Ulasan
Review
. .

Judul : Excess Baggage
Arahan : Marco Brambilla
Lakonlayar : Max Adams, Dick Clement & Ian La Frenais
Pelakon : Alicia Silverstone, Benicio Del Toro, Christopher Walken, Harry Connick dan Jr.Jack Thompson.

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C-


Sekadar mencari perhatian

Kejayaan filem komedi Clueless (Amy Heckerling) dua tahun lalu turut bertanggungjawab melonjakkan nama Alicia Silverstone sebagai bintang baru Hollywood. Hari ini Alicia Silverstone adalah pelakon remaja yang paling popular. Kejayaan besar Alicia dalam Clueless menyebabkan syarikat Columbia terdorong untuk mengikat perjanjian dua buah filem setahun dengan Alicia.

Secara jujur, kejayaan sebuah filem bukanlah ukuran sebenar untuk menilai keupayaan seorang pelakon seperti Alicia Silverstone. Apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan pelakon muda yang lain seperti Winona Ryder, Jodie Foster mahupun Kate Winslet yang sentiasa konsistan dalam memberikan lakonan yang berkualiti.

Di Hollywood artis muda perlu bersaing kerana Hollywood sentiasa membuka ruang untuk kemunculan pelakon baru yang sentiasa hebat. Keadaan ini pernah berlaku kepada Julia Robert yang tenggelam selepas mencipta kejayaan di dalam filem Pretty Woman.

Apakah Alicia Silverstone akan mengalami nasib yang sama seperti Julia Robert? Tenggelam dalam kepopularan tetapi filem-filem mereka selepas itu bukan sahaja gagal tetapi juga tidak bermutu.

Excess Baggage diterbitkan oleh syarikat kepunyaan Alicia Silverstone sendiri. Dikeluarkan selepas kejayaan filem Clueless. Jika dalam Clueless Alicia memainkan watak anak hartawan yang cuba memadankan pasangan orang lain, bersifat ceria dan berhati baik, tetapi di dalam Excess Baggage Alicia adalah Emily seorang remaja yang memberontak untuk menarik perhatian bapanya seorang ahli perniagaan yang berjaya dan sentiasa sibuk.

Sebenarnya bukan sekali Emily bertindak nakal semata-mata untuk menarik perhatian bapanya. Usaha terbaru Emily ialah dengan mencolek dirinya sendiri, mengikat dirinya dan memasukkan ke dalam boot kereta sendiri dan seterusnya menuntut bapanya membayar wang tebusan. Bagaimanapun rancangannya bertukar menjadi kacau bilamana kereta itu pula dilarikan oleh Vincent (Benicio Del Toro) seorang anak muda pencuri kereta.

Keadaan seterusnya menjadi lebih kacau bilamana permainan colek dan tebusan Emily menjadi kenyataan. Emily dijadikan tebusan oleh dua orang penjenayah yang sebenarnya terlibat dalam pencurian kereta yang dibuat oleh Vincent.

Filem ini adalah filem komedi remaja gaya Hollywood yang telah mempunyai bentuk yang mantap. Ceritanya mengambil kisah kehidupan remaja kota yang membosan, lalu cuba mencari hiburan cara baru. Perkembangan plot filem komedi begini tidak banyak berbeza dengan filem-filem komedi aksi Hollywood lainnya. Memperbesarkan adegan yang tidak perlu secara berlebihan untuk mencipta sensasi.

Persoalan kebosanan hidup remaja kota yang kaya raya sebenarnya adalah sebahagian persoalan hidup remaja hari ini tetapi Hollywood telah meniup adegan tindak balas secara keterlaluan untuk mencipta kesan dramatik. Permasalahan sebenar yang nyata lebih menarik menjadi terpinggir kerana keghairahan pengarah untuk menonjolkan adegan-adegan aksi yang lebih dramatik.

Pengarah filem ini Marco Brambilla yang pernah menghasilkan Demolition Man tidak mempunyai masalah untuk mensensasikan adegan-adegan tertentu, tetapi dia gagal untuk menyuntik kesan humor yang lebih cerdik ke dalam filem ini. Hasilnya adegan-adegan yang dilihat hanyalah adegan-adegan tongong yang dihasilkan untuk mencipta hiburan secara yang mudah.

Tidak ada yang boleh dibanggakan dari segi lakonan yang kelihatan lemah kecuali Christopher Walken yang sudah lama tidak berlakon, melakonkan watak Ray iaitu Pakcik kepada Emily dengan gaya lakonan yang agak berbeza dari gaya lakonannya yang terdahulu. Hanya Walken memberikan lakonan yang berkesan.

Malah Alicia Silverstone gagal memberikan lakonan yang lebih berkesan dalam filem ini berbanding kemunculannya dalam Clueless. Alicia wajar mencari perspektif baru dalam lakonannya jika dia tidak mahu tenggelam sepertimana yang berlaku kepada ramai pelakon baru yang hilang selepas kejayaan filem yang pertama.

Sumber : Utusan Online 23/1/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001