Soalan oleh kil_kenny: Apa pendapat ko kalau ader anak m'sia yg nak cuba nasib kat US..?? Apakah kriteria yg perlu... Apakah bidang yg mempunyai peluang cerah kat sana... ( dalam IT sajer..??) kena betui² power ke..?? Mungkin tenaga mereka diperlukan kat sini... tapi diowang juga nak merasai apa yg ko dah rasa... nak carik peluang lebih.. kalau dapat... Jawapan: Keadaan ini bukanlah satu keadaan yang menakjubkan, malah merupakan perkara yang agak biasa. Cuma mungkin hanya tukangtaip seorang saja yang masuk akhbar dan mempunyai profile yang tinggi. Di tempat tukangtaip kerja, ada seorang lagi orang Malaysia yang kerja sebagai programmer (mungkin buat ASP). Dan di kilang kereta lain, ada seorang rakan tukangtaip yang berasal dari Kelantan. Di forum sembang.com ini sekalipun tukangtaip difahamkan ada dua-tiga orang lain yang bekerja di luar negara. Belantara kerja di Silicon Valley, California; dan Merah kerja di United Kingdom. KA kerja di Philadelphia, Pensylvania, kalau tak silap. Mungkin mereka kurang menonjol saja. Bidang IT yang cerah di sini ialah bidang yang 'mencipta', contohnya programming. Bidang-bidang yang tidak mencipta, contohnya maintenance, administrative, kurang cerah kerana ramai rakyat Amerika yang sudah berkelayakan. Petikan dari majalah Wired, keluaran Disember 2000: Peruntukan untuk visa H1 (permit kerja) di USA telah dipertingkatkan ke 195,000 setiap tahun. Namun tahun ini saja, sebanyak 850,000 peluang pekerjaan di bidang IT masih mengalami kekosongan. Jadi dari segi peluang untuk bekerja di US, insyaAllah peluang pekerjaannya tetap ada. Tetapi cabaran yang paling sukar untuk diatas ialah bagaimana untuk mendapat kemasukan ke US itu sendiri, yakni untuk mendapatkan permit kerja itu. Di sinilah terletaknya kepentingan kita fasih berbahasa Inggeris, kebolehan berkomunikasi dengan berkesan, serta mempunyai skill yang kompetitif dengan orang-orang lain di negara maju. Selebihnya adalah apa yang dipanggil rezeki. Kita juga biasanya memerlukan pengalaman [profesional sekurang-kurangnya 3 tahun dalam bidang yang kita ceburi. Kalau anda mempunyai skill yang tukangtaip sebutkan di atas, anda mempunyai peluang dan mungkin tukangtaip boleh tolong referkan anda kepada syarikat tukangtaip. Setakat ini tukangtaip sudah dapat menolong seorang rakan tukangtaip bekerja di San Francisco, California. Adakah hidup di USA ini glamour? Tidak semestinya. Banyak cabaran yang harus kita tempuhi terutama yang telah berkeluarga. Bukan mudah untuk adjust kepada keadaan di sini. Rata-rata, tukangtaip lebih suka dengan masyarakat di Malaysia yang peramah serta lemah-lembut. Bila tukangtaip balik bercuti hari tu, tukangtaip dapat rasakan perbezaannya. Banyak adjustment yang perlu dibuat, dari perkara yang kecil sehinggalah perkara yang besar. Contohnya, toilet di sini tak gunakan paip air... jadi anda kenalah 'kreatif'. Pintu toilet pula, adalah setinggi lutut dan terdapat pembukaan yang cukup luas untuk membolehkan orang luar mengintai ke dalam. Anda kenalah belajar untuk selesa dengan keadaan macam ni. Banyak lagi benda, contohnya pemakanan -- anda tak boleh main makan- makan saja di restoran kerana terdapat isu halal/haram. Jadi hidup di sini tidaklah glamour. Cuma, sebagai seorang programmer, gaji anda biasanya memampukan anda hidup dengan selesa dengan rumah yang baik serta kereta yang baik. Bagi tukangtaip, perkembangan intelek anak-anak juga menjadi faktor penting. Tukangtaip inginkan mereka supaya membesar di negara orang supaya mereka mendapat pandangan yang luas bila mereka dewasa kelak. Tetapi pada masa yang sama mereka membesar dalam keadaan yang agak terkawal agar tidak melupakan tatasusila sebagai orang Islam dan orang timur. -Tukangtaip- http://www.hazman.com