coolman.gif (3646 bytes)Antologi Kerusi ( Sajak )

ani_blulineA1C2.gif (11170 bytes)

Pengenalan Kepada Sajak.

  1. Sajak ialah suatu bentuk karangan berangkap atau puisi baru atau moden yang lebih bebas.
  2. Puisi ini dipersembahkan dalam rentak dan baris-baris yang tidak dihadkan.
  3. Baitnya disusun mengikut keperluan isi. Bentuk yang bebas daripada bentuk puisi Melayu lama disebut sebagai sajak bebas.
  4. Sajak dapat dibahagikan kepada beberapa bentuk atau jenis mengikut kandungan dan jumlah barisnya. Ini kerana sajak-sajak yang dihasilkan oleh penyajak adalah mengikut kehendak penyajak itu sendiri.

Ciri-Ciri Sajak

  1. Tema.
  2. Tema ialah pokok persoalan yang menjadi isu utama yang dikemukakan oleh penyajak. Tema mungkin ; gambaran masyarakat, perjalanan diri menyajak, pernyataan cinta terhadap alam/manusia, semangat perjuangan, agama atau budaya.

  3. Unsur Bahasa.
  4. Bahasa merupakan media untuk menyampaikan perasaan, pemikiran dan pengalaman jiwa. Bahasa yang digunakan dalam sajak bukan bahasa harian, malah juga melibatkan penggunaan pelbaga unsur bahasa seperti:

    1. Personifikasi.
    2. Metafora.
    3. Simile.
    4. Perulangan.
    5. Hiperbola.
    6. Inversi.
    7. Perlambangan.
  5. Unsur Bunyi.
  6. Rima.
  7. Imejan.
  8. Nada.
  9. Simbol / Lambang.

Sajak : Tingkatan 5

Keindahan Yang Hilang

I

Sayup-sayup undan tua berlagu hiba

Terbang beriringan di rembang petang

Renik-renik mengirai bulu carik

Melayan satu-satu berbaur debu

Lesu berapungan di air lalu.

Daun-daun menghijau alangkah segar

Kemilau danau disinar mentari

Kali tenang betapa lembut mengalir ke muara

Kedamaian melingkar rimba

Lalu tumpah kasih nan jernih

Erat bertaut cinta kasih.

Malam hiba dadanya ungu luka

Pungguk tersedu pilu di atas batu

Bulan tiada lagi mendandan wajah

Bintang malam pudar sinarnya.

 

II

Orang bicara bulan bintang di makmal

Pada buku, data dan komputer

Lalu bulan dan cakarawala bisa diteroka

Bisa kembara di planet dan angkasa.

Undan patah sayap gugur bulunya bertaburan

Suara siapa parau mendera di malam lara

Kali tenang tiba-tiba airnya bengis melanda

Kepada siapa anak-anak kota desa berhutang nyawa?

III

Bulan kini bukan lagi menara kasih jernih

Bintang-bintang bukan lagi saksi sumpah kekasih.


HURAIAN SAJAK "KEINDAHAN YANG HILANG".

Bahagian 1:Memaparkan keaslian dan keindahan alam semula jadi yang mula menerima perubahan daripada kesan pembangunan moden.

Rangkap 1 ; memaparkan kehidupan burung-burung laut yang semakin pupus kerana pemcemaran laut.

Rangkap 2 ; memaparkan kesegaran dan kehijauan tumbuhan,keheningan tasik dan ketenangan air sungai yang indah bebas daripada pemcemaran, membei kedamaian kepada kehidupan manusia.

Rangkap 3; penyajak menyingkap kedukaan alam sekitar,dicemari perubahan waktu dan kehidupan manusia yang semakin maju, sinar bulan dan bintang yang tidak lagi menjadi sumber keindahan malam dan suara pungguk tidak lagi kedengaran.

Bahagian 2:

Rangkap 1 ; Menerangkan kecanggihan teknologi moden menerokai alam dan cakerawalanya. Kemajuan ini membolehkan manusia mengkaji kejadian alam melalui buku dan data-data dalam komputer. Manusia telah mempu untuk menerokai angkasa lepas dan menjejakan kaki di bulan.

