Catcha Malaysia
Main Special Saltwater Estuary Freshwater Prawning Species Workshop First Aid Hot Spot
 
Rahsia Lampam
Oleh : Aznir Malek : PANCING

Ah! Lampam.... penyelamat kepada pemancing yang tak bemasib baik setelah seharian tercongok di tepi sungai dan tasik. Populasinya yang tinggi dan tabiat pemakanannya yang tak memilih memudahkan kita untuk memancingnya jika ikan yang diidamkan langsung tak dapat. Lampam merupakan ikan kedua terbanyak selepas tilapia di perairan air tawar negara kita. Walaupun kedua-dua spesies tersebut berbeza dari segi asal kedatangan dan tabiat pemakanannya namun kedua-duanya berkembang-biak dengan baik dalam pelbagai keadaan air. Cuma batasannya kepada air yang teruk tercemar dan sangat sejuk seperti di anak-anak sungai pergunungan. Biarpun begitu, ikan lampam merupakan sumber yang penting kepada pemancing dan juga para pentemak ikan.

Ikan lampam tergolong dalam genus Puntius iaitu kumpulan ikan yang paling banyak terdapat dalam sungai-sungai kita. Ahli lain dalam kumpulan ini termasuklah yang terbesar dan lebih mencabar seperti kerai (Puntius daruphani) dan tengalan (Puntius bulu). Spesies ikan akuarium dalam kumpulan ini termasuklah bagoh (Puntius lateristriga) yang kecil comel yang mudah didapati di anak-anak sungai pedalaman dan pelampong jaring (Puntius pentazona) iaitu ikan kecil yang berbelang-belang yang mudah didapati di lombong dan juga anak-anak sungai. Begitu juga dengan ikan putih atau tebal sisik (Puntius binotatus) iaitu ikan kecil berwarna keperakan yang memberikan keseronokan memancing sewaktu saya masih kanak-kanak dengan menggunakan joran buluh sepanjang sepuluh kaki dan isi kelapa yang lembut sebagai umpan.

Lampam Sungai

Lampam sungai merupakan versi Malaysia kepada ikan bream di U.K, panfish di Amerika dan tilapia Nil di Afrika iaitu spesies-spesies ikan yang mempunyai reputasi pembiakan yang sangat tinggi. Lampam sungai hidup dengan baik di dalam sungai-sungai kita dan kadangkala jumlahnya meningkat terlalu cepat. Kini, sukar untuk kita menyaksikan jumlah sebegitu banyak akibat tekanan penangkapan yang sangat tinggi oleh para nelayan dan pemancing, terutama sungai yang senang ditujui atau yang berada di kawasan bandar. Walaupun begitu, kita masih ada mendengar cerita daripada sesetengah pemancing yang pernah menemui beratus-ratus ikan ini menyerbu anak sungai di kawasan pendalaman untuk mengempas telur. Hinggakan ianya disebut dengan perumpamaan yang menarik, 'kuak ikan, baru dapat air'.

Peristiwa sebegini semakin sukar dijumpai kini tetapi masih terdapat beberapa sungai berhampiran kawasan kediaman manusia yang tidak kehabisan membekalkan ikan lampam sungai. Antaranya ialah Kuala Kangsar iaitu di sepanjang Sg. Perak. Sungai yang panjang dan lebar ini mengalir perlahan daripada muara Sg. Kangsar hingga ke Lubuk Mat Anjing yang sangat terkenal sebagai lubuk pusing yang banyak mengumpul mangsa lemas. Kisahnya, sesiapa yang lemas di bahagian hulu pastinya berakhir dan dijumpai di lubuk ini. Walaupun demikian, lubuk yang ngeri ini didiami banyak lainpam sungai yang besar, kadangkala seekor boleh mencapai sekilogram.

Ini telah menarik perhatian ramai pemancing dengan menggunakan pelbagai teknik dan umpan termasuklah sekeping roti dan pisang yang disorok banyak mata kail di dalamnya. Sememangnya kita tidak mengiktiraf kaedah ini sebagai sukan memancing yang sihat kerana cangkukkan yang tidak tepat pada ikan yang terlepas boleh menyebabkannya dijangkiti penyakit. Biarpun begitu, saya lebih gemar menggunakan dodol sebagai umpan. Pelik bukan. Walau apa jenis umpan dan teknik memancing yang digunakan, keindahan kawasan lubuk ini pasti menggamit ramai pemancing lebih-lebih lagi apabila loceng penunjuk ragutan berbunyi diikuti dengan sorakan pemancing yang berjaya menaikkan lampam yang besar.

