Pengakuan Penyair

MEMILIH SUNYI DAN MENJADI PENYAIR:
MENCARI INTI DARI HIDUP YANG FANA
Oleh
MARSLI N.O

SEJAK kecil, saya memang menggemari sunyi dan bersendirian. Selalunya, selepas sekejap mencampuri riuh berteman sebaya, saya memilih untuk merayau sendirian di dalaman hutan kecil di pinggir kampung, berenang di lopak atau berakit melayan imaginasi masa kanak di tali air yang membelah sawah. Ketika bersunyi dan bersendirian begini, saya nikmati kelasakan serta ghairah masa kanak dengan rasa seronok yang tidak terperi.

Setelah mulai beranjak remaja dan belajar menafkahi diri dengan keringat sendiri, makna sunyi itu semakin dimengerti. Segala resah dan galau perasaan ketika mendepaninya, semakin cepat mendewasakan diri dan mengajar makna hidup sebagai manusia.

Kesunyian dan kesendirian juga mengajar diri betapa segala duga hidup perlu dihadapi dengan jiwa kekar dan tidak ada ertinya segala riuh jika hidup akhirnya hanya disendati angin semata. Di tengah nyata hidup, diri semakin mengerti betapa tidak ada gunanya terlalu menonjolkan diri jika tampilnya sekadar menjadi badut atau bagaikan parasit menumpang kukuh pihak lain..

Kerana itulah, ketika berada di tengah dunia seni serta sastera yang sentiasa heboh ini, diri memilih hanya akan datang atau muncul bila dirasakan benar-benar perlu dan kemudian akan dengan segera pula menghilang bila sudah menyelesaikan tugasnya.

Sehingga kini pun, diri masih tetap ingin menyendiri dan malah sering juga dengan sengaja memilih untuk bersembunyi dan kalau muncul juga di mana-mana, selalu jauh di dasar sanubari, terpercik di dalam diri sedikit rasa malu dan tersipu-sipu.

Semua ini lantaran amat menyedari betapa sebagai makhluk Tuhan, diri ini sebenarnya bukanlah apa-apa jika dibandingkan dengan sejumlah nama lain yang terlebih dahulu muncul dan tentu saja jauh lebih banyak serta bernilai segala bentuk sumbangan seni serta sasteranya.

Malah diri juga menyedari dan selalu meletakkan hakikat dirinya hanyalah sebagai seorang yang bukan apa-apa jika dibandingkan dengan segala kekuasaan dan kemasyhuran yang lebih hakiki di dunia sementara ini, sebagai seorang yang anonim, yang tidak merasa begitu perlu untuk meminta segala pujian mahupun sanjungan yang berlebih-lebihan.

Namun begitu, bila dirasakan benar-benar perlu serta mendesak, diri yang ingin menyendiri dan sering juga dengan sengaja memilih untuk bersembunyi ini boleh jadi juga akan tiba-tiba bangkit berteriak atau membentak untuk menyatakan sikap dan pendapatnya terhadap sesuatu isu atau peristiwa yang khusus melibatkan diri serta masyarakat bangsanya.

Pertanyaan demi pertanyaan yang bergaung di dalam jiwa, gugahan demi gugahan yang bertalu-talu mendesaki perasaan serta fikiran akhirnya membuatkan diri boleh menjadi lupa dengan sekelip mata akan rasa malu dan tersipu-sipunya. Lalu bersama bahang semangat, segala tumpuan fikir serta perasaan, diri melayani pergulatan peribadinya sebagai seorang seniman.

Namun, untuk dapat bangkit berteriak atau membentak menyatakan sikap dan pendapat, serta mengajak diri terus menyedari hakikat akan pergulatan emosi serta fikirannya sebagai seniman, diri sebenarnya telah memilih sekian jumlah manusia sebagai “guru”. Dari mereka, sama ada secara langsung mahupun tidak banyak yang dipelajari dan sekaligus sedikit cuba diteladani.

Kalau pun tidak semua, sedikit sebanyak pengetahuan seni diri terbentuk dan terbias dari pengalaman perguruan ini. Sekaligus juga diri cuba membentuk sifat dan kediriannya sendiri. Agar betapa pun sekadar anonim, namun dirinya tetaplah juga sebutir titik di tengah peta sastera yang kadangkala dikumali debu dan warna yang entahkan apa ini.