Rangkap 2; Memaparkan kesan penerokaan teknologi kepada manusia. Pencemaran alam sekitar di laut, di bumi dan di sungai berpunca daripada pembangunan moden yang tidak mengambil kira kepentingan menjaga keaslian alam sekitar, malapetaka yang mengamcam nyawa seperti banjir dan jerubu daripada tindakan manusia sendiri

Bahagian 3:

Dua baris dalam rangkap ini membawa maksud bahawa manusia hari ini tidak lagi menghargai keindahan alam semulajadi. Arus membangunan dan teknologi moden tidak lagi melihat bulan dan bintang sebagai lambang keindahan dan kedamaian manusia.


ULASAN : 

PENGENALAN

Shamsuddin Jaafar (penyajak) telah mengambarkan keindahan dan ketenangan alam semula jadi telah dikocakkan oleh arus pemodenan yang dibawa oleh teknologi. Ia juga mendorong pembaca memikirkan kesan daripada pemerkosaan teknologi terhadap alam

 TEMA

Cinta kepada keamanan dan kedamaian alam semula jadi.

NADA

Sajak ini bernada protes penyajak terhadap alam sekitar yang terabai dan tercemar akibat daripada pembangunan yang tidak terancang. Penyajak juga melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sikap manusia yang tidak lagi menghargai keaslian dan keindahan alam sekitar. Penyajak juga bimbang bencana yang akan menimpa manusia akibat daripada teknologi yang dicipta oleh manusia.

BENTUK

6 rangkap – bentuk bebas.

 

NILAI & PENGAJARAN

Tanggungjawab menjaga alam sekitar – Tugas ini memerlukan sokongan semua pihak. Kita perlu menjaga alam sekitar walaupun mengejar kemajuan kerana isi alam mempunyai fungsi tersendiri kepada kehidupan manusia dan haiwan.

Prihatin dan kasih sayang – Perasaan kasih sayang dan perihatin bukan sahaja perlu sesama manusia tetapi juga terhadap alam dan keindahannya. Pengajarannya, jika sifat ini wujud dalam setiap manusia mereka tidak akan memusnahkan isi alam dengan sewenang-wenangnya.

Kecanggihan ilmu dan teknologi perlu digunakan bagi memakmurkan dunia untuk kepentingan kehidupan manusia dan kehidupan yang lain tanpa memudaratkan persekitaran dan isi alam ini. – Kita boleh menerokai alam tetapi jangan merosakkannya kerana bancana akan menimpa sekiranya kita leka.


wpe1.jpg (2883 bytes)

Di sini aku pulang

Tempat bersekolah dan dibesarkan

Lewat padang Speedy

Terus ke Durian Sebatang

Semuanya kini terasa kecil mengimbau rindu.

Dan kenangan.

 

Rangkap 1 ; menceritakan kepulangan penyajak ke kampung kelahirannya di Durian Sebatang. Dalam perjalanan beliau melawati sekolah tempat dia belajar dan padang Speedy tempat dia bermain. Kepulangannya mengimbau nostalgia penyajak ketika zaman persekolahannya yang lalu
Di sini anak belasan tahun

Mulai mengenal cinta dan ilmu

Pengorbanan ayah dan emak

Keakraban teman dan pengelutan

Detik itu mengambang bagai mimpi

Sewaktu kulewati kota kecilku ini

 

Rangkap 2 ; Di kampung kelahiran dan sekolah tempat beliau belajar itulah petani belajar serti kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa dan menimba ilmu daripada guru-gurunya. Penyajak juga terkenang kembali akan gurau senda rakan sepermaianan ketika masih berada di kampung dahulu.

Sesaat tiba di muka sekolah

Telah lama kutinggalkan

Kini sudah berubah

Teras sepi

Suara guru yang memberikan markah

Pada pangkat pertama

Buat si anak desa

Dan ayahku tak berkata bangga.

