Aku melangkah masuk ke dalam ruangan perpustakaan itu dengan perlahan-lahan. Aku tidak mahu kehadiranku mendapat perhatian daripada para pengguna yang lain. Dari ekor mataku, aku tahu ada beberapa pasang mata nakal yang merenung ke arahku. Itulah perkara yang paling kubenci, menjadi bahan renungan terutamanya kaum yang bukan sejenisku. Bukanlah aku seorang anti-lelaki, tetapi aku terlalu janggal dengan kaum itu.

Meja yang terletak di satu sudut yang agak terlindung menjadi pilihanku. Selepas meletakkan buku-buku yang kubawa, aku bergerak ke arah rak-rak yang menempatkan buku-buku rujukan yang kuperlukan. Selang beberapa ketika, aku kembali ke mejaku bersama buku-buku yang berkaitan. Tanpa membuang masa, aku terus melekakan diriku dengan tugasan-tugasan yang mesti diselesaikan.

“Err, maaf kalau saya mengganggu,”

Suara itu mengacau tumpuanku terhadap sebuah buku tebal yang berkaitan dengan ilmu psikologi. Aku mengangkat muka. Seorang pemuda berkemeja biru dan berkaca mata sedang berdiri sambil tersenyum di hadapanku.

“Boleh saya duduk di sini? Semua tempat dah penuh,”

Aku berpaling ke arah ruangan perpustakaan yang cukup luas itu. Benar, kuperhatikan semua kerusi yang tersedia sudah tidak lagi kosong seperti yang kulihat sewaktu masuk tadi. Aku melirik ke arah jam tangan Gucci kesayanganku. Jarum pendeknya terletak di nombor lima, manakala jarum panjangnya menghala ke nombor enam. Tidak hairanlah begitu ramai penggunanya kerana perpustakaan itu biasanya akan penuh selepas waktu Asar. Dalam diam, aku bersyukur kerana turun awal 45 minit daripada orang lain. Jika tidak, kempunanlah aku untuk mendapatkan kerusi dalam perpustakaan itu.

“Ehem, lama berfikir?”

“Oh, maafkan saya. Terlupa pula. Ya, silakan duduk,”

Fikiranku terbantut apabila mendengar lelaki itu berdehem. Dengan pantas, aku membenarkan dia duduk di kerusi yang terletak berhadapan denganku. Satu-satunya kerusi yang masih kosong, kukira. Untuk menghalangnya, tentulah tidak manis bagiku.

“Uhm, kerja yang cikgu bagi tadi, awak dah siapkan?”

Setelah hampir setengah jam dia mengambil tempat di hadapanku, dia mengeluarkan pertanyaan itu. Aku sekali lagi berasa terganggu. Namun, aku paksakan juga kepalaku untuk mengangguk, mengiyakan soalannya.

“Oh, saya baru siapkan. Patutlah saya tengok awak relax aje,” Aku mengangguk lagi.

“Saya tengok awak ni, macam pendiam aje. Dalam kelas pun, awak tak banyak bercakap. Susah nak dengar awak ketawa. Kalau bersuara pun, bila menjawab pertanyaan cikgu-cikgu aje,”

“Tak ada apa yang perlu diketawakan setiap masa. Saya bukanlah seorang yang pendiam, cuma saya jarang bersuara. Saya juga seperti rakan-rakan yang lain, mungkin awak aje yang tak perasan,”

Aku membalas kata-katanya tanpa melihat ke arahnya. Bukannya apa, aku sebenarnya malu untuk bertentangan mata dengan pelajar lelaki yang paling top di sekolah itu. Namun, untuk aku mengangkat punggung dari kerusi itu adalah tidak patut baginya.

Lima belas minit kemudian, aku nekad untuk melangkah keluar dari ruangan ilmu itu. Selesai mengemas, aku bangkit dari kerusiku. Pemuda di hadapanku itu mengangkat muka dan bertanya.

“Dah nak keluar, ke?” Aku hanya mengangguk.

Dia melirik ke pergelangan tangan kirinya dan pantas mengemas barangan miliknya. Aku tercengang apabila dia meminta aku agar menunggunya. Mahu tidak mahu, aku patuh dengan permintaannya. Seketika kemudian, kami beriringan keluar dari kutub khanah yang luas itu. Aku sedar langkah kami menjadi perhatian beberapa orang gadis yang mengerling tajam kepadaku.

“Masih awal lagi, kan? Apa kata kita ke taman sebentar?”

Aku tidak membalas. Waktu itu, dapat kurasakan hati dan fikiranku sedang berperang antara satu sama lain. Hatiku beria-ia menyuruh aku menyambut pelawaan tersebut, manakala fikiranku pula menyekat kakiku untuk terus melangkah. Agak lama aku diam memikirkan pelawaan itu sehinggalah lelaki tersebut berdehem dengan agak kuat. Lamunanku terhenti dan baru aku sedar bahawa lelaki itu telah berada beberapa meter di depanku. Rupa-rupanya dia telah melangkah ke arah taman ketika aku masih lagi mencari keputusan yang sepatutnya diberikan padanya.

Kami tiba di taman sekolah beberapa minit kemudian. Agak ramai pelajar yang sedang melepak di gigi tasik buatan yang terletak di tengah-tengah taman itu. Kami melangkah beriringan melalui jalan yang dibina tidak jauh dari gigi air tasik. Sambil melangkah, kami berbual-bual mengenai diri masing-masing dan juga mengenai peperiksaan yang bakal menjelang.

