Ulasan
Review
. .

Judul : Soldier
Arahan : Paul Anderson
Lakonlayar : David Webb Peoples
Pelakon : Kurt Russell, Jason Scott Lee

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : D


Soldier sistem bunyi yang membingitkan

Soldier Secara visualnya filem ini memang kelihatan gemilang. Rekaan produksi dan peranan efek khas berjaya membentuk visual filem ini. Cahaya kuning kemerahan melitupi daerah 'no man's land' tempat pelupusan dan pembuangan sampah serta tanah perkuburan dan bahan tidak berguna lainnya.

Daerah ini yang terletak di sebuah planet di ruang angkasa lepas itu kelihatan gersang, suram, misterius dan penuh kekotoran itu adalah tempat yang anehnya kelihatan paling tidak bertamadun walaupun ia memberikan tanda period futuristik.

Lebih tepat ini adalah tempat yang mati dan terasing.

Biarpun secara visual mengkagumkan, tetapi kegemilangan visual bukanlah segala-galanya bagi sebuah filem.

Visual boleh sahaja dipersembahkan sedemikian gemilang tetapi ia tidak akan membawa banyak makna sekiranya tidak dilengkapkan dengan plot dan naratif yang berkesan.

Inilah kesan yang diperoleh daripada filem Soldier arahan Paul Anderson pengarah yang bertanggung jawab memberikan kita filem Event Horrizon dan Mortal Kombat.

Soldier filem yang bertolak daripada pendekatan fiksyen sains dan thriller ini dihasilkan daripada skrip oleh David Webb Peoples yang pernah memberikan kita skrip Unforgiven.

Filem ini cuba kelihatan segemilang dan sekelas Blade Runner arahan Ridley Scott. Memang Soldier mempunyai potensi untuk menjadi filem fiksyen sains yang hebat.

Tetapi sebagaimana kesilapan sebahagian filem-filem dalam fiksyen sains ialah mengutamakan bentuk dan mengetepikan aspek naratif dan kemanusiaannya.

Soldier mengisahkan tentang masyarakat masa depan yang sudah boleh diprogramkan peranan masa depan mereka sejak kelahiran mereka lagi.

Mereka yang telah ditentukan programnya akan diasuh dan dibesarkan untuk mencapai matlamat tersebut.

Program ini juga telah berjaya mencipta secara genetik tentera masa depan yang tidak lagi mempunyai sifat gentar, kasihan atau rasa kemanusiaan.

Mereka menjadi mesin pembunuh yang akan menjalankan tugas yang diarahkan tanpa tentangan. Todd (Kurt Russell) adalah antara perintis tentera ini. Dari kecil hingga dewasa dia dilatih dengan disiplin tentera dan kehidupan yang di luar daripada manusia biasa.

Bagaimanapun zaman kehebatan Todd sebagai tentera yang hebat berlalu selepas dia ditewaskan oleh seorang lagi tentera baru iaitu Caine (Jason Scott Lee) dan Todd yang disangka sudah mati dibuang ke planet yang menjadi tempat pelupusan sampah.

Sehingga dia diselamatkan oleh sekumpulan penduduk di planet itu yang juga pernah dibuang. Selepas itu adalah pertempuran dan ledakan bila mana Todd menentang mesin tentera yang memburunya dan kumpulan penduduk tersebut.

Banyak kelemahan yang boleh dipersoalkan tentang naratif filem ini. Genre filem begini sudah semakin kering dengan naratif yang baik, selebihnya hanya pengulangan subjek dan tanpa persoalan yang menarik.

Jadilah filem ini sebagai persembahan visual yang kelihatan gemilang, dihiasi dengan kesan bunyi yang membingitkan.

Bagaimanapun kedua-dua aspek ini tidak mampu untuk menutup banyak kelemahan filem yang wajar sahaja dilupakan (atau tidak wajar ditonton).

Sumber : Utusan Online 20/11/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001