Sembunyi Ibu

Tempat lain mungkin berbeza nama permainan ini tetapi di kampung aku permainan ini dipanggil SEMBUNYI IBU. Apa yang pernah didengar ada yang memanggil sebagai main sorok-sorok atau aci sorok. Sembunyi ibu ini tidak memerlukan alat untuk memainkannya. Hanya perlu ada kekawan yang ramai. Lagi ramai lagi best. Permainan ini tidak boleh dimainkan di padang tetapi boleh dimainkan di halaman rumah yang ada tempat boleh sembunyi. Lebih seronok kalau dimainkan di dalam hutan. Untuk memainkannya kita memerlukan RUMAH atau IBU. RUMAH atau IBU hanyalah sebatang tiang atau sebatang pokok.

Undian

Sebelum permainan dijalankan, kesemua pemain akan akan diundi untuk menjadi pencari yang mencari kengkawan yang bersembunyi. Undian dibuat samada secara lai lai li tam plong atau cabut batang lidi dan macam-macam lagi cara undian yang dibuat. Siapa yang kalah dalam undian akan menjadi PENCARI.

Undang-Undang Dan Cara Permainan

PENCARI hendaklah berdiri dengan menutup matanya di RUMAH atau IBU dengan mengira mengikut kiraan yang ditentukan oleh PENCARI. Kekadang tu sampai 10 jer. Tak sempat nak cari 'port' nak sembunyi. Setelah selesai kiraan dibuat, pencari akan mula mencari kengkawan yang menyorok disekitar kawasan yang telah ditetapkan. Walaupun kawasan tempat menyorok telah ditetapkan, akibat dari kenakalan kanak-kanak, ada yang sembunyi dalam rumah sehingga sukar ditemui. Kawan tu siap makan, tidur dan tengok TV kat rumah tetapi pencari tak menemui kawan yang sorang ni. Nilah yang menyusahkan orang. Tak guna punya kawan. Lepas tu ada yang tukar-tukar baju pulak. Sipencari hanya nampak baju tetapi tak nampak mukanya, maka disebutnya nama orang yang pakai baju orang lain.

Sekiranya pencari telah menjumpai salah seorang dari kengkawan yang menyorok tadi, pencari hendaklah menyebut nama kawan yang dia nampak dan hendaklah pergi ke RUMAH atau IBU dan mencuit pada RUMAH atau IBU dan sebut IBU. Jikalau pencari tak sempat mencuit RUMAH atau IBU dan kawan yang ditemui sampai dulu dan mencuit RUMAH atau IBU terlebih dahulu, maka pencari hendaklah mencari kawan yang lain pulak untuk menggantikan dirinya sebagai pencari. Ini biasanya terjadi bila kawan yang ditemui tu kuat lari. Pencari hendaklah mencari kesemua kengkawan yang sembunyi sehingga kesemuanya habis ditemui.

Pantang Larang

Permainan ini juga mempunyai pantang larangnya tersendiri. Permainan ini dinasihatkan agar jangan dimainkan di waktu senja sebab kata orang-orang tua 'nanti disorok hantu kopek'. Alamatlah sampai si pencari mati tak jumpalah kawan yang disorok hantu kopek tu. Tetapi sebenarnya waktu itu dah masa nak masuk waktu maghrib, tak elok main lagi waktu maghrib. kalau tak sembahyang pun, hormatilah waktu maghrib dan orang yang nak sembahyang. Itulah sebabnya pantang larang ini diwartakan.

BACK NEXT