Tiba-tiba, Ouch!!!

“Ya ALLAH! Sakit, tak?”

Aku dapat merasakan mukaku merona merah pada waktu itu. Dalam keadaan yang amat memalukan itu, aku hanya mampu menundukkan wajah. Buku-buku yang bertaburan jatuh di hadapanku dikutip oleh lelaki tersebut. Aku menggosok dahiku yang berdenyut sakit dengan lembut. Aku ketawa perlahan. Lelaki itu melihatku dengan hairan, tapi akhirnya turut ketawa sama.

“Macam manalah awak boleh langgar tiang sebesar itu?”

Dia bertanya setelah ketawanya reda. Aku tidak membalas. Tangan kananku masih menggosok dahiku yang masih berdenyut. Dalam hati, aku memarahi diriku sendiri kerana cuai ketika berjalan sehingga terlanggar salah satu tiang lampu yang sudah sekian lama terpacak di sepanjang taman itu. Malunya bukan kepalang! Ikutkan hati, mahu rasanya aku berlari ke asrama dan tidak mahu lagi melihat mukanya.

“Masih sakit lagi?” Aku menggeleng.

“Ok, kalau macam tu, berapa jari yang saya tunjuk ini?”

Dia bertanya kepadaku sambil menegakkan tiga batang jari kanannya. Aku ketawa melihat reaksinya yang bersahaja itu. Beberapa orang pelajar yang berada di kawasan tersebut melihat dengan penuh kehairanan. Ketawaku terhenti. Untuk menyelamatkan keadaan. aku mengambil buku-buku milikku yang dikutip olehnya sebentar tadi dan meneruskan langkah yang agak lama terhenti akibat insiden yang memalukan tadi.

Aku pulang ke asrama kira-kira pada jam 6.30 petang. Di bilikku, roommateku sedang berbaring di atas katilnya sambil membaca sebuah novel bertajuk “Suara Hati” karya Anis Ayuni. Tidak mahu mengganggunya, aku terus mencapai tuala dan berlalu ke bilik mandi. Peristiwa yang berlaku sebentar tadi masih berlegar di kotak fikiranku. Mengenangkan insiden aku terlanggar tiang di taman menyebabkan aku senyum sendiri.

Selesai mandi, aku memilih untuk memakai sehelai t-shirt lengan pendek berwarna biru kesayanganku dipadankan dengan sehelai seluar track warna sedondon. Roommateku telah berhenti membaca dan sedang termenung sendirian.

“Sudah baca novel, termenung. Bagus, amalkan selalu. Entahkan mandi entahkan tidak. Bilik ni dah berbau semacam dah.”

Aku mengusik Afnan, roommateku yang kuanggap seperti saudaraku sendiri. Afnan membaling bantal kecilnya kepadaku. Aku pantas mengelak dan ketawa. Bantal yang jatuh di atas lantai kukutip dan kulempar kembali kepadanya.

“Kau ke mana tadi? Dah senja, baru ingat nak naik.”

“Aku ke library. Nak ajak kau, dah masuk “U” pun, tak tahu lagi nak ikut ke tak.”

Afnan ketawa. Dia tahu aku hanya bergurau. Memang betul, Afnan agak susah untuk ke perpustakaan sekiranya keadaan tidak mendesaknya berbuat demikian. Aku telah terlalu masak dengan perangainya itu.

“Kau nak turun tak nanti, Anis? Aku laparlah.”

Aku pantas menggeleng. Niat di hati untuk mengusiknya sahaja. Aku sebetulnya agak lapar kerana aku hanya makan pada waktu pagi sebelum ke kelas dan tidak sempat untuk makan tengah hari. Tentunya aku akan turun untuk makan malam.

“Ala, Anis. Temankanlah aku turun. Takkan kau nak biar aku turun seorang?”

“Iya la, tuan puteri. Akan hamba turutkan kata-kata tuan puteri.”

Aku membalas dengan nada gurauan. Afnan ketawa riang. Dia bangkit mencapai tuala dan menghilang di sebalik bilik air. Dalam hati, aku bersyukur kerana dapat belajar di sekolah yang amat selesa ini. Apa tidaknya, setiap bilik asrama dilengkapi dengan bilik air dan tandas sendiri. Jadi, tidak perlu bagi aku dan para pelajar yang lain untuk berebutkan bilik air. Pendek kata, sekolah ini setaraf dengan pusat-pusat pengajian tinggi.

Afnan keluar dari bilik air ketika aku sedang menyisir rambutku. Dia memakai sehelai long skirt berwarna hitam dan sehelai blaus berwarna kuning susu. Tiba-tiba, dia ternganga sambil matanya tertumpu pada wajahku.

“Hei, apa kena kau ni. Ternganga tengok aku?”

“Kenapa dengan dahi kau tu? Macam bengkak aje.”

“Aku terhantuk. Don’t worry. Sikit aje.”

“Terhantuk apa sampai bengkak macam tu?”

“Malaslah nak cerita. Tak ada apa-apalah.”

Aku mencapai jaket nipis berwarna biru laut kesukaanku dan menyarungnya ke badanku. Aku ingin melindungi t-shirt lengan pendek yang kupakai kerana tidak mahu mendedahkan auratku pada pandangan umum. Setelah siap semuanya, kami berdua melangkah turun ke kafetaria sekolah untuk mengisi perut yang semakin rancak berkeroncong.

