Ulasan
Review
. .

Judul : The Road Home
Pengulas : A. Wahab Hamzah


The Road Home... paparkan erti kesetiaan

Cerita tentang seorang guru dari kota yang diminta mengajar di sebuah sekolah di desa yang terpencil dan kemudian seorang perawan desa jatuh hati lalu menyemarakkan hubungan kasih yang membawa kepada sebuah perkahwinan yang bahagia adalah sebuah cerita yang biasa. Biasa kita baca dalam novel, kerap ditonton di televisyen dan filem. Lalu apakah yang menjadikan filem The Road Home ini luar biasa dan istimewa?

Nyata sebuah filem yang punya jalan cerita yang begitu sederhana dan mudah mampu menjadi begitu menarik dan istimewa kerana sentuhan daripada pengarah besar seperti Zhang Yimou, pengarah dari kumpulan generasi kelima pembikin filem China.

Antara filemnya yang terkenal adalah The Red Shorgum, Judou dan Raise The Red Lantern. Biarpun filem ini tidak membetikkan konflik dramatik yang kompleks, malah tanpa antoganis juga, The Road Home tampil dengan kekuatan sebuah cerita yang manis dan penuh emosi tentang erti kesetiaan.

Filem The Road Home meneruskan tema dan studi yang dilakukan oleh Zhang Yimou dalam filemnya yang terdahulu Not One Less iaitu filem yang mengisahkan ketabahan seorang guru muda berusia 13 tahun yang perlu menjejak seorang muridnya yang ke kota untuk bekerja kerana kemiskinan hidup.

Guru ini perlu memastikan pelajarnya tidak berkurang dari jumlahnya walaupun seorang sebagai syarat dia diterima sebagai guru sementara dan untuk memastikan upahnya dibayar. Dalam filem ini Yimou memberikan emosi kemanusiaan yang cukup indah dari watak-wataknya yang mentah serta kritikan sosial tentang birokrasi dan kemiskinan di China dari mata kanak-kanak.

Dengan bersandarkan sebuah cerita yang mudah, pelakon yang tidak pernah terlatih sebagai pelakon, Zhang Yimou mengangkat realiti filem ini dalam semangat neo-realisme moden, semangat yang sama muncul dalam filem-filem Iran dari arahan Abbas Kiarostami dan Jafar Panahi.

The Road Home mengisahkan tentang seorang ahli perniagaan Luo Yusheng yang pulang ke kampungnya di utara China untuk menguruskan pengebumian bapanya seorang bekas guru di kampung itu. Biarpun masa telah banyak mengubah budaya dan sosial, tetapi si ibu tetap mahukan jenazah bapanya dikebumikan mengikut adat tradisi sepenuhnya.

Kesetiaan si ibu terhadap bapanya mengingatkan Yusheng tentang bagaimana bermulanya pertemuan dan hubungan antara bapanya Luo Changyu seorang guru yang baru tiba di kampung itu dengan ibunya, Zhao Di seorang gadis tercantik di kampung itu. Filem ini dibuka dengan latar China masa kini dan kemudian mengimbas ke latar peristiwa 1958.

Filem ini dibuka dengan adegan warna hitam-putih untuk adegan-adegan masa kini iaitu ketika ketibaan Luo Yusheng. Apabila naratifnya mengimbau ke masa lalu untuk adegan ketibaan Chengyu di kampung itu dan ketika imej Zhao Di (Zhang Ziyi) muncul pada layar, warna hitam-putih berubah segera ke dalam warna.

Zhang Yimou menggunakan warna bukan sekadar untuk mengangkat realiti, tetapi bermulanya perasaan dan kasih yang bersemarak antara si perawan dan si teruna. Walau bagaimanapun Zhang Yimou memastikan warna dan cahaya dalam filem ini sentiasa terkawal dan warnanya harmoni sebagaimana lambang hubungan kasih yang terkawal dan tersembunyi antara mereka.

Gambaran landskap alamnya yang tenang dan cantik itu menjadi sebahagian daripada karektor filem ini yang melengkapkan lagi pembinaan watak-watak. Jika didalam filem Not One Less, Zhang Yimou menggunakan pelakon amator untuk memberikan konsep dan sentuhan realisme, tetapi dalam Road Home dia menampilkan seorang pelakon baru Zhang Ziyi (yang kemudian diambil berlakon di dalam filem Crouching Tiger, Hidden Dragon arahan Ang Lee) sebagai Zhao Di.

Watak Zhao Di adalah fokus filem ini dan Zhang Yimou secara sedar menyorot hampir setiap gerak tubuh dan riak wajah mentah Zhang Ziyi. Nyata gadis ini memberikan dinamisme dan kesegaran pada imej gadis desa yang mentah tapi tahu bahawa dia telah jatuh hati dengan guru muda itu. Lakonannya mengalirkan emosi yang dramatik tetapi terkawal biarpun dialognya sedikit, tetapi pada riak lembut wajahnya mengalir harapan, keinginan, ketabahan dan juga kebimbangan.

Perhatikan riak dan gerak Zhao Di semasa ia menunggu guru itu di puncak bukit atau semasa dia melihat si guru dari perigi. Apabila si guru dikehendaki pergi ke kota, si guru memberikannya satu klip rambut sebagai lambang hubungan mereka dan akan berjanji kembali kepadanya. Perubahan pada riak wajah Zhao Di ketara, terutama pada senyumannya. Tanpa perlu mengadakan adegan perkahwinan, penonton tahu akan kesudahan hubungan itu.

Di akhir filem ini, ketika acara pengebumian bekas guru itu, hampir kesemua bekas pelajar Chang Yu pulang untuk memberikan penghormatan dan bersama-sama mengiringi perarakan pengebumian. Urusan pengebumian dijalankan percuma kerana tidak seorang pun mahu mengambil bayaran sebagai penghormatan kepada jasa guru itu.

Dengan The Road Home, Zhang Yimou membuktikan bahawa sebuah cerita yang mudah sekalipun akan menghasilkan filem yang baik apabila ia didekati dan digarap dengan penuh pengertian dan sensitif. Dalam filem ini Zhang Yimou menunjukkan sebuah kisah cinta yang unggul, kemanusiaan dan kritikan sistem sosial mampu menjadi sebuah filem yang indah dan menarik.

Tidak hairan kalau studio filem di Hollywood berusaha memburu Zhang Yimou untuk mengarahkan filem-filem mereka, tetapi pengarah ini tetap mahu membuat filem di China (biarpun banyak rintangan) kerana dia lebih kenal dan dekat dengan suasana dan budayanya. Sedangkan Hollywood penuh kemilau, sukar difaham dan terasa jauh dengan dirinya. The Road Home telah memenangi anugerah Grand Prix Silver Bear di Festival Filem Berlin.

Sumber : Utusan Online 22/9/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000