Ulasan
Review
. .

Judul : Dinosaur
Pengulas : A. Wahab Hamzah


Dinosaur teknologi digital mengagumkan

Dinosaur Kisah ratusan juta tahun dahulu yang sudah lama terpadam hidup semula di layar perak. Kita seakan berada bersama menjadi saksi kehidupan kumpulan dinosaur yang pernah menghuni planet ini.

Kehidupan zaman prasejarah itu hanya dimungkinkan oleh keupayaan teknologi komputer dan kekuatan imaginasi untuk menghasilkan imej-imej itu menjadi realiti di atas layar. Anda pasti akan mengkagumi kemampuan tanpa had kerja-kerja penjanaan imej komputer (CGI) yang seakan meletakkan standard baru penciptaan imej di dalam filem dan sekali gus akan memberikan pelbagai kemungkinan baru dalam menghasilkan imej dalam filem.

Filem ini dihasilkan daripada sebuah projek animasi yang dijalankan oleh studio Disney selama empat tahun. Dinosaur yang muncul bukan lagi Dinosaur yang lebih selalu dikenali sebagai pemusnah seperti dalam Jurassic Park. Filem ini cuba mengajak kita memahami ke dalam kehidupan Dinosaur dan mala petaka sejarah yang pernah menimpa mereka.

Dinosaur yang ditulis oleh John Harrison dan Robert Nelson Jacobs mengikuti perjalanan Aladar, seekor dinosaur jenis iguanodon yang bersama kumpulan dinosaur lain cuba mencari penempatan baru selepas penempatan lama mereka musnah akibat dilanda tahi bintang. Perjalanan yang jauh, sukar, tasik yang telah kering, tanah kering kontang, gunung dipenuhi batu pejal dan pada masa yang sama harus menghadapi serangan daripada kumpulan carnotours kumpulan Dinosaur yang ganas dan memakan daging.

Sepanjang perjalanan ini Aladar sempat menaruh hati kepada Neera, seekor iguanodon betina, tetapi bertentangan dengan Kron abang Neera yang menjadi ketua kumpulan itu. Dinosaur di dalam filem ini digambarkan sebagai mempunyai emosi lembut dan boleh pula berfikir, aspek yang tidak pernah digambarkan dalam filem sebelum ini.

Filem ini mungkin tidak sama dengan filem-filem animasi Disney sebelum ini, yang penuh emosi pada cerita dan lukisan animasinya. Sebenarnya anda hanya memerlukan 15 minit selepas filem ini dibuka untuk mengagumi teknologi digital CGI yang menghasilkan imej hyper-realiti.

Turutan adegan yang mengikuti perjalanan telur iguanodon dari sarangnya ke pulau yang didiami oleh kumpulan monyet lemur, sudah cukup untuk mencipta kekaguman pada keindahan adegan dengan gabungan realiti imej CGI dan landskap semula jadi yang sebenar.

Sayangnya imej-imej dalam adegan selanjutnya sudah kehilangan kekuatan dan kesan kekaguman. Adegan selanjutnya sekadar ulangan dan kehebatan teknologi digital. Maka penonton hilang minat pada imej yang dipaparkan.

Cerita yang simplistik tanpa konflik plot yang kuat dan kukuh menyebabkan filem ini hilang keseimbangan, antara ceritanya yang lemah dan persembahan teknologi imej yang hebat di mata tetapi emosinya kering dan tidak menyentuh jiwa.

Lebih berat apabila adegan perjalanan di gurun yang kering terasa begitu panjang dan memenatkan. Adegan penamat filem ini juga kelihatan agak kabur. Jika kumpulan Dinosaur ini telah menemui penempatan baru di lembah hijau dan subur, apakah faktor yang telah membawa kemusnahan kepada mereka?

Dinosaur sebuah filem yang sarat dengan kehebatan teknologi digital CGI tetapi sebuah filem juga nyata tidak dapat hidup tanpa kekuatan cerita. Itulah punca kelemahan Dinosaur. Bagaimanapun mujurlah dalam filem ini Disney terkeluar daripada tradisi filem-filem animasi mereka. Tidak ada tarian dan nyanyian. Kalau tidak, cuba bayangkan sekumpulan dinosaur menari dan menyanyi.

Sumber : Utusan Online 23/6/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000