Di kafetaria, masih banyak kerusi yang kosong. Aku dan Afnan memilih tempat yang agak terlindung dan memesan sepinggan mi goreng dan segelas milo ais setiap seorang. Sambil menunggu pesanan tiba, kami berbual kosong.

Sedang kami rancak berbual, kedengaran satu suara yang agak riuh dari satu arah berhampiran dengan meja kami. Aku dan Afnan berpaling ke arah datangnya suara itu. Rupa-rupanya, beberapa orang pelajar lelaki baru sahaja melangkah masuk ke kafetaria itu secara berkumpulan. Kami hanya membiarkan kumpulan tersebut. Namun, ketika aku ingin berpaling dari arah itu, mataku tersilau pada satu wajah yang amat dikenali.

Lelaki itu turut memandang kepadaku dan tersenyum manis. Aku membalas senyumannya dan pantas memalingkan mukaku ke arah lain. Malunya aku bila teringat kembali insiden petang itu.

“Eh, itu Iskandar, kan?”

Afnan memuncungkan bibirnya ke arah lelaki yang tersenyum padaku tadi. Aku hanya mengangguk tanpa berpaling ke arah yang ditunjukkan. Aku sudah maklum benar siapakah yang dimaksudkan.

“Handsomelah dia, kan?” Afnan menyambung lagi.

“Afnan, jangan nak menggatal! Hariz kau, nak letak kat mana?” Aku mengingatkan.

“Ala, kau ni, Anis. Aku puji aje. Bukannya apa. Kau nak, ambillah. Secocok!”

Nasibku amat baik kerana pesanan kami tiba tepat pada masanya. Bukannya apa, kalau tidak, pastinya sukar untuk melarikan diri dari topik tersebut. Afnan, kalau sudah buka mulut, susah sikit untuk ditutup semula. Jadi, sebelum dia keluarkan topik-topik yang mengarut, baiklah disumbat dengan makanan. Silap haribulan, nanti dipanggilnya Iskandar untuk makan semeja dengan kami.

Hari ini, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikeluarkan. Awal-awal pagi lagi aku telah bersiap-siap untuk ke sekolah. Dalam hatiku, debaran menghempap dada bagaikan ombak tsunami yang menghempas pantai. Bagaimanakah keputusanku nanti? Adakah aku berjaya atau sebaliknya? Persoalan demi persoalan menari-nari di kotak fikiranku. Tidak sabar rasanya untuk mengetahui hasil usahaku selama ini.

Sewaktu aku melangkah masuk ke perkarangan sekolah, sudah ramai rakan-rakan sepersekolahanku berada di sana. Masing-masing bagaikan tidak sabar menantikan keputusan yang amat penting itu. Tidak lama kemudian, aku ternampak bayangan Afnan. Dia melambaikan tangannya dan menunjukkan isyarat agar aku pergi kepadanya. Kami kemudiannya berpelukan antara satu sama lain. Sebelum ini, Afnan menghabiskan cutinya di rumah neneknya di utara tanah air menyebabkan kami sudah lama tidak dapat bersua. Namun, pelukan kami terpaksa dileraikan apabila sepasang kaki berhenti agak rapat dengan kami. Aku mengangkat muka. Iskandar? Dia tersenyum kepadaku dan aku membalasnya dengan sekuntum senyuman juga.

“Uhm, Anis. Aku nak pergi sana kejap, kat Haris.”

Belum sempat aku menghalangnya, Afnan dah berlari-lari anak meninggalkan aku berdua dengan pelajar lelaki paling top di sekolah itu. Aku jadi kelu, tidak tahu bagaimana untuk memulakan bicara.

“Tahniah, Anis! Is dengar Anis jadi best student kat sini.”

“Tak adalah. Keputusan belum diketahui lagi. Mungkin awak, kut?”

Seperti biasa, Iskandar yang membuka kata. Aku sebenarnya kekok mendengar dia membahasakan dirinya dengan singkatan namanya itu. Apatah lagi dia menyebut namaku ketika bersuara, bukannya ‘awak’ atau ‘saya’ macam dulu.

Iskandar nampaknya ingin menyambung bicara, namun pengumuman yang bergema di persekitaran sekolah waktu itu membantutkan kata-katanya. Semua pelajar yang akan mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diminta berkumpul di dewan sekolah.

“Jom kita pergi sana.”

“Tak apalah, saya pergi dengan kawan saya, Afnan. Awak pergilah dulu.”

Aku menolak lembut pelawaan itu. Bukannya apa, aku takut pelajar-pelajar lain membuat cerita yang tidak elok tentang aku dan Iskandar jika kami dilihat berdua-duaan walaupun kami berada dalam kawasan sekolah. Maklumlah, mulut orang…

Aku dan Afnan menuruti langkah para pelajar lain ke dewan sekolah. Beberapa orang guru berdiri di atas pentas bersama Puan Pengetua. Keadaan itu sudah biasa di sekolah itu apabila tiba saat keputusan sesuatu peperiksaan persijilan diketahui. Seperti tahun-tahun sebelumnya, Puan Pengetua akan mengumumkan pelajar terbaik dalam sesuatu peperiksaan terlebih dahulu sebelum menyerahkan keputusan kepada pelajar-pelajar lain.

