Ulasan
Review
. .

Judul : Gattaca
Arahan : Andrew M. Nicco
Lakonlayar : Andrew M. Nicco
Pelakon : Ethan Hawke, Uma Thurman, Gore Vidal, Elias Koteas, Jude Law, Loren Dean, Ernest Borgnine, Xander Berkeley, dll.

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Gattaca genetik dan nilai kemanusiaan

Gattaca Filem ini memberikan kemungkinan yang menarik tentang dunia masa depan, di mana kualiti kehidupan manusia ditentukan oleh kesempurnaan genetiknya. Manusia yang dilahirkan daripada proses semula jadi atau konvensional, yang tidak diproses melalui standard kejuruteraan genetik adalah manusia yang dianggap tidak sempurna, bakal menghadapi risiko daripada pelbagai kelemahan dan secara genetik dianggap tidak sah.

Ini adalah manusia masa depan yang nasibnya sudah dapat ditentukan sejak dilahirkan.

Hampir sudah tidak ada rahsia. Segala butiran peribadi daripada aspek kesihatan, keupayaan fizikal hingga kepada perhitungan hayat sudah dapat ditentukan.

Manusia yang sempurna daripada sudut fizikal dan keupayaan mental hanya dapat dihasilkan melalui keupayaan saintifik yang membuat pemilihan genetik yang terbaik.

Gattaca mendekati subjeknya dengan menarik dan meyakinkan. Ia sebuah filem fiksyen sains yang berbeza daripada kebiasaan yang selalunya dipenuhi oleh pertunjukan laser dengan efek khas atau kemusnahan besar-besaran daripada pertempuran tamadun.

Persoalan tentang kejuruteraan genetik dan kemungkinan yang boleh dihasilkannya bukan dongeng yang harus dipinggirkan.

Lagipun pengetahuan tentang kemajuan DNA dan kejuruteraan genetik sudah cukup menggemparkan dengan berjayanya proses teknologi pengklonan. Maka itu, kesan daripada kemajuan ini harus difikirkan.

Kerana itu Gattaca bukan seperti fiksyen sains yang melihat kemajuan teknologi dan hancurnya tamadun manusia, tetapi Gattaca adalah tentang kemanusiaan dan nilai kemanusiaan.

Filem ini seharusnya memikat kesedaran kita tentang aspek kemanusiaannya. Gattaca sebenarnya memfokuskan tentang persaingan antara manusia yang dianggap kurang sempurna kerana dihasilkan secara semula jadi dengan manusia yang diproses melalui kejuruteraan genetik.

Vincent (Ethan Hawke) yang dilahirkan melalui proses biasa menghadapi risiko kesihatan, daya penglihatan yang lemah, secara emosinya bermasalah dan jangka hayat yang tidak panjang.

Bagaimanapun adiknya, Anton (Loren Dean) yang dihasilkan melalui proses kejuruteraan genetik yang hanya membenarkan gabungan genetik yang terbaik telah menghasilkan manusia yang dianggap sempurna.

Sebagai bandingan Anton adalah lebih tinggi, sihat, bijak dan lebih kuat berbanding Vincent. Kerana itu Anton layak memasuki kumpulan manusia yang telah dihasilkan secara kejuruteraan genetik. Tetapi Vincent tidak mudah menyerah kalah pada keadaan dan nasib.

Dia tetap mempunyai cita-cita untuk menyertai penerbangan ke Titan yang berada di planet Saturn di angkasa lepas.

Misi penerbangan ini hanya diuntukkan kepada mereka yang dianggap sempurna. Peluang Vincent terbuka apabila Jerome Morrow (Jude Law) salah seorang calon terbaik telah lumpuh kerana kemalangan.

Kerana kemalangan itu, Jerome bersetuju bertukar identiti dengan Vincent dan membantu Vincent mencapai impiannya.

Dengan menggunakan genetik Jerome dan menukar wajah yang hampir serupa dengan Jerome, Vincent berjaya menyelit masuk ke kumpulan khas yang akan ke Titan. Tetapi kes pembunuhan yang berlaku di Gattaca Corp. hampir sahaja memusnahkan usaha Vincent.

Siasatan yang dilakukan oleh Anton yang sekarang bertugas sebagai pegawai penyiasat hampir sahaja membongkar rahsia Vincent.

Filem fiksyen sains seperti ini sebenarnya tidak bergantung pada kekuatan efek khasnya (sebagaimana lazim filem begini), sekalipun binaan setnya kelihatan futuristik, tetapi apa yang diutamakan oleh filem ini adalah kekuatan idea yang dipancarkan melalui naratifnya.

Bukan teknologi yang menjadi musuh sebenar dalam filem ini, tetapi persoalannya adalah sikap dan keyakinan manusia. Hubungan dan persaingan di antara Vincent dan Anton seharusnya menggugah fikiran.

Kecacatan Jerome yang dianggap manusia sempurna dan hubungannya dengan Vincent seharusnya menginsafkan.

Hubungan mereka dalam filem ini memberi keyakinan pada aspek kemanusiaan untuk dunia masa depan.

Ini adalah realiti masa depan dan kemungkinan yang penuh prasangka dan ketidakadilan.

Filem pertama arahan Andrew Niccol, pengarah asal dari New Zealand ini diperkuatkan terutamanya oleh lakonan Ethan Hawke dan Jude Law. Gattaca adalah antara beberapa buah filem fiksyen sains yang menarik untuk difikirkan kemungkinannya. Dunia masa depan dan kemungkinannya daripada teknologi genetik tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja.

Sumber : Utusan Online 13/3/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001