Catcha Malaysia
Main Special Saltwater Estuary Freshwater Prawning Species Workshop First Aid Hot Spot
 
Membongkar Misteri Kelisa
Oleh : Pak Wong : PANCING

Awal Mac lalu, ketika saya memancing di luar perairan negeri Pahang, ada satu cerita dari seorang pemancing berpengalaman tentang sebatang sungai air hitam di Pahang yang dikatakan terdapat banyak toman bunga dan bujuk.

Apabila pulang, ingatan asyik pada sungai air hitam itu. Lalu, saya membuat panggilan telefon untuk bertanyakan lokasi sebenar sungai air hitam itu. 17 Mac, selepas perancangan yang rapi, saya bersama wartawan, Lee Yoke Sam menaiki Rocky menuju ke destinasi tersebut.

Dari segi penyediaan peralatan, saya memilih bot Coleman Crawdad bersaiz 11 kaki 2 inci dan enjin sangkut Mercury 5 kuasa kuda. Manakala joran yang digunakan ialah Fenwick Nighthawk 7 kaki kekuatan 8-20 paun digabungkan dengan kekili DAM M.D.S 3500, dan Kunnan 7 kaki bergabung dengan kekili Daiwa BGI5. Kedua-dua kombinasi ini menggunakan tali Berkley Trilene Big Game 12 paun. Dari segi umpan pula, Sam menyediakan 100 ekor katak, 50 ekor cengkerik dan sedikit ikan longkang (guppy). Cengkerik digunakan untuk memancing ikan gahak dan lais, ikan longkang pula untuk memancing udang.

Kami bermalam di sebuah pekan kecil di Pahang Selatan. Pada keesokan pagi, selepas sarapan, perjalanan menuju ke Sungai Merchong bermula. Sungai ini sering didatangi oleh orang ramai untuk memancing udang, menjadikan laluan perjalanan kami agak mudah sama ada berkereta ataupun menaiki bot. Lebih kurang 8.30 pagi, kami menurunkan Coleman Crawdad ke tengah sungai dan menghidupkan enjin sangkut Mercury 5 kuasa kuda menghala hulu sungai.

Hari itu kebetulan air sedang pasang dan aliran air pula menuju ke hulu sungai. Himpunan sampah-sarap dari hulu terus bergerak ke bawah. Di bahagian sungai yang terkumpul sampah-sarap, putaran kipas bot kami kadang-kala terkena daun nipah yang separuh tenggelam di tengah air. Ini memaksa saya memperlahankan bot buat sementara.

Selepas 15 minit perjalanan, saya memberhentikan bot untuk cuba memancing udang. Setelah mengubah kedudukan beberapa kali, saya hanya memperolehi beberapa ekor baung kecil sahaja. Pada hari itu, terdapat empat hingga lima buah bot yang memancing udang yang mana hasilnya menghampakan. Ini mungkin berkaitan dengan air yang terlalu sejuk dan paras air yang terlalu tinggi.

Melihat keadaan tersebut, saya membuat keputusan segera untuk memecut laju ke kawasan yang dikenal pasti. Kombinasi enjin sangkut Mercury 5 kuasa kuda dan bot Crawdad cukup bertenaga. Kelajuannya tidak jauh bezanya dengan kombinasi bot fiber dan enjin sangkut jenis 8 kuasa kuda. Tidak lama kemudian, gambaran pada pinggir sungai pun berubah. Yang dilihat ialah pokok-pokok yang tumbuh menghijau. Warna air pula berubah menjadi hitam. Suasananya seakan-akan di Sungai Keroh, Perak.

Selepas berjalan selama sejam, gambaran di persekitaran berubah lagi. Pokok nipah semakin lama semakin tidak kelihatan sebaliknya pokok-pokok hutan semakin menebal ditambah pula dengan pokok rasau dan mengkuang yang berduri banyak. Permukaan sungai pula semakin lama semakin sempit , walaupun sempit, lebarnya masih melebihi 25 kaki. Beberapa kawasan sungai pula mempunyai lubuk luas, kelihatan seperti berada di Tasik Bera. Kedua-dua belah pinggir sungai sudah tidak ada penempatan. Hanya sempat menemui satu dua buah keluarga orang Asli sahaja. Sepanjang perjalanan tidak ternampak bot pemancing walau sebuah pun. Yang dapat dilihat hanyalah beberapa orang Asli yang mengayuh perahu.