“Baiklah, sekarang saya akan umumkan pelajar terbaik sekolah pada tahun ini…”

Puan Pengetua berhenti seketika, tidak menyambung kata-katanya membuatkan ruang dalam dewan itu hingar-bingar buat seketika. Beberapa saat kemudian, dia mengangkat tangan memberi isyarat bahawa dia meminta semua pelajar menutup mulut.

“Tahun ini mencatat sejarah kerana mempunyai sepasang pelajar terbaik yang masing-masing memiliki keistimewaan tersendiri. Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, di mana pelajar terbaik hanyalah seorang di antara beratus-ratus pelajar, tahun ini kita mempunyai dua orang yang memperoleh keputusan yang sama dalam Sijil Pelajaran Malaysia bagi tahun ini…”

“Pelajar terbaik kita yang pertama adalah pelajar lelaki. Memang tidak dinafikan lagi, pelajar ini mempunyai rekod bersih sepanjang berada di sekolah ini dan merupakan seorang pelajar yang agak top. Pelajar itu berjaya mendapat 1A dalam semua subjeknya.”

Belum sempat Puan Pengetua menyebut nama pelajar itu, seluruh dewan bergema dengan sorakan menjeritkan nama Iskandar. Semua pelajar begitu yakin bahawa pelajar lelaki yang dikatakan oleh Puan Pengetua itu adalah dia.

“Uhm, pandai kamu semua teka! Dijemput Iskandar Mohammad Amir naik ke pentas.”

Sorakan dan tepukan bergema mengiringi langkah Iskandar ke atas pentas. Aku dapat mendengar beberapa pelajar perempuan yang berdiri tidak jauh dariku berbicara tentang pemuda tersebut.

Selepas beberapa minit, dewan kembali sepi menantikan Puan Pengetua mengumumkan pelajar terbaik yang kedua. Semuanya tidak sabar untuk mengetahui siapakah yang berjaya berkongsi gelaran pelajar terbaik bersama Iskandar.

“Pelajar terbaik yang kedua adalah seorang pelajar perempuan. Pelajar ini layak digelar diam-diam ubi berisi. Siapa sangka gelaran pelajar terbaik dapat dirangkul olehnya, tapi dia sememangnya layak untuk mendapat gelaran ini. Seorang pelajar yang jarang bersuara, tapi bernas pendapatnya jika dibuka mulutnya. Dijemput Anis Ibtisam Haiqal naik ke pentas.”

Serentak itu juga Afnan merangkul tubuhku sambil mengucapkan tahniah. Para pelajar lain berpaling ke arahku. Tepukan yang agak gemuruh menyedarkan aku bahawa aku tidak bermimpi. Aku mengatur langkah ke atas pentas dan berdiri di samping Iskandar. Pemuda itu menghadiahkan sekuntum senyuman yang amat menarik sambil membisikkan ucapan tahniah.

Ketika aku berjalan keluar dari dewan sekolah itu, kedengaran satu suara memanggilku. Aku berpaling. Iskandar melambaikan tangan kanannya sambil berlari-lari anak kepadaku.

“Is belanja Anis makan, atau minum, nak tak?”

“Lain kali sajalah, ya?”

“Kenapa ni, Anis? Takkanlah tak boleh nak raikan kejayaan kita?”

“Siapa lagi yang akan pergi?”

“Kita berdua saja, boleh?”

Aku jadi serba-salah. Antara terima atau tolak, sama banyak. Kalau terima, rasanya kurang manis sebab hanya aku dan dia sahaja. Kalau tolak pula, tentu nanti akan menyebabkan dia berkecil hati.

“Is ada hal nak cakap dengan Anis. Bolehlah, ya?”

“Baiklah, minum saja. Saya nak balik awal.”

“Minum pun minum aje laa. Jom kita pergi.”

Tidak pernah aku melihat Iskandar gembira seperti itu. Senyumannya lebar dan dia tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepadaku kerana menerima pelawaannya. Beberapa orang pelajar menjeling ke arah kami melihat berjalan beriringan. Kuperhatikan ada di antara mereka berbisik antara satu sama lain tanpa mengalih pandang terhadap kami. Situasi inilah yang paling kubenci.

Kami memasuki sebuah restoren KFC yang terletak tidak jauh dari sekolah kami. Terdapat sekumpulan pelajar lelaki yang duduk makan di sebuah meja dalam restoren tersebut, namun mereka tidak mengendahkan kami berdua. Masing-masing hanya mengangkat tangan menyapa Iskandar dari jauh dan kembali menyambung perbualan mereka sambil menjamu selera.

Aku dan Iskandar mengambil tempat yang agak jauh daripada pelanggan lain. Pada mulanya, aku enggan, tapi aku mengalah apabila Iskandar menegaskan bahawa dia mahu memberitahu aku sesuatu yang amat penting dan tidak mahu perbualan kami didengari.

“Anis nak further study lepas ni?” Iskandar memulakan bicara.

“Belum tahu lagi. Tunggu tawaran dulu. Awak?”

“Sama ngan Anis, tunggu tawaran.”

Kami berdua membisu seketika. Tidak lama kemudian, Iskandar menyambung…

“Kenapa Anis gunakan saya atau awak? Kenapa tak bahasakan nama Anis?”

“Buat apa nak bahasakan nama?”

“Is lebih suka Anis bahasakan diri Anis sendiri. Lebih mesra.”

