NWR(A) Papa..diriku tetap bersama mu...

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua warga RJ walau di mana pun anda berada.

Bahagian 1

Setelah membaca hasil nukilan Puan KMJ (IDWR - Sakit strok, ingin berkongsi bersama <bU> bertarikh 21 Mei 2003), terpanggil pula saya untuk berkongsi pengalaman saya dengan papa saya yang telah diserang stroke yang juga dikenali sebagai angin ahmar 5 bulan yang lalu. Pengalaman saya bersama papa selama 5 bulan ini banyak mengajar saya tentang kehidupan sebenar dan juga telah mengajar saya erti kesabaran dan erti pengorbanan.

Tanggal 13 Januari 2003 telah mencatatkan berbagai-bagai peristiwa bagi kami sekeluarga. Dua hari sebelum itu, kami sekeluarga, mama, papa, adik saya dan saya berada di Segamat, Johor. Pada masa itu, Ibu saudara saya yang menghidap kanser rahim (saya pernah menceritakannya di RJ suatu ketika dulu) sedang sakit tenat. Pada hari Ahad malam, 12 Januari 2003, papa pulang terlebih dahulu kerana panggilan tugas dari pejabatnya. Keesokkan harinya ibu saudaraku kembali ke rahmatullah. Ketika kami menelefon papa untuk memberitahu berita tersebut, papa telah memberitahu kami bahawa dia berasa tidak sihat. Tangannya berasa kebas. Kami pun bertanya sama ada papa dah ke klinik….dan adakah papa ingin kami pulang? Papa menyakinkan kami bahawa dia dah pun pergi ke klinik dan dia okay. Pada malam tersebut, ketika tahlil baru bermula, kami mendapat panggilan telefon mengatakan bahawa papa dah tak boleh jalan. Kakinya kebas. Adik bergegas pulang ke Port Klang. Saya berpesan kepada adik untuk menyampaikan khabar papa sebaik sahaja dia sampai nanti. Jam 4 pagi, saya telah menerima sms dari adik. “Papa doesn’t look okay. He can’t walk.” Saya membalas sms adik memintanya membawa papa ke hospital dan kami akan bertolak pulang sebaik sahaja selepas subuh. Sebelum bertolak dari Segamat ke KL, saya menelefon adik. Adik dah pun dalam perjalanan untuk membawa papa ke hospital. Menurut adik, ketika adik sampai awal pagi tersebut, papa tak boleh nak bangun untuk buka pintu. Papa cuba untuk berjalan seperti biasa tapi asyik terjatuh.

Sepanjang perjalanan dari Segamat ke KL, hati kami tidak tenang. Saya cuba menenangkan mama yang sememangnya sudah menangis tak berhenti. Mama baru sahaja kehilangan adiknya dan kini suaminya pula sedang dikejarkan ke hospital dan dia pula tiada disisi suami tersayang. Saya memahami perasaan mama di ketika itu. Mungkin inilah dugaan bagi kami sekeluarga dan juga dugaan bagi mama sebelum dia berangkat ke tanah suci Mekah untuk mengerjakan haji. Di dalam pada itu, saya telah menerima panggilan telefon dan sms dari kawan-kawan yang memberi semangat untuk saya. Kalau nak diikutkan hati, memang saya panik dan susah hati pada masa itu. Lutut merasa lemah, namun begitu, saya gagahkan hati untuk terus memandu ke KL. Apabila kami sampai di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), papa baru sahaja di bawa pergi ke unit radiologi untuk di’scan’. Adik kata proses MRI (scanning) itu akan mengambil masa 45 minit. Menurut penjelasan doktor, papa diserang ‘mild stroke’. Bahagian kanan papa tidak boleh berfungsi seperti biasa. Doktor menjelaskan yang papa telah lewat ke hospital, oleh itu keadaan papa agak teruk. Apabila seseorang itu diserang tanda-tanda awal stroke, dia hendaklah dikejarkan ke hospital secepat mungkin. Doktor menjelaskan bahawa setiap 1 minit lambat, sebanyak beberapa ribu sel otak yang akan mati. Pada masa itu, kami hendak menyesal pun sudah tidak berguna. Kata orang sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Memang kami akui bahawa kami tidak ada pengetahuan langsung mengenai stroke dan juga tanda-tanda awal stroke. Sekiranya kami tahu bahawa papa sebenarnya diserang stroke, dah pasti kami akan bertindak cepat.