Apabila dilihat dengan teliti di tepi sungai, cuma terdapat beberapa taut dengan mata kail yang besar serta tali merah yang kasar. Saya percaya tujuan kedatangan mereka ialah untuk memancing tapah. Pukat pun sukar ditemui. Dari kesan-kesan ini jelas menunjukkan sungai ini masih belum didatangi oleh ramai pemancing. Sampah-sarap yang terapung-apung di atas sungai semuanya adalah ranting-ranting pokok. Beg plastik juga tidak ditemui. Tanpa disedari, kami terasa gembira kerana telah terserempak dengan sebatang sungai air hitam yang masih belum dicemari.

Memandangkan masa sudah agak lewat, kami pun mengainbil keputusan untuk melabuhkan bot dan mula membuat pancingan dengan menggunakan katak.

Walaupun kawasan hulu yang kami datangi agak jauh, saya dapati kawasan sungal di sini masih dipengaruhi oleh keadaan pasang-surut. Air sungai yang sedang pasang mengalir perlahan.

Tanpa diduga, sedang segalanya telah lengkap, keadaan air pula menggagalkan usaha kami. Air sungai yang terlalu tinggi hingga membanjiri kawasan belukar membolehkan toman bunga dan bujuk yang gemar berkeliaran di perairan cetek bersembunyi di situ. Saya dan Sam menghabiskan masa dua jam tanpa hasil.

Keadaan ini cukup mengecewakan. Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat. Kali ini kami menggunakan cengkerik pula memancing lais dan gahak. Kedua-dua jenis ikan ini tidak pernah kami pancing . Malahan, kami tidak pula meminta nasihat daripada pemberi maklumat itu bagaimana memancing dengan cara yang betul. Akibatnya cengkerik yang kami gunakan habis disambar oleh ikan-ikan kecil.

Setelah berusaha mencari, kami akhimya menemui sungai ini. Kalau gagal mendapat udang galah, mungkin hati kami tidaklah terasa kecewa sangat. Gagal perolehi walau seekor lais atau gahak yang agak banyak di sungai ini, hati siapalah tidak rasa dendam dan marah.

Masa berlaku dengan cepat. Waktu telah menunjukkan pukul lima lebih, bot kami perlahan-lahan bergerak ke hilir sungai berharnpiran rumah orang Asli. Sungai di sini agak lurus, kedua-dua belah dipenuhi rumpair. Saya membawa bot masuk ke dalam belukar dan mula membuat balingan di sebelah kiri dan kanan menggunakan udang kecil. Sam memperolehi isyarat ikan tetapi akibat gagal mengawal, ikan itu terlepas begitu sahaja, saya yang telah berputus asa sudah hilang minat, sekadar membaling tanpa tujuan.

Apabila katak kecil dibaling ke dalam belukar, tali 12 paun telah mendatangkan isyarat. Selepas memancing hampir sehari, semangat menjadi segar seketika dengan isyarat itu. Hati saya berkata sendiri, kali ini saya mesti mengambil peluang dengan sebaik mungkin. Saya tidak tergesa-gesa untuk menaikkan joran tetapi hanya membiarkan ikan itu merasai kelazatan umpan itu terlebih dulu.

Selepas 10 saat, saya perlahan-lahan menarik tali untuk meninjau keadaan. Ikan itu terasa sesuatu tetapi hanya menggerakkan badannya beberapa inci sahaja. Apabila merasakan sudah tiba masanya, saya pun menggunakan sepenuh tenaga saya untuk menaikkan joran. Seperti meletupkan sebiji bom, tali seberat 12 paun itu membelah air dengan beralih ke sebelah kiri, kekili DAM M.D.S 3500 mengeluarkan bunyi penggeranya ketika tali keluar dengan cepat. Suasana sekeliling yang sunyi sebelum ini telah dipecahkan oleh keadaan yang berlaku secara tiba-tiba itu.

"lkan besar! Ikan besar!" Saya menjerit kegembiraan. Sam terus mendapatkan kamera automatiknya, Canon Eos 100 dari beg dan bersedia merakamkan detik-detik cemas tersebut.

Ikan yang berada di sebelah kiri kemudian membuat pusingan dan melompat ke udara setinggi tiga kaki. la kemudian terjun ke bawah dan muncul semula di permukaan air. Keadaan ini berterusan selama beberapa saat dengan lompatan antara empat hingga lima kali. Lompatannya tidak menentu, kadang kala rendah kadang kala tinggi. Belum sempat Sam membuat fokus yang tepat, ia pula seperti kilat memecut ke sebelah kiri.