“Tapi, kenapa?”

“Inilah perkara penting yang Is nak beritahu Anis…”

“Apa dia?”

“Sebenarnya Is sukakan Anis. Sejak kali pertama Is tengok Anis. Dah lama Is nak dekati Anis, tapi Anis sering mengelak untuk bertemu pandang ngan Is. Anis tak suka tengok muka Is?”

Aku tersentak dengan luahan berani Iskandar itu. Dapat kurasakan wajahku merona merah menahan malu. Selama ini, belum pernah ada lelaki yang meluahkan perasaannya terhadapku secara terang-terangan seperti ini.

“Anis, please say something. Dah lama Is sukakan Anis. Afnan pun tahu.”

“Apa? Afnan dah tahu pasal ni?”

“Ya, Is ada tanya pendapat Afnan tentang macam mana nak dekati Anis. Dia suruh Is terus-terang aje pada Anis. Pada mulanya, Is tidak bersetuju dengan pendapatnya itu. Namun, mengingatkan dia kawan baik Anis, Is setuju. Tentu dia lebih arif tentang Anis.”

“Saya tak tahu nak kata apa. Semua ini terlalu mendadak.”

“Tak apa. Is tak nak jawapan segera dari Anis. Is cuma nak beritahu Anis isi hati Is. Anis fikirkanlah tentang ini. Is bertindak seperti ini kerana Is tak nak ada orang lain yang bertindak sebelum Is.”

Bunyi telefon bimbitku menyelamatkan keadaanku yang masih dalam kejutan. Aku pantas menjawab panggilan tersebut. Ibuku menelefon dan membebel kerana aku tidak memaklumkan keputusanku kepadanya. Aku seperti tersedar dari lamunan yang panjang. Betapa aku terlupa untuk menelefon ibuku setelah menerima keputusan peperiksaanku. Aku segera memohon maaf dan memintanya agar bersabar sehingga aku pulang.

“Kenapa Anis tak bagitau dalam telefon?”

Iskandar bertanya setelah aku mematikan talian.

“Tak apa, sengaja nak biarkan ibu suspens. Uhm, saya balik dululah.”

“Kenapa cepat sangat? Makanlah dulu.”

“Kan dah janji nak minum aje. Saya dah minum dah. Balik dulu, ya?”

“Anis, Is minta maaf kalau tindakan Is tadi memusnahkan hari Anis ni.”

“Tak apa, jangan bimbang. Awak tak buat salah pun.”

“Anis tak marah, ke?”

Aku menggeleng dan pantas berpaling membelakangi Iskandar. Sebelum melangkah pergi, aku melambai kepadanya tanpa melihat ke arahnya. Cepat-cepat aku mengatur langkah untuk keluar dari restoren tersebut, meninggalkan Iskandar keseorangan.

Beberapa tahun telah berlalu setelah aku menamatkan pengajianku di salah sebuah universiti terkemuka di luar negara. Sekarang, aku bekerja sebagai salah seorang pekerja biasa di syarikat milik keluargaku. Walaupun aku adalah anak kepada pemilik syarikat tersebut, namun itu tidak bermakna aku dapat menjawat jawatan tinggi dengan mudah. Ayahku mahu aku bermula dari bawah, untuk mencari pengalaman katanya.

Hari ini, genaplah tiga tahun aku bekerja di syarikat ayahku. Lebih bermakna lagi, hari ini adalah hari lahirku yang ke-27. Sekejap saja masa berlalu, dah semakin meningkat usiaku nampaknya. Di pejabat, aku dikejutkan dengan hadiah istimewa daripada ayahku, iaitu kenaikan pangkat menjadi Penolong Pengurus. Aku begitu gembira menerima hadiah tersebut.

Namun, di rumah lain pula ceritanya. Setelah selesai makan malam, aku dipanggil oleh ibuku ke ruang depan rumah kami. Aku jadi hairan melihat ayahku merenung tepat ke mukaku. Aku cuba bertenang dan menunggu butir bicara yang selanjutnya.

“Anis, ibu dan ayah ada perkara nak diberitahu…” Ayahku membuka mulut.

“Perkara apa, ayah?”

“Petang tadi, sebelum Anis pulang dari kerja, ada orang datang ke rumah kita…”

Suasana sepi menyelimuti ruang itu, tapi hatiku tidak sesepi itu. Dalam sedarku, kulihat ibuku menyeluk saku bajunya dan mengeluarkan sebuah kotak baldu kecil berwarna biru. Kotak itu dihulurkan kepadaku. Kubuka kotak itu perlahan-lahan.

“Cincin untuk Anis ke, ibu? Untuk hari lahir Anis? Terima kasih, ibu, ayah.”

“Tidak, Anis. Bukan dari ibu atau ayah.”

Ayat yang keluar dari bibir ibuku itu menyentakkan perasaan kecilku. Kalau bukan dari ibu atau ayahku, dari siapa? Aku memandang wajah kedua-duanya silih berganti. Ibuku akhirnya menyambung…

“Anis telah dipinang orang. Petang tadi, rombongan lelaki datang. Itu cincinnya.”

Aku terpempan. Berita itu amat mengejutkan aku.

“Tapi, kenapa ibu dan ayah tak bincang dengan Anis dulu?”

