Ulasan
Review
. .

Judul : Kull The Conqueror
Arahan : John Nicholella
Lakonlayar : Charles Edward Pogue
Pelakon : Kevin Sorbo, Thomas Ian Griffith, Tia Carerra, Karina Lombard dan lain-lain.

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C-


Sebuah dongeng purba

Di dalam sebuah cerita dongeng purba, hero adalah yang bertubuh sasa dan gagah dengan otot-otot yang menonjol dan dia akan berhadapan dengan penjahat yang menggunakan segala cara untuk memusnahkan si hero.

Biarpun filem-filem yang berlatarkan dongeng purba semakin kurang dihasilkan oleh Hollywood tetapi itu tidak bermakna konsep purba semakin dilupakan oleh pembikin filem Hollywood. Tetapi apa yang dilakukan Hollywood telah mengambil bentuk dan konsep cerita purba dan kemudian disesuaikan semula ke dalam cerita-cerita yang dikatakan fiksyen sains.

Ini kerana filem-filem fiksyen sains Amerika selalunya akan mengabung bentuk teknologi masa depan yang paling canggih dengan konsep dan latar suasana purba. Bukankah konsep ini yang telah digunakan oleh George Lucas di dalam Star Wars.

Dalam tahun 1982, John Millius telah menghasilkan Conan The Barbarian, sebuah filem yang didasarkan dari sebuah komik yang cukup berjaya. Filem itu berjaya mengetengahkan Arnold Schwarzenegger sebagai pelakon yang selalu dinilai pada keupayaannya mempamerkan otot-otot pada tubuhnya yang sasa itu.

Sebenarnya tidak ada apa yang dapat dibanggakan tentang filem itu kerana selain dari Arnold (dengan tubuh yang menjadi bentuk hero Hollywood), filem itu lebih diingat kerana keganasan dan pancutan darahnya.

Filem Kull The Conqueror membawakan konsep dan bentuk yang sama dengan Conan. Hero perkasa bertubuh sasa dan cerita yang bertemakan kuasa baik melawan kuasa jahat. Kull (Kevin Sorbo) yang menjadi raja kerajaan Valusia terpaksa menghadapi Taligaro (Thomas Ian Griffith) yang merasakan dia lebih layak menjadi raja.

Taligaro bersama seorang ahli sihir dan Akivasha (Tia Carerra) yang sebenarnya telah mati 3000 tahun silam tetapi kemudian dijelmakan menjadi gadis berusia 19 tahun berusaha menyingkirkan Kull dengan cara menyihirnya. Kull dengan dibantu oleh seorang hamba istana Zareta (Karina Lombard) yang juga pakar tilik dan adiknya Ascalante perlu mendapatkan nafas patung Valka untuk menewaskan Akivasha.

Plot filem ini tidak banyak bezanya dengan filem-filem dongeng purba lainnya sebelum ini. Jangan lihat aspek lakonan dalam filem seperti ini. Pengembaraan dan pertempuran adalah inti filem ini. Kerana itu filem begini agaknya masih memerlukan hero yang bertubuh sasa dan otot menonjol.

Sumber : Utusan Online 5/12/1997

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000