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari Allah SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita.Walaubagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang maha berkuasa lagi pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa tarikh mati seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun ianya adalah ketentuan Allah SWT semata-mata.Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semuga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah SWT samada di dunia mahupun akhirat.Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.

Wallahualam


Keberkatan Yaasiin

Ayat 9
Untuk keselamatan diri
Ayat 12
Merupakan Jantung Yaasiin - Rasulullah s.a.w. berharap ayat ini di hafal oleh setiap mukmin dan mukminat.
Ayat 13-35
Mengisahkan orang-orang yang mati syahid.
Ayat 22-23
Untuk menjaga aqidah Memberi hidayah kepada anak.
Ayat 29
Sebagai amalan untuk mengelakkan diri dari di fitnah dan kejahatan mulut.
Ayat 30
Untuk keinsafan - Supaya dapat dipertemukan dengan Allah s.w.t. (harus sentiasa berada dihati - beramal dengannya).
Ayat 32
Untuk menginsafkan orang lain supaya menjadi baik. Caranya: Ingat yang segalanya datang dari Allah s.w.t. Kita umat Muhammad, Kita orang Islam.
Ayat 33-35
Elok dijadikan amalan bagi sesiapa yang suka bercucuk tanam. Tanaman akan subur
Ayat 36
Menerangkan yang kehidupan ataupun kejadian di dunia ini dijadikan berpasang-pasangan. Ayat ini elok diamalkan bagi sesiapa yang belum berkahwin supaya di pertemukan jodoh. Caranya: Baca dan berdoa. Hembus dan sapu pada muka setiap pagi sebelum keluar rumah.
Ayat 37
Adalah untuk menetapkan hati - aqidah diri sendiri. Hati yang kering akan hidup semula.
Ayat 38
Mengisahkan yang bulan dan matahari pun sujud pada Allah s.w.t. yang satu.
Ayat 39
Mengisahkan ilmu falak.
Ayat 40
Merupakan kenyataan Allah s.w.t. yang satu.
Ayat 41
Mengisahkan Nabi Noh a.s. naik kapal - Elok di baca sewaktu menaiki kenderaan.
Ayat 44
Mengisahkan keseronokan hidup di dunia - Di baca untuk dijauhkan fitnah dalam hidup.
Ayat 45-48
Merupakan kedegilan orang kafir kepada Allah s.w.t.
Ayat 49
Menceritakan hari akhirat dan kehidupannya.
Tiupan 1 - Datang dengan tiba-tiba
Tiupan 11 - Hancur
Tiupan 111 - Semua orang hadir di Padang Mahsyar.
Ayat 50
Setiap orang akan dihisap mengikut amalannya.
Ayat 76
Dibaca untuk mententeramkan diri dari fitnah orang. Dijadikan amalan.
Ayat 78-79
Dikhaskan untuk sakit urat, tulang dan badan. Untuk doa bermula daripada Ayat yang bermaksud: 78. "dia berkata, Siapakah (yang dapat) menghidupkan tulang belulang padahal telah hancur? 79. Katakanlah, Yang akan menghidupkannya ialah yang menciptakannya pertama kali. Dan Dia Maha Mengetahui tentang segala makhluk."
Ayat 82
Untuk Hajat Caranya:
Sembahyang Tahajjud (3x) berturut-turut
Baca pada air (100x)
Dan berdoa apa sahaja hajat
Buah-buahan yang diceritakan dari dalam Al-Quran adalah:
Buah Zaiton - Elok untuk kulit
Kurma - Berkhasiat (memberi tenaga)
Delima - Dalam sebiji buah ada sebutir biji yang menjadi penawar ubat yang mujarab
Ad Tin - Memberi kekuatan - tenaga, fikiran lemah, tidak boleh beranak.
Wallahualam.


Tabiat Orang Kita

Agaknya pada orang kita, sikap paling sukar diubah ialah besar diri apabila sudah berada di tempat atas. Walaupun bukan di tempat teratas, asalkan ada orang bawahan, sudah cukup membuatkan sesetengah orang kita berasa megah. Jika hendak digambarkan melalui pepatah, seperti kera mendapat bunga-mungkin yang paling sesuai. Segala-galanya perlu dipatuhi dan tindak tanduk jangan sesekali dipertikaikan. Jika ada yang berani bersuara, pasti akan disenarai hitamkan. Sudahnya, orang bawah tidak berani angkat muka bukan kerana hormat tetapi meluat. Di depan mengiyakan apa saja tetapi di belakang, tidak cukup sumpah seranah dihamburkan. Rasanya tidak salah orang kita yang berada di atas menghormati dan bertimbang rasa pada orang bawahan. Sesekali ingatlah, tanpa orang bawah, kita tidak akan berada di atas.

Tidak rugi berbaik-baik dengan orang bawah. Setiap kali disebut kebaikan yang dibuat, bukankah pahala balasannya? Tambah-tambah lagi di doa pula kesejahteraan oleh orang bawah. Pasti rezeki berlipat kali ganda.

Namun jarang sekali berjumpa dengan orang atas yang begitu. Yang selalu didengar ialah bos itu, bos ini, bos begini. Mungkin tidak semua yang keluar daripada mulut orang bawah itu benar belaka tetapi jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Satu kisah seorang Hamba Allah pekerja kilang. Setiap pagi dan petang orang besar di kilang itu, seorang rakyat jepun akan pergi kepada setiap pekerja sambil mengucapkan selamat pagi dan selamat petang dalam bahasa Melayu.

Iya, dia mengucapkannya kepada semua pekerja walaupun sekadar menjadi operator pengeluaran. Dengan senyuman manis, dia ramah bertanyakan khabar setiap pekerja.

Keramahannya itu tidak pula diambil kesempatan oleh pekerja sebaliknya mereka menjadi semakin hormat kepadanya. Tidak ada kutuk mengutuk sebaliknya pujian yang selalu diberikan kepada orang jepun itu. Apa sudah jadi pada kita, orang Melayu yang selalu gah dengan adap sopan Timur tetapi tidak begitu tidak begitu jadinya apabila sudah berada di atas. Kita juga perlu ingat yang hidup ini umpama roda. Hari ini kita di atas dan dengan izin Tuhan, sekelip mata sudah berada di bawah.

Kita juga manusia yang akan sentiasa membuat dosa samada secara sedar atau tidak. Apa salahnya kita beringat, setinggi mana pun pangkat di dunia ini, apabila meninggal dunia nanti, yang dibawa cuma kain putih yang tidak semahal mana. Ditanam di dalam kubur, silap haribulan, orang bawahan yang selalu kita peras dan tekan itu pula yang memijak tanah. Memanglah sebagai orang atas besar kuasa tetapi besar juga tanggungjawab. Kebajikan orang bawah perlu dijaga.

Jangan pula dianiaya kerana doa orang teraniaya itu dimakbulkan Tuhan. Berbaik-baiklah dengan orang bawah, barulah mendapat keberkatan dan kesejahteraan.

Bukan dipuji di depan, tetapi di belakangnya dimaki hamun dan diumpat keji.


[ Index ] [Aluan Pengetua] [ Pengenalan ] [ Kemudahan ] [ Makmal Pengajaran.. ] [ Perpustakaan ]
[ Hotlink ] [ Dokumentasi ILK ] [ Aktiviti ]