“Bukan kami tak nak bincang, Anis. Kami sebenarnya kenal dengan keluarga lelaki itu dan kami yakin dia amat sesuai denganmu. Memang betul abangmu dapat pilih calon isterinya dulu. Itu sebab dia lelaki. Tapi, kamu seperti kakakmu, Anis. Kamu berdua perempuan. Ayah dan ibu tak nak kamu tersalah pilih. Sebab itu, kami tolong carikan untuk kamu berdua. Kamu dah 27 tahun. Kami nak tengok kamu selamat ke jinjang pelamin sebelum kami menutup mata.” Panjang sekali penjelasan yang diberikan oleh ayahku, dan aku hanya terdiam mendengarnya.

“Anis tak tahu apa yang perlu diperkatakan. Biarlah Anis naik ke bilik dulu.”

Aku meminta diri untuk ke bilikku. Aku ingin menenangkan fikiranku. Terlalu sukar untuk menolak permintaan kedua ibu dan ayahku. Nak menolak, apa alasan yang dapat kuberikan. Aku memang tiada kekasih hati dan itu menyebabkan aku tiada alasan kukuh untuk membantah keputusan mereka. Memang betul kakakku dulu pun, berkahwin dengan pilihan ibu dan ayahku, tapi berkebetulan pilihan mereka itu adalah kekasih kakak sendiri. Ibu dan ayah tidak tahu bakal menantu mereka itu sebenarnya kekasih hati anaknya sendiri dan kini kakak bahagia dengan keluarganya. Tapi, aku?

Aku tidak pernah rapat dengan mana-mana lelaki pun, apatah lagi bercinta. Tiba-tiba, aku teringatkan Iskandar, pemuda yang pernah meluahkan perasaannya padaku. Di manakah dia sekarang ini? Penat berfikir, aku tertidur akhirnya sampai ke pagi.

Keesokannya, aku nekad menerima keputusan kedua ibu dan ayahku. Seumur hidupku, belum pernah aku mengingkari perintah ibu dan ayahku. Mungkin itu jodohku dan aku pasrah dengan ketentuan-Nya. Jelas sekali mereka gembira mendengar persetujuanku. Namun, aku agak terperanjat bila mendengar kata-kata ibuku yang mengatakan bahawa pengantin lelaki tidak mahu berjumpa denganku sehingga hari perkahwinan nanti.

Hari ini, genap 6 bulan aku menjawat jawatan sebagai Penolong Pengurus di syarikat ayahku. Ini bermakna genap 6 bulan jugalah aku bergelar tunang kepada lelaki yang aku tidak tahu siapakah gerangannya yang sebenarnya. Lucu sekali mengenangkan alam pertunanganku ini yang tidak ubah seperti hari-hari biasaku dulu. Ibu dan ayahku bagaikan mahu merahsiakan segala-galanya daripada pengetahuanku.

Di pejabat pula, aku terpaksa menguruskan banyak kerja yang sepatutnya diselesaikan oleh ketuaku. Namun, pemergiannya ke luar negara untuk berkursus selama 6 bulan menyebabkan aku terpaksa bekerja keras menyudahkan kerja-kerja yang ditinggalnya.

Hari demi hari berlalu. Aku langsung tidak menyentuh persiapan hari perkahwinanku yang bakal tiba. Semuanya diuruskan oleh keluargaku. Aku hanya sibuk dengan kerja di pejabat. Apa yang perlu kulakukan? Aku tidak tahu langsung perihal tunangku. Ibu dan ayahku saja yang mengenalinya. Jadi, aku biarkan mereka menguruskan semua kelengkapan hari bersejarah yang betul-betul ‘bersejarah’ itu.

Walaupun aku tidak pernah menghiraukan persiapan perkahwinanku itu, aku tetap memastikan persiapan yang dibuat ibu dan ayahku menepati citarasaku. Aku mahu suasana pada hari itu nanti, sesuai dengan pilihan hatiku.

Aku dapat tahu bahawa Pengurus di bahagianku iaitu ketuaku akan pulang pada hari ini. Tetapi, dia menyanbung cutinya selama 3 minggu lagi atas sebab peribadi. Dan, hari perkahwinanku pula hanya tinggal seminggu lagi.

Esok adalah hari yang paling mendebarkan aku. Hari perkahwinanku! Entah mengapa hatiku begitu keruan, tidak dapat dipujuk lagi. Segala persiapan telah dibuat. Aku merenung ke arah bilikku yang telah berubah wajah. Semua benda yang berada di dalamnya berwarna biru, warna kesukaanku. Aku melangkah pula ke almari pakaianku. Aku membuka pintunya dan mengeluarkan pakaian yang akan aku pakai pada esok hari.

Malam itu, aku tidak tahu pada pukul berapakah aku terlelap. Aku tersedar apabila azan Subuh berkumandang. Selesai menunaikan Solat Subuh, aku keluar. Beberapa orang perempuan dari keluarga terdekatku sudah pun memulakan kerja-kerja sebagai persiapan terakhir di hari perkahwinanku ini. Tidak banyak tugas yang perlu dilakukan kerana kebanyakan persiapan telah dibuat awal-awal lagi.

Masa berlalu begitu cepat kurasakan. Sekarang, kami semua hanya menanti kehadiran pihak lelaki sahaja. Aku melihat ke dalam cermin di hadapanku. Berkebaya biru laut dipadankan selendang warna sedondon, ramai yang memuji kecantikanku pada waktu itu.

