Ulasan
Review
. .

Judul : Syukur 21
Tahun : 2000
Pengarah : Aliff Najmi Abdullah
Lakonlayar : Zack Idris
Pelakon : Raihan, Yassin, Mustapha Kamal, Eisya, Norzizi Zulkifli, Mahyon Ismail, Yang Kassim, Man Bai, Rika Yulianti dan lain-lain

Pengulas :


Kehidupan Raudhah Syukur 21 terlalu ideal

Syukur 21 Kata Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth, David CH Teo filem sulung mereka Syukur 21 bertujuan menaikkan mutu filem tempatan dengan memberikan sesuatu yang mempunyai mesej berlainan.

Lebih menarik filem arahan Aliff Najmi itu menyentuh tema spiritual yang amat berat dan tidak keterlaluan jika dikatakan agak ‘adventourous’ bagi saudara baru. Mungkin ramai juga bertanya bagaimana David boleh tertarik untuk membuat filem mengenai Islam?

Dengan peruntukan RM3.5 juta (menjadikannya salah sebuah filem termahal negara ini), penggunaan teknologi animasi 3D dan Dolby Digital Surround (seperti yang digunakan filem Hollywood) Syukur 21 sepatutnya mampu menjadi filem baik (walaupun bukan yang terbaik!) dari banyak aspek, tetapi mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan antara nawaitu dengan apa yang dihasilkan, adalah dua perkara yang berbeza.

Mempunyai segala elemen terbaik di tangan kita belum menjanjikan segala yang lahir daripadanya juga terbaik.

Tanpa mahu memperkecilkan kebolehan Aliff atau keghairahan David menghasilkan sesuatu yang ‘berlainan’, (walaupun ia kelihatan tidaklah berapa berlainan daripada imej filem Iran) pujian harus diberikan terhadap kerja sinematografi yang boleh dibanggakan oleh Eric Yeong dan Ricky Lim.

Sementara kelainan tema serta persoalan dalam Syukur 21 adalah dimensi baru dalam pemikiran pengkarya filem tempatan, walaupun kemampuan mengupas isu serta permasalahan keagamaannya terlalu dipermudahkan.

Terlalu banyak ruang yang boleh dipersoalkan dan diperbaiki mengenai treatment dalam filem itu sama ada skrip, ceritanya, plot atau lakonannya.

Mempersoalkan konsep Raudhah dan Majlis Syuranya (secara kebetulan bertempat di Masjid Putrajaya dan kawasan persekitarannya?) pada 2021 bukan sesuatu yang bijak kerana proses produksi Syukur 21 berlandaskan imaginasi ‘futuristik’ hasil proses kreatif mutlak. Jadi, tidak usah dipersoalkan apa yang tidak perlu dipersoalkan, walaupun innuendo daripada arus pemikiran yang terpapar dalam filem itu cukup jelas.

Raudhah bermaksud ‘taman’. Raudhah yang terpamer seperti dalam Syukur 21 lebih menggambarkan kehidupan utopia masyarakat Islam negara ini selepas 2020.

Syukur 21 mempamerkan konflik peradaban Timur-Barat yang terlihat melalui kepulangan Kamal, pakar komputer dari Nasa dan anaknya Daniel yang dibesarkan dalam persekitaran kebaratan di Amerika Syarikat.

Kepulangan Kamal menyaksikan pelbagai perubahan dalam masyarakat sejak beliau meninggalkan negara ini 30 tahun lalu. Paling ketara ialah keharmonian dan ketiadaan keruntuhan sistem sosial dan budaya dalam bermasyarakat Raudhah. Sesuatu yang begitu jauh dan tiada dalam persekitaran serta kamus kehiduan Kamal dan Daniel.

Tema begini mampu menjadikan filem itu lebih baik jika diolah dan dipersembahkan dengan cara lebih mantap dan kemas serta tidak terlalu dibuat-buat sehingga menghilangkan arus pemikiran berkarya yang natural dalam skripnya.

Kebetulan demi kebetulan yang tidak natural dalam beberapa babak filem itu mencacatkan sehingga menimbulkan kesan serta ruang yang amat luas menjadikan jalan ceritanya begitu artificial.