 

Rangkap 3; Penyajak mengunjungi sekolah lamanya yang kini telah berubah. Penyajak terkenang kembali suara guru yang mengajarnya sehingga berjaya mendapat pangkat pertama yang dianggap pencapaian terbaik anak kampung pada masa itu. Penyajak juga terkenang bagaimana ayahnya tidak menunjukkan sebarang perasaan bangga di atas kejayaannya
Di sinilah anak desa

Mengenal dunia

Di kota kecilnya

Padang Speedy

Dan Durian Sebatang

Meski berubah pandangan

Mengimbau rindu dan kenangan, Sayang.

 

Rangkap 4; Penyajak sedar bahawa kehidupannya bermula di kota kecil, Durian Sebatang. Sekarang penyajak tidak lagi tinggal di kampung kelahirannya yang telah banyak perubahan tetapi dia tetap mengingati kampung halamannya walau di manapun beliau berada sekarang

ULASAN:

Baha Zain telah memapar nostalgia 'tempat bersekolah dan dibesarkan' dan tempat 'mulai menganal cinta ilmu' beliau semasa zaman remaja di kampung halamannya.

TEMA

Sajak ini bertemakan cinta kepada kampung halaman yang telah lama ditinggalkan. Ia berkait rapat dengan pengalaman peribadi penyajak yang menyatakan perasaan rindunya kepada kenangan hidup zaman remaja dan persekolahan di kampung.

NADA

Sajak ini bernada romantis di mana keseluruhan sajak ini menggambarkan perasaan rindu dan tenang apabila berada semula di kampung halaman tempat kelahirannya.

BENTUK

4 rangkap – sajak bebas.

 

NILAI DAN PENGAJARAN

  1. Mengenang budi dan jasa
  2. Nilai yang digambarkan - jasa dan pengorbanan ayah, ibu dan gurunya. Setiap pengorbanan dan budi yang diterima perlu dikenang,dihargai dan diingati.

  3. Mencintai kampung halaman
  4. Penyajak sangat mengasihi kampung kelahirannya, walaupun telah menetap di kota. Hal ini menjadikan pengajaran kepada kita supaya tidak lupa asal usul diri walau di manapun kita berada.

  5. Kasih sayang
  6. Bersifat universel dan boleh mengasihi tanah air sendiri. Sifat ini perlu dipupuk dan disemai dalam jiwa setiap individu supaya sayang kepada tanah airnya.

  7. Ilmu mengangkat martabat diri

     Penyajak merupakan seorang pelajar yang berjaya di kampungnya. Kejayaan ini tidak menjadikan ayahnya bangga kerana kebijaksanaan bukan untuk dibangga-banggakan. Ketinggian ilmu harus seiringan dengan moral yang baik supaya kita menjadi insan yang sejahtera.

 


wpe3.jpg (2428 bytes)

Semua hadir

pada tempatnya

semua berlalu

pada waktunya.

Rangkap ini merupakan penafsiran penyajak tentang sejarah. Sejarah akan terukir pada bila-bila masa dan tidak mengira tempat. Sejarah akan terus tercatat selagi dunia dan manusia masih wujud.

 

Diktator dijatuhkan,

penipu diketemukan dengan tipuannya,

dan kau yang mengaku benar

juga akan tenggelam,

batu pada sungai merah,

yang menempatkan segalanya.

 

Penyajak menyatakan sejarah banyak mencatat peristiwa kejatuhan pemerintah yang zalim,jahat dan menipu mendapat balasan daripada apa yang dilakukannya sendiri. Siapa yang mengaku berkuasa dan angkuh akhirnya akan musnah. Banyak pemimpin negara yang dijatuhkan oleh rakyatnya sendiri apabila api kemarahan terhadap kezaliman yang berlaku membuak dalam dada rakyat yang tertindas. Ini kerana rakyat yang mengangkat mertabat seseorang pemimpin.

 

Walaupun akan surut juga

air peristiwa,

tapi detik ini maha penting,

saat-saat ini menjadi ruang

untuk makna dan pilihan.

 

Walaupun sejarah terus berlalu dan silih berganti tetapi bagi penyajak catatan sejarah hari ini amat penting kerana pemilihan seseorang pemimpin hari ini akan memberi kesan kepada sejarah yang akan berlaku pada masa hadapan.