“Pengantin lelaki dah datang! Pengantin lelaki dah datang! Mereka dah datang!”

Kedengaran suara anak saudaraku menjerit riang. Dia adalah anak sulung abangku. Seketika kemudian, terdengar salam diberi di luar rumah. Mungkin itu suara dari rombongan pengantin lelaki, fikirku.

Beberapa belas minit kemudian, kakakku menjenguk dan meminta aku bersedia. Katanya, pengantin lelaki akan masuk menyarung cincin pada bila-bila masa saja. Debaran di dada bertambah kuat. Tiba-tiba…

“Assalamualaikum…”

Kedengaran suara seorang lelaki memberi salam di muka pintu bilikku. Beberapa orang perempuan yang berada di dalam bilik itu menjawab salam yang diberi, manakala aku hanya menjawab dalam hati sahaja. Mukaku langsung tidak kuangkat. Namun, dari sudut penglihatanku, aku dapat melihat sepasang kaki berstoking putih menghampiriku. Saat itu, tiada siapa yang tahu gelora di hatiku.

“Anis, angkatlah muka tu.”

Kedengaran suara ibuku dari satu arah. Dengan teragak-agak, aku mengangkat mukaku. Perlahan-lahan dengan penuh debar. Bila aku bertemu pandang dengan muka jejaka yang telah berjaya memiliku itu, jantungku seakan berhenti berdenyut.

“Iskandar?”

Jejaka berbaju melayu warna sepadan denganku itu hanya tersenyum. Masakan aku boleh melupakan senyuman itu. Senyuman yang pernah diberikan padaku, hampir sepuluh tahun lalu.

Semua orang yang berada dalam bilik itu nyata hairan melihat senario tersebut. Keadaan itu diselamatkan oleh ibuku dengan menyuruh aku mengambil duit hantaran yang digubah indah yang telah lama terhulur kepadaku. Aku yang mahu menutup malu pantas menyambut huluran itu. Aku sebenarnya agak keliru dengan perasaanku pada waktu itu. Gembirakah aku atau sebaliknya?

Acara menyarung cincin berakhir dan kini masing-masing yang mempunyai kamera, riuh menyuruh aku dan Iskandar berposing untuk kenangan. Aku dan Iskandar yang kini telah menjadi suamiku hanya menurut.

Majlis perkahwinan diteruskan dengan acara persandingan. Di atas pelamin yang dihias cantik itu, kami bersanding. Sesekali bertemu pandang, aku pantas melarikan mukaku dari pandangannya.

Setelah semua tetamu pulang, aku duduk bersandar di atas kerusi di beranda rumah. Penatnya! Selepas menukar pakaian tadi, aku membantu keluargaku mengemas rumah, manakala Iskandar menolong abang dan ayahku menyusun kembali perabot-perabot.

Di luar sedar, Iskandar datang duduk di sebelahku menyebabkan aku sedikit terperanjat. Dia ketawa kecil. Aku tidak tahu apa yang perlu kulakukan. Tanpa memandang wajahnya, aku akhirnya bersuara.

“Apa maksud semua ini, Is?”

“A’ah, bukan Is, tapi abang.”

Dia membetulkan ayatku membuatkan wajahku merona merah. Perlahan-lahan dia mencapai tangan kananku dan mengusapnya lembut. Kurasakan wajahku semakin panas, menahan malu. Iskandar yang mengerti, kemudiannya bersuara.

“First time abang dapat pegang tangan Anis.”

Dia tersenyum lagi. Ah, dia tidak pernah berubah. Suka tersenyum. Yang berubahnya, barangkali suaranya dan kulitnya sahaja. Suaranya garau sedikit berbanding dulu, tapi romantis bunyinya dan kulitnya pula bertambah cerah daripada dulu.

“Abang belum jawab soalan Anis tadi.” Aku semakin berani bersuara.

“Akhirnya, dapat juga abang dengar Anis panggil ‘abang’.”

Aku menjeling manja kepadanya. Dia ketawa dan mula bercerita…

“Sepuluh tahun dulu, setelah Anis keluar dari KFC, Anis terus menyepikan diri. Abang cari Anis, tapi abang akhirnya dapat tahu Anis ke oversea. Abang pasrah mengenangkan siapalah abang di hati Anis, namun abang tak dapat melupakan Anis. Hampir sepuluh tahun abang merindui sorot pandangan Anis. Abang tak pernah berputus asa untuk mencari Anis. Dalam sepuluh tahun ini, abang belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang yang berjaya seperti Anis. Sekarang, abang bersyukur kerana dapat menemui Anis sekali lagi dan memiliki Anis sebagai isteri abang.”

Aku terdiam mendengar ceritanya. Setelah dia berhenti, aku membalas…

“Bukan Anis nak menyepikan diri, tapi Anis tak tahu macam mana nak hubungi abang waktu itu. Anis masih ingat perkara yang abang katakana di KFC dulu. Sebelum bertolak ke Australia, Anis cuba menghubungi abang, namun Anis tak ada phone number abang. Nak bertanya pada rakan-rakan, tak mungkin sama sekali. Anis tak mahu masing-masing memandang serong terhadap kita.”

“Betul ke, apa yang Anis katakan ini?” Aku hanya mengangguk.

“Ehem…”

Suara orang berdehem membuatkan kami serentak berpaling. Abangku rupanya.

“Dah malam ni, nak tidur kat beranda ke malam ni, pengantin?” Usik abangku.

