Ulasan
Review
. .

Judul : Nothing To Lose
Arahan : Steve Oedekerk
Lakonlayar : Steve Oedekerk
Pelakon : Tim Robbins, Martin Lawrence, Kelly Preston, Michael McKean, John McGinley dan Giancarlo Esposito.

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C


Mencipta humor di jalanan

Sebahagian pengarah Amerika mempersoalkan keadaan industri filem di Amerika. Mereka menanyakan, sejauh mana filem masih menjadi medium pengarah. Persaingan filem yang hebat di Hollywood menyaksikan filem yang berbudget kecil (kurang US$100 juta) sering tersisih daripada perhatian studio dan juga tidak diyakini keupayaannya mencipta pasaran.

Bagaimanapun, masalah sebenar Hollywood, mereka sebenarnya menghadapi "kemiskinan" cerita yang menarik atau lebih original. Banyak filem yang dihasilkan sekadar mengulang tema lama diisi dengan idea dan klise yang sudah lama.

Filem jalanan (road movie) atau dikenali juga sebagai buddy movies adalah antara genre filem yang menarik. Filem jalanan mempunyai konsep dan ciri yang tersendiri. Setiap ciri khusus yang ada dalam filem jalanan akan memberi pengertian dan makna dalam keseluruhan cerita.

Persahabatan, jalanraya, kenderaan dan rumah adalah antara ciri utama yang harus ada dalam filem-filem jalanan. Dalam filem genre ini, ikatan persahabatan selalunya terbetik daripada dua orang yang berlainan fahaman atau ideologi.

Dalam Nothing To Lose, Nick Beam (Tim Robbins) adalah seorang eksekutif sebuah syarikat pengiklanan yang menghadapi masalah rumahtangga kerana salah sangka. Dia merasa kecewa disebabkan isterinya (Kelly Preston) disangka berlaku curang dengan ketua tempatnya bekerja.

Akibatnya Nick membawa diri dan memandu dalam kecewa di kota Los Angeles, bila mana dia tiba-tiba cuba dirompak oleh seorang lelaki kulit hitam, T-Paul (Martin Lawrence) yang sebenarnya seorang penganggur dan sesekali melakukan rompakan kecil untuk menyara diri dan keluarganya.

Tetapi kerana Nick yang sedang dilanda depressi itu, rompakan tersebut bertukar menjadi "cerita" yang lain bila mana Nick bertindak nekad memandu laju ke arah kawasan gurun Arizona dan T-Paul pula menjadi tahanan Nick.

Pertembungan yang tidak dirancang dan kerana perjalanan yang jauh itu masing-masing rupanya saling memerlukan bantuan antara satu sama lain dan hasilnya telah membetik ikatan persahabatan antara mereka.

T-Paul biarpun mempunyai isteri yang lebih memahaminya, tetapi menghadapi masalah peribadi dan keyakinan. Dia tidak mempunyai pekerjaan hanya kerana dia berkulit hitam biarpun dia mempunyai kelayakan yang cemerlang sebagai jurutera.

Di sepanjang perjalanan itu sepertimana lazimnya filem-filem dalam genre ini, Nick dan T-Paul menempuh beberapa peristiwa bersama yang nyata telah membawa perubahan pada sikap dan pandangan hidup mereka. Sebenarnya beberapa peristiwa yang dialami oleh mereka di sepanjang perjalanan itu akan mengingatkan kita kepada persamaan yang ada dalam filem Thelma And Louise arahan Ridley Scott.

Nothing To Lose diarahkan oleh Steve Oedekerk yang pernah memberikan kita filem-filem komedi seperti The Nutty Professor dan Ace Ventura.

Sebenarnya Nothing To Lose hampir tidak menyuntik sesuatu yang baru lebih menyegarkan. Sebagai sebuah filem dalam genre filem jalanan, ia seharusnya memungkinkan sesuatu yang menarik persoalan atau pemikirannya.

Kelemahan ini sebenarnya bertolak daripada idea awal yang menggerakkan plot filem ini.

Ia bertolak daripada sangkaan Nick Beam terhadap kecurangan isterinya, yang sebenarnya sangkaan yang tidak benar. Atas sebab persoalan yang tidak kuat itu, perkembangan naratif selanjutnya menjadi tidak cukup meyakinkan.

Sebagai sebuah filem komedi, Nothing To Lose hanyalah pengulangan klise lama filem komedi Hollywood yang wataknya diisi oleh pelakon kulit putih dan pelakon kulit hitam.

Persoalannya adalah ketidak-adilan dan rasa tidak puas hati kaum kulit hitam terhadap layanan yang mereka terima.

Tim Robbins memang bukan pelakon komedi berbanding dengan Martin Lawrence seorang pelakon komedi yang terkenal di Amerika, malahan telah mempunyai programnya sendiri di televisyen.

Tetapi Tim Robbins tidaklah mengecewakan dan lakonan Martin Lawrence juga berupaya memberikan humor yang menarik.

Tetapi apa yang agak mengecewakan, Nothing To Lose sebagai filem jalanan nyata tidak membawa sesuatu yang lebih mencabar dan sebagai filem komedi, ia hanya menghidangkan komedi yang mengulang klise dan stereotaip lama.

Sumber : Utusan Online 10/10/1997

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000