ANALISA SAHAM


Analisis asas adalah analisis yang dijalankan terhadap asas-asas ekonomi, industri dan syarikat. Analisa ini lebih dikenali sebagai Pendekatan EIS, iaitu asas-asas ekonomi, industri dan syarikat akan dikaji secara berperingkat mengikut sistem piramid.

Analisa ekonomi akan dikaji secara umum dengan memberi penekanan kepada pembolehubah yang mempengaruhi ekonomi sesebuah negara dalam tempoh tertentu. Dalam pelaburan saham, pembolehubah khususnya keluaran negara kasar yang mengukur kadar pertumbuhan ekonomi sesebuah negara akan diambil kira dalam menentukan kedudukan dan prospek ekonomi negara tersebut.

Di Malaysia, sektor korporat sentiasa menanti dalam debaran tentang belanjawan negara yang dibentangkan pada Oktober setiap tahun. Para ahli asasi akan meneliti dasar kewangan dan dasar fiskal kerajaan kerana ia memberi kesan kepada BSKL. Sebagai contoh, dasar kewangan yang ketat akan menyekat aliran pasaran modal dan akan menyebabkan kadar faedah naik. Sebaliknya pula dasar kewangan yang longgar akan membebaskan aliran pasaran modal dan akan menyebabkan kadar faedah turun.

Dasar fiskal pula lebih berkaitan dengan sistem pencukaian kerajaan sebagai sumber hasil terbesarnya. Melalui dasar ini,kerajaan boleh merangsang pertumbuhan ekonomi dengan memberikan kredit pelaburan dan mengurangkan kadar pencukaian. Dari sudut lain, kerajaan boleh melembapkan pertumbuhan ekonomi dengan membekukan kredit pelaburan dan menaikkan kadar pencukaian. Tetapi kerajaan tidak boleh melaksanakan salah satu alternatif dengan meninggalkan alternatif yang satu lagi. Lazimnya kerajaan akan mengadunkan kedua-dua alternatif mengikut keadaan dan secara berperingkat. Sebagai contoh, apabila ekonomi begitu pesat berkenbang, lazimnya akan disusuli oleh kenaikan kadar inflasi yang ketara. Apa yang membimbangkan ahli-ahli ekonomi ialah kenaikan kadar inflasi yang tidak boleh dibendung akan menyebabkan kenaikan mendadak kadar faedah dan seterusnya munkin akan melumpuhkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara seperti yang berlaku di Malaysia pada tahun 1998.

HOMEPAGE
Sumber: Pelaburan