Ulasan
Review
. .

Judul : Tarzan
Pengarah : Kevin Lima dan Chris Buck

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Tarzan krisis identiti antara manusia dan beruk

Tarzan adalah antara watak komik yang paling dikenali dalam sejarah sastera. Selepas Edgar Rice Burroughs pertama kali memperkenalkan watak Tarzan dalam Tarzan The Apes (1912), watak ini telah muncul dalam pelbagai bentuk buku, komik dan filem.

Tarzan juga antara watak yang paling banyak difilemkan selepas Dracula. Hampir tidak ada yang tidak diketahui tentang Tarzan.

Cabaran yang perlu dihadapi oleh filem ini bukan mudah, ia perlu memikirkan cara yang lain dan terbaik untuk bercerita tentang Tarzan.

Kevin Lima dan Chris Buck, pengarah filem ini mengambil pendekatan yang berbeza. Sungguhpun mengekalkan beberapa bahagian cerita asal Tarzan, tetapi plot penting yang cuba dibawakan oleh filem ini bukan hanya adventure Tarzan tetapi persoalan survival kumpulan haiwan di rimba Afrika, kesinambungan kekeluargaan dan krisis identiti Tarzan.

Dengan meringkaskan sejarah awal Tarzan, filem ini memperlihatkan soal penerimaan keluarga gorila dan haiwan lainnya terhadap Tarzan yang kelihatan berbeza daripada mereka.

Tarzan yang masih kecil berjaya diselamatkan oleh seekor gorila betina, Kala (Glenn Close) daripada menjadi habuan seekor harimau yang sedang lapar.

Kala mengambil keputusan untuk memelihara budak yang ditemuinya dan kemudian memberikannya nama Tarzan.

Kerchak (Lance Henrickson) sebagai ketua kumpulan gorila di rimba itu nyata tidak menyenangi tindakan Kala dan dia sukar untuk menerima Tarzan ke dalam kumpulan mereka.

Nyata, Kerchak sentiasa menjadi halangan walaupun bukan musuh kepada Tarzan untuk dia diterima ke dalam keluarga gorila itu, sungguhpun Tarzan dapat diterima sebagai ahli keluarga haiwan di rimba tersebut.

Kerchak mempunyai sebab untuk sukar menerima Tarzan ke dalam keluarga kumpulan tersebut kerana Tarzan bukanlah binatang dan Kerchak sebagai ketua kumpulan perlu menjaga keselamatan serta kesinambungan keluarga gorila daripada ancaman luar.

Ketibaan kumpulan pengkaji yang diketuai oleh Prof. Porter, anaknya Jane Porter (Minnie Driver) dan si pemburu Clayton ((Brian Blessed) nyata makin meresahkan dan menakutkan Kerchak akan keselamatan kumpulannya.

Kerisauan Kerchak memang berasas apabila dia kemudian turut menjadi mangsa keganasan Clayton, biarpun Tarzan yang seharusnya berangkat ke England kemudiannya kembali ke pangkuan kumpulan serta keluarga haiwannya dan berusaha menyelamatkan Kerchak dan gorila lain daripada buruan Clayton.

Tarzan yang diimaginasikan oleh Kevin Lima dan Chris Buck ini rasanya lebih menarik dengan gerakan Tarzan yang lebih mendekati pergerakan gorilla.

Malah persoalan yang dibawakan adalah lebih relevan dan universal, masalah kesinambungan dan survival keluarga.

Antara hubungan kekeluargaan seorang manusia dan sekumpulan binatang. Siapakah Tarzan kali ini? Lelaki gagah yang resah? Di satu peringkat filem ini membawa persoalan krisis identiti Tarzan, antara dirinya seorang manusia dan kehidupannya bersama haiwan sejak kecil.

Siapa Tarzan yang cuba menjadi lebih daripada mereka sendiri. Tarzan kali ini adalah cerita tentang pencarian seorang anak muda yang bergelut dengan identiti diri dan berusaha supaya dirinya diterima dalam kumpulan haiwan yang memeliharanya.

Persoalan ini belum pernah ditimbulkan dalam mana-mana filem Tarzan sebelum ini.

Aspek yang selalunya menarik dalam setiap filem animasi ialah usaha mempertingkatkan kecanggihan teknologi dan kehalusan seni animasi. Tarzan sungguhpun masih mengekalkan tradisi animasi Disney, tetapi telah meningkat dengan teknologi animasi yang baru. Pengarah seni Dan St. Pierre dan penyelia grafik komputer filem ini Eric Daniels menggunakan program ''deep canvas'' untuk menghasilkan imej tiga dimensi yang dinamik.

Kecanggihan imej ini terbukti dengan keupayaan menghasilkan adegan-adegan Tarzan bergayut dari satu pokok ke satu pokok lain atau adegan pergelutan antara Tarzan dengan Clayton yang cukup hidup, pantas dan dinamik.

Hutan hujan tropika yang menjadi latar filem ini bukan sahaja dihasilkan dengan cukup cantik tetapi berjaya menghidupkan lagi suasana serta memberikan karakter yang tersendiri untuk filem ini.

Keindahan tradisi filem-filem animasi Disney bukan sahaja pada animasinya, tetapi keupayaannya memberikan jiwa dan emosi pada animasinya serta keseronokan adventure, keresahan, pencarian dan kelucuannya.

Untuk pertama kali, filem animasi Disney ini dialih bahasa ke bahasa Melayu dengan menggunakan suara daripada pelakon tempatan seperti Ramona Rahman (Jane), Amir Yusuf (Tarzan), Norina Yahya (Kala), Sandra Sodhy (Terk) dan Zaibo (Tantor). Lagu yang versi Inggeris dinyanyikan oleh Phil Collins telah dinyanyikan semula dengan baik oleh Zainal Abidin.

Saya menonton kedua-dua versi filem ini. Sungguhpun versi bahasa Inggeris jauh lebih baik mutu dubingnya, tetapi ternyata keupayaan pelakon tempatan dalam memberikan suara untuk filem ini wajar dipuji dan tidak mengecewakan.

Sumber : Utusan Online 2/7/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000