 

Walaupun aku kerdil,

pada ukuran keutamaan,

namun untuk ruang dan masa ini,

untuk hidup ini

kugerakkan pernyataan

kewujudanku.

 

Penyajak bersikap sinis terhadap golongan yang meremehkan sejarah yang sepatutnya dijadikan iktibar dan perbandingan. Hal ini kerana sejarah merupakan pernyataan kebenaran apa yang telah berlaku. Penyajak ingin menyakinkan pembaca bahawa kewujudan sejarah penting bagi kehidupan manusia seterusnya.

 

Dan kau diktator

pada tempat dan akal sempit,

perancang di belakang pintu,

pemisah golongan

untuk perhambaan

mesti berdepan dengan kami,

kerana sejarah itu simpang-siur,

kita ciptakannya bersama.

 

Penyajak sekali lagi menyatakan bahawa kuasa-kuasa besar yang menindas dan mengadu-domba golongan yang lemah untuk kepentingan mereka, perlu berdepan dengan kebenaran. Sejarah membuktikan bahawa kehidupan ini sering berubah dan berputar, yang kuat akan menjadi lemah dan yang lemah hari ini akan berkuasa pada masa akan datang. Oleh itu, manusia merupakan pengukir sejarah.

Muhammad Haji Salleh telah memberi definisi sejarah dalam sajak beliau. Selain daripada itu, beliau juga menyatakan sejarah tidak boleh disekat dan menyatakan kebenaran, sejarah tidak berbohong serta kita boleh belajar dari sejarah.

TEMA

Sajak ini mengemukakan tema nasionalisme yang bersifat kesejagatan. Tema ini diungkap melalui persoalan yang melibatkan kepentingan diri, bangsa, tanah air dan dunia amnya.

NADA

Sajak ini bernada protes yang menggambarkan sikap penyajak yang tidak puas hati terhadap situasi yang berlaku di dunia ketika ini. Penyajak menyampaikan kesalnya kepada pemimpin yang tidak belajar daripada sejarah silam dan masih terus melakukan kuasa kuku besi.

BENTUK

Lima rangkap - berbentuk bebas.

 

NILAI DAN PENGAJARAN

  1. Menghargai sejarah.
  2. Catatan sejarah yang berlaku perlu dihayati kerana ia dapat memberi kita peringatan dan pengajaran sejarah silam akan berulang jika kita tidak mengambil ikhtibar daripada peristiwa yang telah berlaku.

  3. Setiap perbuatan akan menerima pembelasan.
  4. Pemimpin akan jatuh kerana kezaliman sendiri tercatat dalam sejarah dunia. Mereka menipu akan terjerat dengan tipu helahnya sendiri. Perlakuan negatif begini perlu dihindiri supaya kita tidak menerima kesan buruk daripada perbuatan sendiri.

  5. Hormat-mengharmati sesama manusia.
  6. Manusia mempunyai peranan masing-masing. Sepatutnya tidak berlaku sikap tindas-menindas sesama manusia,jika ada rasa hormat menghormati antara satu sama lain.

  7. Sentiasa berhati-hati dan waspada.

        Kita perlu berhati-hati terhadap tipu helah manusia, sejarah mencatatkan banyak kemusnahan           berlaku kerana sikap manusia yang lalai dan terburu-buru.


wpe4.jpg (2899 bytes)

Pentafsir, sebenarnya telah lama kucari

suaramu yang sarat

ke mana jatuhnya gema itu ?

Di manakah tempat istirehat

setelah pengembaraan yang penat

di manakah telah kaurakamkan

pertemuan matahari, rimba dan lautan?

Penyajak membuat pernyataan bahawa dia telah lama mencari arah dan kebenaran dalam kehidupan tetapi masih belum ditemui. Penyajak masih mencari-cari di manakah penghujung kehidupan setelah melalui kehidupan yang panjang. Usia yang semakin bertambah menyebabkan penyajak hampir terlupa peristiwa-peristiwa silam yang dilaluinya.