Penulis skrip filem itu lebih teliti ketika berkarya. Menulis skrip memerlukan kepakaran dan ilmu dan bukan hanya imaginasi serta kreativiti seperti mempunyai kepakaran dan ilmu tanpa imaginasi dan kreativiti belum dapat menjamin lahirnya skrip yang mantap.

Zaman untuk berkarya tanpa ilmu sudah berlalu. Dalam apa juga genre seni, ilmu dan kreativiti perlu menjadi landasan pemikiran proses berkarya. Peruntukan wang yang banyak serta teknologi canggih saja belum cukup menjamin kejayaan serta kualiti kerja seni yang boleh dibanggakan, kalau pun ia mencatat box office.

Bayangkan selepas 30 tahun terpisah, ibu dan anak begitu tenang ketika bertemu pada suatu kebetulan yang terlalu kebetulan! Sayangnya babak yang begitu traumatik dan berpotensi untuk dieksploitasi dari aspek lakonan untuk meninggalkan impak cukup baik, diabaikan begitu saja. Aliff perlu lebih peka dengan haknya sebagai pengarah untuk menginterpretasi skrip. Pengarah perlu menjadikan skrip sebagai panduan jika keterbatasan skrip mencacatkan cerita.

Dalam Syukur 21, unsur futuristik lain yang diketengahkan hanyalah kecanggihan sistem komunikasi interaktif dan kostum wanitanya. Memang tidak mustahil kompang dan baju Melayu serta perkara lain boleh bertahan sehingga pasca 2020, tetapi tidak kreatif mengekalkannya dalam bentuk yang sedikit pun tidak mengalami perubahan.

Kenapa tidak dicanggihkan kompang dengan meletakkan unsur yang lebih representatif bagi zaman pasca 2020? Banyak perkara dalam Syukur 21 yang memperlihatkan filem itu dibuat dengan tergesa-gesa serta kurang kreatif.

Unsur konflik dalam filem itu juga tidak kemas kesudahannya. Bayangkan, selepas mensabotaj sistem komputer (dengan memasukkan virus dalam disket!) bagi ekosistem Raudhah, menyebabkan kekacauan serta bencana alam yang besar, kematian serta kerosakan harta benda Raudhah, tidak ada hukuman terhadap pakar komputer yang menyebabkannya. Ini dilakukan kerana mereka mencurigai niat serta kebolehan Kamal yang didatangkan dari luar negara.

Apakah semudah itu memaaf serta melupakan apa juga kepahitan yang dilakukan oleh orang lain terhadap kita? Kalau pun kita dapat memaaf kesalahan orang lain, apakah dengan mudah kita boleh mempercayai serta menerima semula orang yang menyakiti kita? Begitukah utopia kehidupan masyarakat Islam Raudhah mengikut kaca mata penulis skrip serta Aliff?

Jika di Raudhah masih ada perasaan syak wasangka serta iri hati terhadap manusia lain, tanpa sebab konkrit (ini adalah manifestasi emosi serta psikologikal kelakuan manusia yang cukup manusia) apakah dengan mudah melepaskan orang yang menyebabkan masalah serta kesedihan kepada orang lain tanpa hukuman?

Aspek lakonan dalam filem itu rata-ratanya menunjukkan kelemahan amat ketara. Melainkan Norzizi yang walau di mana pun berada, mampu mempamerkan lakonan yang meyakinkan dan cukup natural, sebahagian besar pelakon muda Syukur 21 masih perlu memperbaiki skil lakonan mereka. Yassin umpamanya memerlukan banyak bimbingan serta tunjuk ajar dalam lakonan kerana beliau terlalu kaku.

Syukur 21 bagai mahu memulakan trend dalam filem kita. Atau apakah ia lebih menjadi percubaan berlandaskan inspirasi yang dibawa melalui imej filem Iran? Paling penting apakah tindak balas penonton kepada filem itu kerana kumpulan Raihan yang dikatakan mempunyai ramai peminat di negara ini adalah daya penarik utama filem itu?

Tujuan Aliff serta David cukup baik serta murni, serta tidak perlu dipertikaikan lagi. Kadangkala kita terkilan kerana penulis skrip terlatih tidak menulis skrip (atau skrip mereka diketepikan) serta pengarah filem terlatih tidak membuat filem. Di mana silap kita?

Sumber : Berita Harian Online 31/1/2001

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001