Apabila kami naik ke bilik papa, papa sudahpun berada di dalam bilik. Pada masa itu, saya nampak muka papa amat bengis sekali. Muka papa senget…mata dan mulutnya telah seakan-akan jatuh. Speech papa pun tak berapa jelas. Saya cuba bercakap dengan papa tapi papa asyik memarahi kami semua malahan jururawat-jururawat di situ juga turut dimarahinya. Kami tak berapa faham apa yang papa marahkan. Saya membiarkan papa sejuk. Tapi papa begitu juga…asyik marah-marah. Adik telah bertanya kepada jururawat apa yang telah terjadi semasa di unit radiologi. Menurut mereka, Papa tak dapat habiskan proses MRI kerana papa ‘claustrophobic’. Papa tidak tahan berada di suatu tempat yang kecil dan sempit. Untuk proses MRI, pesakit diminta untuk berbaring dan tidak boleh bergerak semasa dia melalui suatu ‘terowong’. Masa melalui terowong itu juga ada bunyi bising. Papa mengadu yang dia tak tahan sebab sejuk sangat kat dalam tu dan bunyi bising. Tujuan doktor melakukan MRI ke atas papa ialah untuk memeriksa sekiranya ada bahagian lain yang ada ‘blood clot’ yang menyebabkan stroke.

Petangnya, ramai saudara-mara dan sahabat handai yang datang melawat papa. Sahabat-sahabat rapat saya juga telah datang melawat papa serta datang untuk memberi semangat kepada saya untuk menghadapi papa. Malamnya, mama dan adik menemani papa di wad. Selama papa berada di wad, saya dan adik bergilir-gilir menemani mama menjaga ayah pada waktu malamnya. Keesokkan paginya, sewaktu doktor datang ke bilik, dia menjelaskan bahawa walaupun selepas doktor habis memeriksa papa, saya dan adik dipanggil ke luar bilik untuk diberi penjelasan tentang papa. Menurut doktor, terdapat ‘damage’ pada bahagian otak papa dan ada blood clot. Damage yang ada itu adalah kesan daripada kemalangan kecil yang berlaku 3 bulan dahulu. Sewaktu papa sedang memandu, tiba-tiba papa gelap mata dan papa telah melanggar tembok di bahu jalan. Pada masa itu, Alhamdulillah papa tidak cedera. Kereta teruk juga dibahagian depan. Papa diberi ubat untuk mencairkan blood clot yang ada.

Setiap hari, kami dapati keadaan papa tidak ada kurangnya. Malah, tangan kanan papa yang pada mulanya boleh digerakkan sikit-sikit kini langsung tak boleh digerakkan pada hari ketiga. Pada malam itu, papa tidur di atas tilam di atas lantai sebab dia kata katil tu tak selesa. Sejuk sebab air-cond direct. Memang masa di wad, papa asyik bergaduh tentang sejuk dan panas. Papa asyik kata bilik tu sejuk sangat padahal yang kami rasa bilik tu panas sebab kami dah off air cond. Kadang-kadang bila kami rasa sejuk pula, papa akan kata yang bilik tu panas. Setiap hari, memang topik sejuk dan panas menjadi topik untuk kami bergaduh. Keesokkan paginya papa cuba bangun dari lantai tapi papa tidak boleh bangun. Papa hanya mampu duduk. Saya dan mama cuba membantu papa tapi kudrat kami berdua tidak cukup kuat untuk membantu papa bangun. Kami memicit loceng untuk memanggil jururawat tapi sorang pun tak datang. Untuk pertama kalinya setelah 3 hari, papa tidak memarahi kami apabila kami tak dapat menolongnya untuk bangun ke bilik air. Papa berpaut pada kaki katil dan saya cuba mengangkat badan papa untuk bangun namun tidak juga berjaya. Akhirnya papa merangkak ke bilik air. Saya tak dapat menahan air mata daripada mengalir pada ketika itu. Hati saya merasa sebak dan sedih melihat papa merangkak ke bilik air. Apabila papa dah hampir sampai ke bilik air, barulah seorang jururawat datang ke bilik kami. Dia membantu kami untuk bangunkan papa dan memapahnya ke bilik air.

--------------------------

Return to Susanna's Little Corner