Ulasan
Review
. .

Judul : Penyair Malam
Tahun : 1998
Pengarah : Kamal Ishak

Pelakon : Zack Idris, Yasmin Suraya, Aman Graseka, Sheila Mambo dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Penyair Malam filem separuh masak

Penyair Malam Niat dan subjek filem ini mungkin baik. Tetapi seperti biasa juga, filem tidak lahir dan menjadi baik kerana niat dan idea yang baik sahaja. Tugas yang sama sukar ialah usaha menarik minat dan menahan keseronokan dan perhatian penonton selama mungkin untuk terus menonton filem itu.

Cabaran dan kekuatannya terletak pada keupayaan pengarah mengkonstruk unsur dramatiknya. Cerita yang baik bukan hanya memerlukan jalan cerita dan aksi tetapi yang lebih penting ialah keupayaan mengadun antara plot yang menarik dengan watak-watak yang menarik. Kerana itu baik di dalam filem atau drama, watak dan perwatakan menjadi objek yang cukup penting dan sentiasa menarik perhatian.

Dan inilah juga masalah sebenar yang dihadapi oleh Penyair Malam, filem kedua arahan Kamal Ishak selepas filem Cinta Kita. Filem ini pada dasarnya mempunyai cerita yang menarik (dan mungkin akan mengingatkan kita dengan filem Children of a Lesser God arahan Randa Haine, 1986).

Tentang Adam (Zack Idris) seorang mekanik dengan dunia kerjanya yang kasar tetapi pada masa yang sama mempunyai kehalusan jiwa seorang penyair. Dia bertemu pula dengan Azira (Yasmin Suraya) gadis jelita tetapi cacat pendengaran dan bisu.

Dunianya yang sunyi diisi dengan melukis selain daripada tugasnya sebagai guru di sekolah khas. Dua watak yang kontras ini boleh sahaja menjanjikan kisah yang menarik. Tetapi sayang, kisah yang boleh menjanjikan sebuah filem yang menarik ini menjadi bosan dan hambar.

Penyair Malam membentuk cerita dengan adegan-adegan yang tidak penting dan melupakan hakikat yang lebih penting iaitu pembentukan plot dengan binaan watak yang kuat. Watak-watak diletak dan ditempel tanpa diambil kira kepentingannya, dibina tanpa penelitian dan kehalusan yang sewajarnya. Ambil sahaja watak Adam sebagai penyair.

Sebagai mekanik, tugasnya lengkap dengan bengkel motor tetapi sebagai penyair, cukupkah dengan merenung malam dan tasik untuk mencari ilham. Mana buku dan pembacaannya? Puisi tidak dihasilkan dengan merenung malam dan merasakan riak air di tasik atau termenung di bawah pokok kelapa sahaja. Selain pemerhatian, sensitiviti dan pemahaman, penyair perlukan ilmu dan pembacaan yang luas.

Sebab itu watak Adam si mekanik yang juga penyair yang menggunakan nama samaran Penyair Malam itu tidak dapat meyakinkan dan kewibawaan penampilannya kelihatan dangkal. Mungkin watak Azira bukan untuk mengundang simpati secara mudah, dia harus menarik dan mempunyai kekuatan yang tersendiri.

Tetapi watak ini menjadi lemah kerana tidak jelas perwatakannya. Begitu juga dengan watak Rina (Sheila Mambo) anak orang kaya yang terperangkap dalam genggaman Farid (Aman Graseka) seorang pelumba motor, kemunculan mereka agak mengelirukan. Sebagai kekasih Rina, mengapa Farid sanggup mempertaruhkan Rina dalam perlumbaan motor? Punca daripada segala keserabutan ini kerana watak-watak tidak diberikan latar dan psikologi yang semestinya dan motivasi tindakan mereka tidak diperjelas.

Watak-watak yang lemah menjejaskan pembinaan plot. Banyak adegan berkembang tanpa diberikan sebab akibat yang sewajarnya. Sebab itu adegan-adegan yang muncul terasa hambar, longgar dan tidak berkesan, malah boleh sahaja dipersoalkan hubungan antara satu adegan dengan adegan yang lain.

Konflik diadakan dengan mudah semata-mata untuk membentuk kesan dramatik. Lihat bagaimana konflik antara Farid dan Adam diwujudkan. Kita boleh sahaja mempersoalkan kewajaran adegan ini: Si penyair membacakan sajaknya di waktu malam dalam hujan lebat dan kemudian Azira tiba dengan teksi. Apa maknanya adegan ini?

Mengelirukan sekali. Begitu juga adegan Adam dengan emaknya, adegan yang seharusnya emotif menjadi lemah kerana dialog-dialog yang tidak meyakinkan dan janggal kedengaran.

Kelemahan Penyair Malam adalah kelemahan yang asas iaitu skrip. Tanpa skrip yang kukuh bagaimanakah lakonan dapat dihasilkan dengan baik? Fotografi yang imaginatif dan berkesan tidak mungkin dapat dihasilkan. Dan suntingan juga tidak akan dapat membantu menghasilkan tempo dan ritma yang berkesan. Akibatnya, sebuah filem yang seharusnya lirikal dan puitis, tidak upaya dihasilkan.

Bagaimanapun Penyair Malam tidaklah gagal sepenuhnya. Mereka yang hendak mengetahui serba sedikit cara berkomunikasi dengan insan yang cacat pendengaran boleh mendapat panduan dengan menonton filem ini.

Cuma filem bukanlah tempat untuk mengajar. Ia mengajak kita berkongsi pengalaman dan emosi.

Sumber : Utusan Online 20/3/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000