Ulasan
Review
. .

Judul : Deep Blue Sea
Arahan : Renny Harlin

Pengulas : Nazrullah Rosli


Deep Blue Sea filem mendebarkan

Kalau anda ingin menikmati suasana suspens sepanjang hampir dua jam tanpa henti, anda boleh memilih menonton filem terbaru, Deep Blue Sea.

Seperti biasa, filem ini berada dalam ruang lingkupnya yang sama, menghidangkan subjek yang serupa iaitu ancaman haiwan mamalia atau reptilia kepada manusia.

Tapi kali ini, Deep Blue Sea mengajak penonton menyelam ke dasar lautan yang dikelilingi jerung ganas. Filem ini dijangka mendapat sambutan kerana adegan-adegan suspens yang berterusan tanpa membuang masa.

Malah, arahan Renny Harlin ini dikira lebih hebat daripada filem Jaws dan lain-lain filem yang menggunakan laut sebagai lokasinya.

Deep Blue Sea, kisah tiga ekor jerung yang begitu cerdik, berfikiran seperti manusia, dan pada masa yang sama menjadi pembunuh kejam yang membunuh mangsanya dengan rakus dan mengerikan.

Dari awal lagi, Harlin tidak membuang masa untuk terus mengajak penonton menyelami pengalaman mendebarkan.

Dibantu dengan sistem bunyi digital yang canggih, penonton akan terpaku dengan adegan-adegan yang pastinya menyentap perasaan.

Deep Blue Sea dianggap bukan sebarangan filem seperti filem-filem sealiran dengannya.

Pengarah serba boleh ini membuktikan beliau juga boleh mengarah filem suspens berkisar di lautan.

Melihat pengalamannya sebelum ini, Harlin pernah mengarah antaranya filem aksi hebat, Die Hard 2 dan Die Harder (1993) dan Cliffhanger.

Apa yang menarik, penggambaran filem ini dilakukan di Fox Studios Baja di Selatan Rosarito, Mexico dengan menggunakan tangki air terbesar di dunia seluas 360,000 kaki persegi. Tangki air yang boleh menampung kira-kira 20 juta gelen air.

Harlin banyak menggunakan teknik Animatronics dan imej janaan komputer (CGI) dengan visual efeks terkini untuk menguatkan kesan dalaman pada filem itu.

Untuk memaparkan lebih real mengenai jerung, Harlin dan krewnya mencipta mamalia itu dengan gabungan elemen-elemen animatronics, digital dan footage jerung yang sebenarnya.

Filem ini mengisahkan sekumpulan saintis menjalani eksperimen terhadap tiga ekor jerung untuk mencari ubat yang boleh menjadi penawar kepada sejenis penyakit berbahaya kepada manusia.

Pada mulanya, eksperimen ini nampak berjaya apabila ujian yang dilakukan ke atas jerung dengan menyuntik genetik manusia ke atas otak jerung itu memberikan jawapan positif.

Bahan cecair campuran genetik manusia dan otak mamalia itu berupaya menjadi penawar yang dicari.

Jerung-jerung pula terlepas daripada sangkarnya akibat ribut itu dan memasuki makmal yang bocor.

Ikan-ikan jerung itu mula bertindak ganas dan memburu para saintis yang terperangkap di dalam makmal tersebut.

Berhadapan dengan jerung-jerung pembunuh yang boleh berfikir seperti manusia akibat kesan daripada eksperimen itu menjadi pengalaman mengerikan kepada kumpulan saintis itu.

Para pelakon filem terbitan Renny Harlin Film dan diedarkan oleh Warner Bros ini ialah Saffron Burrows, Thomas Jane, LL Cool J, Jacqueline Mckenzie dan Samuel L. Jackson.

Sumber : Utusan Online 8/9/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000