Tempat lain yang menarik bagi saya ialah di sebuah resort pulau yang bemama Suka-Suka di Tasik Chenderoh. Sebelum ini, sebuah pertubuhan tempatan telah melepaskan beribu-ribu benih lampam sungai ke dalam tasik tersebut dan kini ikan-ikan tersebut banyak berkumpul di sekitar pulau tersebut kerana tertarik kepada makanan yang ditabur para pengunjung. Ikan-ikan tersebut dikatakan menjadi agak jinak dan ini merupakan peluang baik kepada para pemancing yang masih baru dan ingin mencuba kemahiran.

Tasik Kenyir tentunya merupakan salah satu kawasan habitat lampam sungai yang sangat baik. Anda boleh merujuk kepada ruangan Sketsa dalam isu Pancing yang lepas yang menceritakan kisah menangkap lampam sungai hanya dengan tangan kosong. Ini menunjukkan betapa banyaknya lampam yang terdapat di tasik tersebut.

Secara semulajadi, lampam sungai adalah omnivor dan umpan yang digunakan oleh pemancing adalah bermacam-macam. Antaranya ialah cacing, cengkerik, belalang, udang, dedak, hirisan pisang, buah kelapa sawit, perut ayam dan lundi. Jadi, lampam sungai sememangnya tidak begitu memilih makanan.

Biasanya apabila air agak berlumpur dan keruh, saya akan gunakan umpan yang berbau seperti cacing dan udang tetapi bukan perut ayam kerana ia terlalu busuk dan menjijikkan. Dalam air yang jernih, umpan kegemaran saya ialah roti atau pisang emas. Saya memilih pisang emas yang tidak berapa masak kerana ia tahan lebih lama pada mata kail. Pisang dihiris dengan ketebalan lebih kurang 0.5cm dan dipotong tiga. Kemudian, ia dicangkuk kepada mata kail seperti satay.

Saya tidak pernah mendapat atau mendengar ikan lampam sungai ditangkap menggunakan gewang. Jadi, saya berpendapat ikan ini tidak tertarik kepada gewang. Oleh kerana ia adalah ikan omnivor maka makanan hidupnya hanya terhad kepada pelbagai jenis serangga.

Peralatan Sesuai

Peralatan kelas ringan dan menengah adalah peralatan yang sesuai untuk lampam sungai bergantung kepada keadaan air dan persekitaran. Joran aksi parabolik (Joran yang hujungnya boleh melentur sehingga menyentuh kekili) dan menengah sepanjang 7 hingga 9 kaki dengan tali tangsi berkuasa 6 hingga 9 paun adalah pilihan terbaik.

Peralatan yang gemar saya gunakan ialah joran aksi parabolik sepanjang 12 kaki dengan tali tangsi berketahanan 3 hingga 6 paun. Joran sebegini memberi sepenuh kepuasan dan keseronokan apabila bertarung dengan ikan bersaiz sederhana kecil ini. Walau bagaimanapun, jenis joran sebegini tidak terdapat di negara kita namun joran lembut sepanjang 9 kaki sudah cukup memberi kepuasan lebih-lebih lagi dengan kekili yang mempunyai sistem tegangan yang lembut. .

Lampam sungai mendiami bahagian pertengahan dan dasar sungai. Oleh itu, teknik pancing dasar adalah teknik yang popular digunakan. Perambut sepanjang 6 hingga 12 inci yang berketahanan 6 paun sudah mencukupi. Mata kail Mustad berlengkok bulat bersaiz 4 hingga 6 atau mata kail udang bersaiz 9 hingga 11 boleh digunakan. Batu ladung hidup adalah amat sesuai. Bagi sungai yang terdapat rumpai atau sampah, batu ladung perlu berada di bahagian bawah mata kail (lebih kurang sekaki atau lebih) supaya umpan bergerak bebas dan mudah dilihat oleh ikan. .