Senja ini menemuiku

dengan lusuh catatanmu

angin sedang cuba mengoyak-ngoyakkan lembar-lembar buku

sedang aku belum ketemu

surat yang kautuliskan padaku.

Sewaktu usia semaikin tua, penyajak melalui kehidupan mengikut arus takdir yang ditentukan. Pertambahan usia memberi peringatan kepada penyajak bahawa sisa-sisa usia semakin singkat,tetapi penyajak merasakan masih tercari-cari petunjuk yang benar daripada pencipta-Nya.

Telah hilangkah ia

atau kau tidak pernah menulisnya

ah, aku tidak bisa tidur dan melupakan

racun keresahan telah membunuh lenaku

sejak kudahagai penawar dalam lautan

nota-notamu kiranya terdampar dalam angin

yang ragu yang tidak mengenal arah

tiupannya angin tanpa sabar yang telah

melunturkan kehijauan dalam keriangan

masa kecilku.

Penyajak menjadi keliru dalam mencari petunjuk ilahi dan hakikat kebenaran kehidupan ini. Penyajak diburu resah oleh sejarah silam kehidupannya yang beronak dan berliku. Setelah menemui petunjuk jalan kebenaran, penyajak mula sedar kesilapan dan kelalaiannya yang menyimpang daripada petunjuk ilahi. Selama ini penyajak hanyut tanpa arah mngikut arus waktu yang berlalu. Dia berasa kerugian kerana membiarkan masa mudanya begitu sahaja tanpa berusaha mengenal Tuhannya.

Pentafsir, musim telah berlalu tua

kaca jendela menjadi kelabu

dan aku telah lesu

untuk menari bersama bayang-bayangmu

senja pun semakin larut

lembar-lembar menjadi semakin kuning

apakah aku harus mengebumikan buku-buku

ini di samping pusaramu yang sepi.

Usia penyajak semakin tua, penglihatannya semakin kabur dan tubuh menjadi semakin lemah, tetapi penyajak berusaha untuk mendapatkan perlindungan dan keredaan Tuhan dalam kehidupannya yang semakin singkat. Penyajak ingin meninggalkan semua kejahilan dan melupakan sejarah silamnya. Namun begitu dia masih ragu akan penerimaan Tuhan terhadap keinsafan dirinya.

Hentikan ejekanmu

biar kupecahkan kaca ini melihat keluar.

Lalu mengenal rumpun-rumpun yang redup

adalah pengakuanmu,

Tuhanku! yang menjernihkan mataku.

Rangkap terakhir memperlihatkan penyajak menyatakan keyakinan untuk keluar daripada keraguan dan kesangsiannya. Penyajak membuat tekad dan menyerah diri mencari keredaan Tuhan untuk mencari ketenangan jiwanya.

 

Zurinah Hassan membicarakan tentang seseorang yang hilang arah setelah lama menghirup kehidupan.

TEMA

Sajak ini bertemakan keagamaan yang diungkap dalam persoalan pencarian penyajak terhadap kebenaran dan kesucian ajaran agama.

NADA

Sajak ini bernada melankolik hasil daripada perasaan sedih pilu dan keinsafan penyajak terhadap perlakuan dan kelalaiannya daripada mengingati dan mengenali Tuhannya ketika usia mudanya. Pada usia lanjut, penyajak mula mencari kebenaran yang mengakui keagungan Tuhan.

BENTUK

5 rangkap - sajak bebas.

 

NILAI DAN PENGAJARAN

  1. Keinsafan.
  2. Setiap manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Menginsafi segala kesalahan dan kembali kepada kebenaran adalah satu tindakan yang mulia.

  3. Beriman dan bertakwa.
  4. Memperkukuhkan keimanan dan takwa kepada Tuhan akan menjadikan jiwa kita tenang dan bahagia tetapi jika kita mengabaikan nilai iman dan takwa, kita akan hanyut dalam kehidupan yang sia-sia.

  5. Kesabaran dan ketabahan hati.
  6. Dalam kehidupan kita yang panjang tentu banyak pencaroba dan dugaan yang terpaksa ditempuh. Oleh itu, jiwa kita harus kuat, sabar dan tabah menerima takdir yang ditentukan dan terus berusaha untuk mendapat petunjuk yang benar daripada ilahi.

