Ulasan
Review
. .

Judul : Good Will Hunting
Arahan : Gus Van Sant
Lakonlayar : Matt Damon & Ben Affleck
Pelakon : Matt Damon, Robin William, Ben Affleck, Stellan Skarsgard dan Minnie Driver.

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : B+


Anak muda memahami masalah mereka

Good Will Hunting Untuk usia yang sedemikian muda bagi Matt Damon dan Ben Affleck, pastilah satu kejayaan besar bila mana skrip mereka berjaya memenangi Anugerah Akademi untuk skrip terbaik. Kejayaan yang menjadikan mereka obsesi terbaru Hollywood. Tetapi siapakah Matt Damon dan Ben Affleck sebelum ini?

Matt Damon adalah bekas pelajar Universiti Harvard, yang meninggalkan universiti kerana kegilaannya untuk berlakon filem (bermula dengan filem Mystic Pizza, 1988, Geronimo dan yang terbaru The Rainmaker arahan Francis Ford Coppola). Ben Affleck, 26 tahun adalah teman baik Matt Damon sejak kecil dan pernah meninggalkan Kolej Occidental, kira-kira empat tahun lalu.

Skrip Good Will Hunting dihasilkan sebelum mereka meninggalkan kolej masing-masing. Skrip asalnya lebih mementingkan aspek thriller yang mengeksploit keupayaan daya matematik Will. Proses menghasilkan sebuah skrip yang baik juga rupanya tidak dihasilkan seorang melainkan melalui beberapa sentuhan dan kritikan orang lain. Dengan bantuan Rob Reiner, William Goldman dan Terence Malick, skrip Good Will Hunting sedia untuk difilemkan. Pengarah filem ini Gus Van Sant pula lebih terkenal dengan filem-filemnya yang off-beat seperti Drugstore Cowboy, My Private Idaho dan To Die For.

Bagaimanapun filem Good Will Hunting bukanlah membawa persoalan yang baru bagi Hollywood. Cerita tentang si genius yang bermasalah sudah banyak kali difilemkan. Skrip filem Good Will Hunting juga sebenarnya tidaklah terkeluar daripada jalur biasa filem-filem Hollywood. Tentang bagaimana kompleksiti permasalahan individu yang cuba dirongkaikan satu persatu dalam mencari penyelesaian.

Dalam Good Will Hunting kita mengikuti bagaimana permasalahan dan keangkuhan si genius matematik Will (Matt Damon) cuba dibantu oleh psikiatris Sean McGuire (Robin William). Kekuatan sebuah skrip adalah gabungan antara kekuatan binaan plot dengan watak-watak yang menarik, dan ini terdapat di dalam Good Will Hunting.

Filem ini memfokuskan kepada watak Will Hunting yang bekerja sebagai tukang cuci di Masachusette Institute of Technology. Will yang belum pun berusia 21 tahun, tetapi mempunyai kebijaksanaan matematik dengan daya ingatan fotografik. Keupayaannya menyelesaikan teorem matematik yang sukar dan kompleks, mengagumkan Profesor Lambeau (Stellan Skarsgard).

Prof. Lambeau melihat masa depan pada Will yang memungkinkan dia menjadi seorang genius matematik.

Tetapi Will juga mempunyai latar belakang yang buruk, anak yatim dan mempunyai habit yang kasar. Dia lebih rapat dengan teman-temannya yang gagal dalam pelajaran terutama Chuckie (Ben Affleck). Akibat satu pergaduhan, Will dipenjara tetapi dibebaskan dengan syarat mematuhi jadual menemui Prof. Lambeau dan psikiatris Sean McGuire seminggu sekali.

Siri pertemuan antara Will dengan Sean inilah antara adegan-adegan yang menarik dalam filem ini. Dalam adegan-adegan inilah latar silam Will dan Sean diselak satu persatu. Memang pertemuan awal mereka tidak mudah kerana sikap Will yang agresif. Tetapi sikap Sean yang tidak menekan sebaliknya cuba memahami berupaya membentuk pemahaman dan saling kenal-mengenal emosi masing-masing. Will juga mula memahami erti persahabatan dan kasih sayang.

Di sebalik kehebatan Will adalah cerita sukar seorang anak yang terbiar, yang tidak pernah keluar dari daerahnya dan lebih banyak terdedah dengan kekasaran. Hanya kawan-kawannya yang memahami Will dan sedia berkorban untuknya. Kerana itu sukar untuk Will menerima desakan dan tekanan tawaran daripada Prof. Lambeau yang cuba memanfaatkan keupayaan mental Will. Sebaliknya dia lebih gembira dengan kerja buruhnya sebagai pembancuh simen.

Di tangan Gus Van Sant filem ini mempersoalkan tentang nilai dan kepentingan. Tentang erti kasih sayang, kejujuran, kesetiakawanan dan pemahaman dengan desakan daripada seorang profesor yang cuba memanfaatkan kebijaksanaan Will. Bukanlah desakan Prof. Lambeau itu satu kesalahan tetapi dia juga tidak memberikan Will pilihan yang lain. Persoalan tentang nilai dan keangkuhan ini juga adalah pada hubungan antara Sean dengan Lambeau yang pernah berada dalam satu kolej. Atas perbezaan keyakinan dan fahaman, mereka akhirnya memilih karier yang berbeza. Tetapi hampir keseluruhan cerita dalam filem ini seakan mendebatkan nilai keyakinan dan pemahaman mereka.

Good Will Hunting adalah filem tentang orang muda, yang cuba memahami permasalahan anak muda.

Bagaimana dua generasi yang berbeza dapat saling memahami antara satu sama lain. Kekuatan filem ini dilengkapkan dengan kekuatan lakonan daripada empat pelakon utama filem ini.

Bagaimanapun kemunculan Robin William benar-benar menggerakkan filem ini.

Robin sebagai psikiatris dia juga mempunyai permasalahannya yang tersendiri selepas kematian isterinya.

Robin memberikan lakonannya yang terbaik sebagai Sean yang pernah dulu diperkecilkan oleh Lambeau.

Sebagai Sean, Robin akan mengingatkan kita pada lakonannya sebagai guru sastera Inggeris dalam filem Dead Poets Society.

Filem ini menyentuh perasaan kerana sensitivitinya.

Filem ini juga tidak memperkecilkan anak muda tetapi berusaha memahaminya. Biarpun penamat filem ini boleh dijangka tetapi pilihan yang dibuat oleh Will yang membuatkannya menarik.

Sumber : Utusan Online 17/4/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001