Saya ttdak menyangka dapat menemui ikan besar yang gagah melawan di kawasan ini. Melihatkan cara perjuangannya, ia tidak sedikit pun seperti toman bunga ataupun bujuk. Walaupun ia telah melompat ke ruang udara, namun kerana agak laju, saya gagal melihat wajahnya yang sebenar. Apa yang sempat dilihat ialah badannya yang hitam memanjang.

Ketika itu, saya agak menyesal kerana hanya menggunakan tali seberat 12 paun. Untuk menghadapi ikan yang begitu gagah perkasa ini, saya rasa saya tidak berkeyakinan langsung. Saya cuba mengetatkan alat tegangan namun malang sekali, kebetulan ia rosak ketika ita sehingga gagal mengunci tali. Saya terpaksa melonggarkan alat tegangan dan menggunakan jari menekan geledung untuk mengawal pengeluaran tali. Dalam sekelip mata, ikan itu sudah melompat ke sebelah kiri dan kemudian ke kanan pula, membuat beberapa pusingan di udara. Ketika ini saya mendapati bot yang berlabuh di tengah belukar sudahpun ditarik ke tengah sungai oleh ikan itu. Keadaan ini memberikan kelebihan kepada saya kerana mempunyai kedudukan yang baik untuk mengawalnya.

Apabila ia kembali ke sebelah kanan, saya dapati ia telah tersangkut pada sebatang ranting pokok di tengah sungai tanpa bergerak. Saya menekan geledung dengan tangan dan perlahan-lahan menaikkan joran. Oleh kerana menggunakan tali yang agak lemah, saya hanya menyerahkan pada nasib untuk menentukan kejayaan.

Bot yang ringan ditarik berhampiran ranting. Terasa tali pancing tersentak seketika, ikan itu sudah meninggalkan ranting dan berenang dengan cepat di sebelah bot. Saya dapati ia tidak boleh berenang dengan lebih jauh lagi. Di bawah air yang jernih, didapati seekor ikan berbadan panjang sedang bergelut namun masih belum dikenal pasti jenisnya.

Sam pun mengeluarkan tangguk ketika ia sudah kelihatan letih. Apabila dapat melihat wajahnya yang sebenar, saya dan Sam tiba-tiba menjerit hampir serentak, "Kelisa!!" Suara kami bergema dengan penuh kegembiraan. Saya tidak menduga sama sekali pada hari itu dapat memancing seekor kelisa buat pertama kalinya seumur hidup saya. Sebelum ini, pemberi maklumat itu tidak memberitahu adanya kelisa dalam sungai air hitam ini. Sehinggalah kelisa itu benar-benar berada di depan mata, barulah saya yakin dan percaya.

Kelisa itu memang cantik. Di bawah sinar senja, sisiknya berkilauan dan dua sesungut berwarna kuning berdekatan mulutnya menampakkan dirinya seperti tidak boleh diganggu oleh orang lain. Melihat dengan lebih teliti pada mulutnya, kelisa itu sudahpun menelan katak sehingga ke dalam perut. Mata kail telah tersangkut pada bahagian dalam mulutnya. Sekiranya mengeluarkan dengan kasar, kelisa yang cantik ini pasti akan mati. Dengan bantuan Sam, mulut kelisa dibuka dengan perlahan-lahan untuk menanggalkan cili tetapi membiarkan mata kail tertinggal di dalam. Tanpa menimbangkan beratnya, kami pun mengambil gambar secara tergesa-gesa sebelum melepaskannya.

Kelisa yang cedera itu tidak menunjukkan sebarang pergerakkan di dalam air. Timbul sedikit penyesalan pada hati saya. Sekiranya sedar adanya kelisa di sini, saya pasti menggunakan gewang untuk mengelakkan belakunya keadaan seperti ini. Sam dan saya bergilir-gilir membuat rawatan pernafasan untuknya selama lima minit. Kelisa itu akhirnya bergerak perlahan-lahan. Sirip yang lemah tidak berdaya itu menguak beberapa kali, akhirnya meninggalkan tangan Sam dan terus berenang ke tengah sungai.

Kami terasa lega dan gembira melihat pemergiannya. Pada hari kedua, kami pergi ke hulu yang lebih jauh lagi dan menemui lubuk yang semakin membesar. Malangnya paras air terlalu tinggi menyebabkan kami terpaksa berpatah balik. Apabila kembali ke Kuala Lumpur, saya masih teringatkan kelisa itu. Alangkah puasnya hati dapat bertarung dengan ikan air tawar yang hampir pupus ini.