  7. Mencari ilmu agama.

        Pengetahuan agama amat penting kepada seseorang individu kerana dengan kemantapan ilmu           agama sahaja kita akan mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.


wpe5.jpg (3098 bytes)

Telah kurangkumkan rebah setiaku

Pada setiap pilu dan rindu

melayang dan mengembang ke hayat gemilang.

Sejak itu tidak kukesal lagi

Goda dan duga

di gerimis senja.

 

Penyajak menyatakan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada negaranya yang tercinta. Penyajak berharap negaranya akan terus berkembang maju dan sejahtera setelah melalui perjuangan yang panjang untuk mencapai kemerdekaan daripada belanggu penjajah. Namun begitu penyajak tidak berasa kesal atas segala pahit getir dalam perjuangan.

 

Telah kupahatkan lelah umurku

Pada setiap kerikil dan debu

datang dan menghilang

ke hujung kenang.

Sesudah itu tidak kukenal lagi

hampa dan derita

di guruh pagi.

 

Penyajak telah menyerahkan jiwa dan raganya kepada perjuangan untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada pelbagai percerobohan yang datang silih berganti,segala kesukaran dan kepayahan itu tetap tersimpan dalam liputan sejarah. Setelah negara merdeka, penyajak tidak lagi mahu kecundang dalam tanggungjawab mengisi kemerdekaan negara yang tercintanya.

 

Gerimis senja guruh pagi

adalah titipan maya

bakal kukongsikan hati

mengukir tadbir di ruang gemanya.

 

Rangkap ini merupakan tafsiran penyajak terhadap suka duka dan payah getir dalam perjuangan, merupakan perkara biasa yang perlu dihadapi dengan kekuatan dan ketabahan jiwa. Penyajak memberi pengakuan akan menyerahkan kesetiaan dan jiwa raganya demi sama-sama membangunkan negara yang dicintainya.

 

 

Dharmawijaya cuba melahirkan sebuah sajak perjuangan yang tercinta pada tahun 1981. Penyair menyatakan kesetiaannya tidak berbelah bagi pada Malaysia dan cintanya yang tidak perlu disangsikan pada negaranya.

TEMA

Sajak ini bertemakan semangat perjuangan yang memberikan penekanan kepada harapan tinggi penyajak terhadap negaranya.

NADA

Sajak ini bernada patriotik yang dihubungkan dengan perasaan cinta dan kesetiaan penyajak kepada negara.

BENTUK

3 rangkap – berbentuk bebas.

 

NILAI DAN PENGAJARAN

  1. Kesetiaan
  2. Nilai kesetiaan bukan terbatas kepada hubungan sesama manusia sahaja tetapi juga merujuk kepada kesetiaan kepada negara dan tanah air. Kesetiaan penyajak yang tidak berbelah bahagi kepada negara perlu menjadi contoh yang baik kepada generasi muda.

  3. Pergorbanan dan perjuangan
  4. Membela tanah air daripada ancaman musuh merupakan sifat yang mulia dan menjadi tanggungjawab semua warganegara.

  5. Kerjasama dan perpaduan
  6. Semua pihak perlu diperkukuhkan untuk membangunkan sebuah negara yang maju berjaya.

  7. Kecekalan dan ketabahan

        Setiap perjuangan akan berdepan dengan banyak cabaran. Oleh sebab itu, kita perlu tabah dan           cekal apabila berdepan dengan masalah dalam perjuangan.


wpe6.jpg (3186 bytes)

Pada batang bongkok
semarak api tua ini
ia tambatkan perahu hidup
di tebing lalu-lalang
di Lumpur sungai manusia

Memaparkan latar tempat tukang gunting mencari nafkah iaitu di bawah sebatang pokok semarak api yang telah tua dan condong, di sebuah kota yang sibuk.