Tetapi kerana manusia tetap punya kelemahan dan rasa besar dirinya yang keterlaluan, ternyata untuk selamanya memilih manusia sebagai guru juga bukanlah jalan yang terbaik. Sering pada saat atau ketika tertentu, manusia yang pernah dianggap sebagai guru ini menjadi sebaliknya pula. Begitu juga manusia yang pernah bergelar sahabat. Bukan mustahil dalam sekelip mata atau kerana kepentingan lain juga boleh berubah menjadi serigala atau ular.

Kerana itu, pengalaman dan buku (yang terpilih) menjadi guru berikutnya yang lebih dapat dianggap tidak terlalu banyak kembali meminta imbalan dan balasan dari diri. Pengalaman yang pada zahirnya seolah membisu selalu menghantar isyarat dan petunjuk. Melalui buku pula, luas ilmu serta khazanah hikmahnya sentiasa tidak habis untuk ditelaah dan dihayati.

Lalu sekali lagi proses untuk bersembunyi dan menyendiri itu berulang. Di tengah dunia yang galau dan bising ini, diri berasa lebih tenteram bersunyi. Bukan kerana membenci tetapi kerana dengan sengaja memilih untuk mencari hanya inti dari hidup yang amat singkat ini dan cuba mengisinya dengan sesuatu yang dapat dianggap bererti.

Dengan harap, setidaknya bila tiba waktu untuk berangkat, telah ada secuil yang telah ditinggal dan yang secuil ini setidaknya, menjadi tanda bahawa si pemilik hidup sementara ini tidak menyia-nyiakan waktunya hanya dengan heboh dan alpa sentiasa.

Lantaran mahu mencari inti inilah maka diri memilih puisi. Melalui puisi, diri dapat meneruskan sunyi dan sekaligus merenungi persekitaran diri serta persoalan dunia yang melingkungi dirinya.

Di tengah dunia sunyi dan bersendirian yang memang sengaja diciptanya ini, diri cuba mengajak akal menelusur secara saksama segala galau dan resah diri, atau menelaah dan berdialog dengan jiwa dan perasaanya mengenai segala peristiwa yang merongrong dunia dan sesekali cuba bercermin pula dari peri dan tingkah manusia.

Berpuisi itu memang dunia yang sunyi. Tetapi kesunyian itulah yang selalu dicari. Kerana hanya dengan sunyi sajalah diri berkesempatan untuk merenung. Hanya dengan merenung dan bersunyi, diri berasa kembali memperolehi hakikatnya sebagai sebatang tubuh yang masih punya roh dan bukan semata-mata sebatang jasad yang tidak bererti sebagai apa pun. Dengan merenung dan bersunyi juga, diri yang kecil ini berharap semoga tidak akan selamanya hanyut dan sama terseret di tengah segala sebok serta kebisingan dunia, sehingga melupakan asal serta usulnya dan tugas yang perlu dilaksanakan sebelum berangkat ke tanah abadi .

Melalui dunia yang sunyi ini jugalah diri cuba menemukan jawapan terhadap sejumlah persoalan hidup peribadi dan dunia yang melingkunginya. Walaupun jawapan itu bukanlah sesuatu yang mutlak, namun betapa pun sifatnya sementara dan selalunya berlanjut pula dengan tanya yang lain, setidaknya diri dapat juga menghindari dari perangkap prasangka dan perasaan palsu yang melulu.

Selagi bernafas, segala resah dan galau diri tetap akan berlanjut. Namun itulah pula yang menjadi rencah nikmat hidup sebagai manusia. Segala resah dan galau akan mendorong diri untuk terus bertanya. Kerana itu, diri akan kembali ke dunia sunyinya sendiri dan dunia itu tidak lain adalah puisi.

Betapa pun sunyinya dunia ini, itu sudah menjadi pilihan. Dunia yang sunyi ini, menawarkan segalanya: rasa bahagia, rindu dan sakit sekaligus. Dengan sunyi dan puisi: hati yang galau dapat dipujuk supaya bertenang dan bertawakal, di dalam sakit terpacul pula rasa nikmat serta insaf dan dengan rindu diri terus mengheret galau hatinya cuba mencari sesuatu yang terbaik dari segala muslihat dunia.

Itulah nikmatnya menjadi seorang penyair. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan. Walaupun dunia yang saya pilih adalah dunia yang sunyi, tetapi saya tetap berasa bahagia kerana dapat sedikit berkongsi sesuatu dengan orang lain. Dan sebagai penyair, itulah yang saya ingini dari hidup yang pendek dan singkat ini.

------------------------------------------------------------------------------------- * Kertas percakapan yang disampaikan di acara Pengakuan Penyair anjuran Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan majalah Dewan Sastera pada 3 Februari 2006 yang berlangsung di Rumah Pena, Kuala Lumpur.


KEMBALI