Ulasan
Review
. .

Judul : Mafia
Arahan : Jim Abrahams
Lakonlayar : Jim Abrahams, Greg Norberg & Michael McManus
Pelakon : Lloyd Bridges, Jay Mohr, Christina Applegate, Pamela Gidley dll.

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : D


Tiru filem selepas cipta komedi Mafia

Menghasilkan filem-filem komedi spoof bukanlah sesuatu yang asing di Hollywood. Mereka menghasilkan komedi spoof dengan mengkomedikan beberapa adegan tertentu yang popular dan cukup diingati daripada filem-filem terkenal dan diakui hebat.

Tidak dinafikan ada waktunya komedi jenis ini mampu memikat dan melucukan walaupun adegan sebenar yang ditiru tidak semestinya lucu.

Antara pengarah yang gemar membuat filem komedi jenis ini adalah Jim Abrahams.

Dalam filem Hot Shots, dia mengulang beberapa adegan dalam Apocalypse Now dan Wall Street dalam bentuk komedi.

Dalam filem terbarunya Mafia, adegan pembukaan filem itu yang menunjukkan watak Tony Cortino (Jay Mohr) melayang dalam gumpalan api bila keretanya diletupkan, segera mengingatkan kita kepada adegan dalam filem Casino arahan Martin Scorsese.

Jim Abrahams tidak sahaja mengkomedikan adegan daripada filem Casino sahaja, tetapi beberapa adegan komedinya segera mengingatkan kita kepada beberapa buah filem terkenal, antaranya Forrest Gump, The English Patient dan yang paling jelas adalah The Godfather Part 2.

Mafia kemudian memulakan ceritanya dengan adegan imbas kembali kehidupan Tony dan keluarganya yang miskin di Pulau Sicily, adegan yang sama dalam filem The Godfather 2 arahan Francis Ford Coppola.

Tony yang diburu oleh sekumpulan gangster telah diseludupkan ke New York melalui sebuah kapal yang bernama Pacino.

Tony dewasa di New York dan telah menguasai kumpulan gangster lalu membentuk kumpulan mafianya sendiri dengan menguasai beberapa buah kasino.

Filem ini kemudian mengambil jalur cerita Godfather Part 2 dengan memasukkan elemen spoof untuk mencipta komedinya.

Selain daripada meniru beberapa adegan filem-filem lepas, beberapa adegan lucu ciptaan Jim Abrahams jelas kelihatan memualkan, bodoh dan slapstik.

Seperti yang telah dikatakan, meniru beberapa adegan filem-filem lepas untuk mencipta komedi memang boleh melucukan dan berupaya mencipta komedi yang menarik, asal sahaja dilakukan dengan bijaksana dan terkawal.

Tetapi tidak dengan filem ini yang tidak mempunyai originaliti dan dengan cita rasa komedi yang mual.

Sumber : Utusan Online 20/11/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001