Menggunakan pelampung juga merupakan teknik yang popular. la sangat sesuai digunakan di tempat-tempat berarus tenang yang dikhuatiri mempunyai banyak tunggul kayu di dasarnya. Panjang perambut daripada pelarnpung bergantung kepada kedalaman sungai. Umpan perlu tergantung beberapa inci dari dasar dan dibiarkan hanyut di bahagian pertengahan air.

Batu ladung kecil perlu diletakkan pada jarak tertentu pada perambut supaya umpan boleh turun pada kedalaman yang dikehendaki.

Lampam sungai meragut umpan dengan agak kasar yang kemudiannya tercangkuk sendiri pada mata kail. Bagaimanapun, kita perlu menyentap supaya sangkutan lebih teguh. Oleh kerana saiznya yang kecil, tarikannya tidaklah begitu kuat namun dengan teknik yang disebutkan tadi ianya akan menjadi lebih menarik.

Lampam Jawa

Ikan ini telah dibawa masuk ke negara kita daripada Indonesia sebagai ikan makanan sama seperti ikan yang diimport dari China iaitu kap rumput, kap perak dan sebagainya. Lampam jawa biasanya ditemui di dalam kolam ternakan dan perairan yang pernah terdapat aktiviti akuakultur. Sesetengah ikan mungkin terlepas ke dalam sungai semasa banjir ataupun sengaja dilepaskan. Lampam jawa amat mudah dipancing dan boleh membesar sehingga 2.5 kg. Ototnya yang kuat serta siripnya yang besar mampu memberi tentangan yang agak hebat.

Lampam jawa yang tinggal di dalain kolarn atau lombong dapat memben kepuasan sekiranya anda menggunakan peralatan pancing yang ringan. Teknik yang sama untuk memancing lampam sungai turut boleh digunakan tetapi gunakan joran aksi lembut. Bibir lampam jawa agak lembut dan rembatan yang kuat daripada joran yang keras boleh menyebabkan mata kail tercabut daripada mulutnya.

Sebenarnya, lampam jawa adalah spesies herbivor, jadi dedak dan roti adalah umpan terbaik. Walau bagaimanapun, saya pernah mendapat ikan ini menggunakan gewang layang menyerupai serangga dan anak ikan. Mungkin akibat makanan yang terhad menyebabkan ia memburu makanan hidup pula. Saya sendiri pernah melihat lampam jawa yang besar mengejar anak-anak ikan. Jadi ini juga merupakan berita baik untuk pemancing yang gemar menggunakan gewang.

Semua lampam yang pernah saya tangkap adalah melalui pancing dasar. Untuk kolam dan lombong, saya menggunakan batu ladung kecil supaya umpan tenggelam dengan perlahan ke dasar. Mata kail udang no. 8 digunakan dengan perambut sepanjang 7 inci. Jika terdapat ikan yang besar, saya akan gunakan mata kail yang mepunyai ukur lilit yang tebal. Dengan menggunakan tali halus, kaedah di atas menjadi sempurna iaitu memberi tentangan yang cukup baik bagi lampam yang besar.

Keadaan menjadi lebih serius sekiranya anda memancing lampam sungai. Tali 10 hingga 12 paun perlu digunakan dengan batu ladung yang lebih besar untuk menetapkan umpan di dasar. Saiz batu ladung juga perlulah sesuai dengan kelajuan arus sungai. Anda perlu menggunakan batu ladung yang betul-betul mencukupi untuk mengatasi arus. Dengan cara ini, ragutan yang kecil akan memberi kesan ke atas pergerakan hujung joran atau penunjuk ragutan yang digunakan. Lampam jawa yang hidup di sungai kurang menggemari makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan berbanding lampam jawa yang hidup di kawasan air tenang. Selain umpan biasa seperti dedak dan roti, anda boleh mencuba hirisan buah kelapa sawit, cacing dan juga perut ayam.

Ramai pemancing yang saya temui terlalu memandang rendah kemampuan ikan lampam. Bagi saya, maksud sukan dalam memancing adalah terletak pada diri sendiri asalkan anda tidak menyekat hak orang lain yang ingin memancingnya. Tidak ramai antara kita yang mampu dari segi wang dan masa semata-mata untuk memancing kelah di Ulu Terengganu setiap minggu. Jadi, ikan lampam mampu menghilangkan rasa bosan memancing daripada menunggu trip 'kelah' untuk beberapa bulan lagi.