Portal tip seni beladiri

TAKTIK TENDANGAN SUKAN TEMPUR TAEKWONDO


Dalam sukan tempur Taekwondo, tendangan paling kerap mencipta markah adalah tendangan layang (turning kick). Walaupun demikian, ramai yang tidak dapat mengunakannya dengan efisyen dan gagal mencipta markah.

Masalah yang kerap timbul untuk mencipta markah dengan tendangan ini adalah jarak. Kalau anda menyerang lawan dengan tendangan, lawan setakat melangkah ke belakang dan tendangan ini tidak mengenai sasaran. Manakala kalau anda yang diserang dulu dan anda melangkah ke belakang sebelum menyerang balas dengan tendangan ini, tendangan ini tidak sampai kepada lawan ataupun lawan sempat mengelak. Kalau anda menyerang balas dengan tendangan ini sebaik sahaja lawan menyerang pula, kerapkali lawan yang mendapat markah.

Ini dapat ditangani dengan sedikit footwork dan keberanian. Tendangan ini amat berkesan digunakan semasa menyerang balas. Apa yang perlu anda lakukan adalah mengubah kekuda anda dulu. Kekuda asas Taekwondo adalah kaki kiri di depan. Sekarang tukarkan kepada kaki kanan di depan pula. Keluasan kekuda juga perlu diubah. Keluasan kekuda asas Taekwondo untuk sparring adalah seluas bahu. Sekarang luaskan kepada dua kali bahu. Anda juga perlu mengalihkan berat badan lebih sedikit ke depan. Apa yang anda ada sekarang adalah kekuda dengan kaki kanan di depan dan seluas dua kali bahu serta berat badan lebih sedikit ke depan.

Untuk aplikasi, anda perlukan seorang pasangan sparring. Biarkan pasangan anda itu berada di depan anda. Anda tidak perlu kisah samada kaki kanannya berada di depan ataupun di belakang. Yang penting kekuda anda seperti sebelum ini sambil menjaga jarak supaya tidak terlalu jauh atau terlalu dekat. Anda boleh suruh dia menendang sesuka hatinya.

Sebaik sahaja dia menendang ke arah bahagian tengah badan anda, sebelum tendangannya mengenai anda, apa yang anda perlu lakukan hanyalah menarik kaki kanan anda ke sisi kaki kiri anda. Kaki kiri anda jangan sesekali melangkah ke belakang. Hanya dengan menarik kaki kanan begitu, tendangannya tidak akan mengenai anda. Pada masa yang sama lihat bahagian mana badannya yang terdedah. Kalau dia menendang dengan kaki kanan, bahagian badannya yang terdedah adalah di kanan anda. Anda hanya angkat kaki kanan anda dan menendangnya dengan kaki kanan anda. Kalau dia menendang dengan kaki kiri, bahagian badannya yang terdedah adalah di kiri anda. Anda hanya angkat kaki kiri anda dan menendang dengan kaki kiri anda. Tendangan anda pasti mengena.

Rasional taktik ini adalah anda hanya perlu mengelak setakat supaya tidak terkena tendangan lawan tetapi anda masih berada dalam jarak yang dekat untuk menyerang balas. Dengan taktik ini, anda dapat menendang lawan anda sebelum kakinya sempat jatuh ke bumi lagi. Dia tidak dapat mengelak selagi kedua-dua kakinya tidak berada di bumi.

Berat badan yang berat sedikit ke depan bertujuan untuk mengumpan lawan. Dengan berbuat begitu, lawan akan berasa yakin dia dapat menendang anda tanpa menyedari niat sebenar anda. Anda boleh jatuhkan tangan depan anda ke sisi badan anda ataupun dalam keadan bersedia seperti biasa untuk tujuan mengumpan ini.

Kaki kiri tidak berada di depan kerana kaki kiri agak lemah dalam menendang. Apabila kaki kiri berada di belakang, kekuatan tendangan kaki kiri dapat ditingkatkan kerana momentum yang terhasil daripada pusingan pinggang anda. Kaki kanan pula berada di depan kerana kaki kanan tetap kuat menendang walaupun berada di depan.

Walaubagaimanapun, jangan terlalu asyik menggunakan taktik ini takut nanti lawan anda dapat menyedari apa yang anda mahu lakukan dan dia akan lebih berhati-hati.

Selamat berjaya!


Kembali ke indeks