Dengan sebilah gunting
sebuah cermin sompek
sebuah sisir rongak
dan bangku kaki tiga
ia ukir nafkah keluarganya

Penyajak menjelaskan peralatan yang digunakan oleh tukang gunting untuk menjalankan kerjanya seperti sebilah gunting, sebuah cermin, sompek,sebuah sisir rongak dan sebuah bangku berkaki tiga. Gambaran peralatanyang digunakan oleh tukang gunting yang begitu uzur, menjelaskan kedaifan hidup tukang gunting yang tidak mampu untuk membna sebuah pondok yang lebih selesa untuk dijadikan tempat mencari nafkah.

Seperti semarak api
begitulah bersemarak hatinya
seperti bunga semarak api
gugur di tanah
begitulah berbunga denyutnya
terkumpul di darah

Penyajak membuat perbandingan antara pokok semarak apidengan kegigihan dan semangat tukang gunting untuk terus berusaha membina kehidupannya. Tetapi seperti bunga smarakapi yang berguguran,masih banyak lagi harapan dan cita-cita tukang gunting yang tidak kesampaian.

Sementara pelanggan tiba
ia duduk di hadapan cermin
menyikat remajanya
dan merapikan tuanya
dengan sisir rongak

Penyajak menggambarkan apa yang dilakukan oleh tukang gunting pada waktu lenggang ketika tiada pelanggan. Tukang gunting duduk bersendirian menghadap cermin tuanya. Ketika itulah ia mengenang nostalgia masa remajanya yang telah berlalu satu demi satu. Tukang gunting berazam memperlengkap kehidupan hari tuanya alaupun dengan sisa tenaga yang semakin kurang.

Pada batang bongkok ini
semarak api tua ini
ia tambatkan masa depan
empat orang anak
serta isteri setianya.

Penyajak memaparkan betapa bermakna dan pentingnya sebatang pokok semarak api yang telah tua itu kepada tukang gunting, kerana di situlah tempat dia meletakkan harapan untuk mencari rezeki bagi membiayai kehidupannya dan menyara isteri dan empat orang anaknya.

T. Alias Taib menulis sajak yang mengisahkan seorang tukang gunting yang mencari nafkah untuk menyara diri dan keluarganya di tengah-tengah kehidupan kota raya yang penuh cabaran.

TEMA

Sajak ini bertemakan kehidupan dan permasalahan yang dihadapi oleh masyakarat golongan rendah di tengah-tengah kesibukan dan pembangunan kota-kota besar. Masalah kemiskinan masih wujud di celah-celah kemajuan kota.

NADA

Sajak ini bernada sinis terhadap nasib seorang tukang gunting iaitu golongan bawahan yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada mana-mana pihak untuk membantu tukang gunting memperbaiki taraf hidupnya.

BENTUK

5 rangkap - sajak bebas.

 

NILAI DAN PENGAJARAN

  1. Kegigihan dan kerajinan.
  2. Usaha yang berterusan perlu diamalkan oleh setiap orang. Kejayaan tidak akan dapat dicapai tanpa sifat tekun dan rajin, umpamanya tukang gunting tetap berusaha walaupun sudah tua.

  3. Kecekalan dan ketabahan.
  4. Nilai ini digambarkan dalam diri tukang gunting. Dia tetap cekal dan tabah menjalani kehidupan yang sukar demi mencari rezeki untuk meneruskan hidupnya. Hal ini perlu dijadikan contoh oleh generasi muda.

  5. Kasih sayang dan tanggungjawab - Nilai murni ini digambarkan secara tersirat dalam sajak ini. Tukang gunting amat bertanggungjawab sebagai ketua keluarga dan amat menyayangi anak-anak dan isterinya. Oleh itu, hal ini memberi pengajaran supaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik terutama ketua keluarga.

Nota : Sila rujuk buku teks; Kementerian Pendidikan Malaysia & Dewan Bahasa dan Pustaka (2000).  Antologi Kerusi - Teks Kesusasteraan Melayu Sekolah Menangah Tingkatan 5, m.s 10 - 22  untuk dapatkan sajak -sajak berkaitan dengan lebih tepat. Kemungkinan sajak-sajak tersebut mempunyai kesalahan ejaan.