Ulasan
Review
. .

Judul : The Emperor and The Assassin
Arahan : Chen Kaige
Lakonlayar : Chen Kaige dan Wang Peigong
Pelakon : Li Xuejian, Gong Li, Zhang Fengyi dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Impian Seorang Maharaja

Dia seorang maharaja yang baik, tetapi dia juga telah membunuh banyak orang. Dia bercita-cita untuk kebaikan dan kebahagiaan untuk rakyatnya. Tetapi ironisnya tangannya juga lebih selalu berlumuran darah rakyatnya.

Wajahnya selalu kelihatan dingin dan kering, riak tawanya lebih selalu berisi kecurigaan, dan Yin Zheng (Li Xuejian) si maharaja itu boleh sahaja membunuh tanpa rasa. Sungguhpun pada masa yang sama dia sanggup menyesali masa lampau, berlutut dan membiar dirinya dipukul oleh ibunya dan merayu kasih pada gundiknya yang jelita Lady Zhao (Gong Li).

Dirinya penuh konflik dan sekali gus ironis. Yin Zheng, sebagai maharaja Qin berusaha menyatukan enam buah negeri untuk menjadi sebuah negara China yang besar dan sekali gus menjadikannya Maharaja China yang pertama.

The Emperor and The Assassin filem arahan pengarah terbilang China Chen Kaige dan ditulisnya bersama Wang Peigong adalah sebuah drama epik sejarah yang mengetengahkan intrig politik China abad ketiga sebelum Masehi.

Sebagai sebuah drama politik yang penuh intrig, filem ini dipenuhi dengan konflik diri, kesetiaan yang dicurigai, maruah negara dan harga diri, pengkhianatan dan dendam, dan hubungan cinta tiga segi. Setiap watak dalam drama ini mempunyai rahsia yang tersimpan, mempunyai niat dan dendam yang membara terhadap Yin Zheng.

Untuk memastikan Yin Zheng tidak bertindak membunuh terlalu ramai orang apabila dia hendak menguasai negara Yan, Zhao yang telah menjadi kekasih Yin Zheng sejak mereka kecil lagi, merangka satu plot palsu yang boleh membuatkan Raja Yan menghantar seorang pembunuh upahan ke Qin dan membunuh Yin Zheng.

Di Yan, Zhao berusaha mendapatkan bantuan daripada seorang pembunuh upahan Jing Ke (Zhang Fengyi), seorang yang pakar bermain pedang yang telah banyak melakukan pembunuhan dan yang terakhir telah membunuh sekeluarga pembuat senjata.

Bagaimanapun apabila anak gadis si pembuat senjata yang buta itu membunuh diri (adegan yang cukup berkesan dan sukar dilupakan), ia telah menyedarkan Jing. Ke untuk berhenti melakukan pembunuhan.

Plot yang awalnya memang plot palsu Lady Zhao bertukar menjadi tindakan yang sebenar. Tetapi sayang, plot yang dilakukan oleh Lady Zhao dan Jing Ke tidak berjaya mengatasi strategi Maharaja Yin Zheng yang lebih bijak dan Jing Ke mati dalam plot yang tidak berjaya.

Sebagai sebuah filem epik sejarah, The Emperor and The Assassin mewah dengan set yang gemilang dan hasil kerja fotografi yang cemerlang. Fotografi bukan sahaja mengisi visual periodik tetapi kawalan cahaya dan mood warna berupaya menyarankan kesan dramatik yang hebat.

Pengarah reka bentuk filem ini Tu Juhua menggunakan pengalamannya selama 30 tahun di bidang ini untuk menghasilkan reka bentuk ibu kota China purba yang autentik dan sungguh majestik.

Rekaan yang mewajarkannya dianugerahkan rekaan artistik terbaik di festival Filem Cannes 99. Dengan bantuan ribuan pelakon tambahan, filem ini kelihatan spektakular, terutama adegan perang dan pertarungan serta kemusnahannya yang cukup dahsyat.

Chen Kaige sebagaimana ahli-ahli Generasi Kelima Pengarah Filem China (antaranya Wu Tianming dan Zhang Yimou) sering mengemukakan kritikan sosial dan politik terutama terhadap tradisi ribuan tahun China yang begitu feudalistik dalam filem-filem mereka kesan daripada Revolusi Kebudayaan Mao 1966.

Filem ini walaupun pada permukaannya kelihatan agak patriotik tetapi secara halus dan tersirat mempersoalkan sikap pemimpin yang idealistik tetapi kemudiannya berubah menjadi diktator untuk mencapai cita-citanya.

Cerita dan watak-watak dalam The Emperor and The Assassin ini boleh sahaja dilihat dalam konteks dunia moden. Dalam The Emperor and The Assassin, Maharaja Yin Zheng telah menanam hidup-hidup kanak-kanak Zhao supaya tidak ada lagi rakyat Zhao yang bangun menentangnya.

Tindakan zalim ini hanya untuk mencapai impian negara yang bersatu dan bahagia. Bukankah tindakan ini akan segera mengingatkan kita kepada penghapusan etnik yang dilakukan oleh tentera Serb atas nama kesatuan Yugoslavia? Malah keganasan di Yugoslavia adalah inspirasi bagi Chen Kaige dalam menghasilkan filem ini.

Chen Kaige walaupun mengagumi Maharaja China yang pertama itu tetapi dia menentang dalam banyak tindakan yang dilakukan oleh Maharaja itu kerana Chen Kaige tidak percaya kebaikan boleh dicapai melalui keganasan.

Filem ini yang menelan belanja hampir RM50 juta ini disebalik kegemilangan set dan fotografi dilengkapkan oleh kekuatan pelakon utamanya. Li Xuejian memberikan dinamisme pada watak Yin Zheng yang ironis secara konsisten. Gong Li membuktikan yang dia masih pelakon China yang terbaik masa kini di sebalik kejelitaan dan kelembutannya terpancar kemarahan, dendam yang menyala dan kekecewaan bila negerinya dimusnahkan.

Sungguhpun The Emperor and The Assassin gagal menyaingi kehebatan filem Chen Kaige yang terdahulu Farewell To My Concubine yang menang Palme D'Or, namun anda tidak akan menyesal menonton filem ini.

Sumber : Utusan Online 22/10/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001