Aku dan Iskandar pantas berdiri. Kami melangkah masuk ke dalam rumah setelah mengunci pintu. Tanpa memandang kepada abang, kami berdua berjalan di hadapannya menuju ke bilik.


Setelah seminggu berbulan madu di Jepun, kami pulang ke tanah air. Ibu dan ayahku nampak gembira melihat layananku terhadap Iskandar. Dalam hatiku, aku mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana menemukan aku dan Iskandar kembali.

Atas permintaan Iskandar, kami berpindah ke rumahnya beberapa hari setelah pulang dari berbulan madu. Menurut Iskandar, rumah itu telah dibelinya setahun yang lepas. Ibu dan ayahku tidak menghalang dengan syarat kami perlu sering datang melawat mereka.

Hari ini adalah hari pertama Iskandar bekerja setelah 3 minggu bercuti. Aku masih bercuti kerana aku telah meminta cuti selama sebulan bermula 3 hari sebelum perkahwinanku dan kini, cutiku masih berbaki seminggu lagi.

Setelah menyediakan sarapan, aku mengejutkan Iskandar yang masih nyenyak. Setelah dia berlalu ke bilik mandi, aku menyediakan pakaian yang akan dipakainya ke pejabatnya nanti. Aku memilih sehelai kemeja warna kegemaranku dipadankan dengan tali leher warna sedondon. Kucapai sehelai seluar hitam dan meletakkannya di atas katil. Selepas itu, aku keluar menghidangkan sarapan.

Beberapa minit kemudian, aku masuk kembali ke bilik. Iskandar telah siap berpakaian. Aku menghampirinya dan membantu memakaikan tali lehernya. Sementara menanti aku selesai mengikatkan tali lehernya, dia melingkarkan tangannya ke tubuhku. Aku hanya membiarkannya, senang dilayan sebegitu. Seketika kemudian, Iskandar meleraikan pelukannya dan mencapai sikat.

Selesai bersarapan, Iskandar duduk di atas kerusi di ruang tamu. Dia mencapai stoking dan memakainya. Aku menghampirinya dan memakaikan sebelah lagi stoking ke kakinya. Dia mengucapkan terima kasih kepadaku. Aku hanya tersenyum.

Iskandar bangkit dan aku hanya mengikut langkahnya. Aku berdiri di sampingnya. Ketinggiannya melebihi ketinggianku dan dia kelihatan kacak sekali dengan penampilannya itu. Aku menghulurkan briefcasenya dan mengucup tangannya. Sebagai balasan, Iskandar menghadiahkan sebuah ciuman di dahiku. Aku berdiri di muka pintu sehingga baying keretanya lenyap dari pandanganku.

Hari-hari berlalu. Aku terpaksa kembali ke pejabat pada hari ini mengenangkan cutiku telah habis. Iskandar menawarkan diri untuk menghantarku ke pejabat dan aku bersetuju. Setelah mengunci semua pintu dan tingkap, kami menuju ke pejabatku.

Apabila tiba di pejabatku, Iskandar terus memandu keretanya ke parking pekerja. Aku jadi hairan. Iskandar tersenyum sambil mengatakan dia ada hal dengan ayahku. Aku tidak banyak soal dan melangkah ke bilik pejabatku sementara Iskandar ke pejabat ayahku.

Di pejabat, setiausaha kepada ketuaku, Hani mengatakan bahawa ketua kami telah kembali ke pejabat. Aku tiba-tiba teringatkan sesuatu. Sudah hampir setahun aku dinaikkan pangkat ke Penolong Pengurus, tapi aku belum mengenali siapakah Pengurus tersebut. Sebelum masuk ke bilikku, aku sempat berpesan kepada Hani agar memaklumkan aku apabila Pengurusku sampai.

Beberapa jam kemudian, intercom di mejaku berbunyi.

“Puan Anis, bos dah sampai,”

“Baiklah Hani, terima kasih.”

Aku keluar dari bilikku dan menuju ke bilik Pengurusku. Aku berhajat untuk melaporkan diriku kepadanya, perkara yang sepatutnya kulakukan hampir setahun yang lalu. Perlahan-lahan, aku mengetuk pintu biliknya.

“Masuk!” Kedengaran suara menyuruhku masuk.

“Selamat pagi.” Sapaku lembut setelah melangkah masuk ke bilik tersebut.

Lelaki yang duduk di atas kerusi membelakangiku itu segera berpaling. Aku ternganga.

“Abang?”

Iskandar tersenyum kepadaku.

“Apa abang buat kat sini?” Aku pantas bertanya.

“Abanglah Pengurus di bahagian ni. Ketua Anis.” Ringkas jawapannya.

“Jadi, selama ini?”

Iskandar bangun mengunci pintu dan menurunkan tirai biliknya agar para pekerja tidak ternampak keadaan dalam bilik itu. Dia menarikku ke sebuah sofa yang terletak di sudut bilik tersebut. Kami duduk di situ.

“Sebenarnya, abang dah lama bekerja dengan ayah Anis. Waktu abang mula-mula diterima kerja di sini, abang pernah terfikir adakah abang mengenali Encik Haiqal kerana abang dapat merasakan nama ini pernah abang dengar sebelum itu. Tidak lama selepas itu, baru abang tahu, Encik Haiqal tu ayah Anis. Dan sewaktu Anis dinaikkan pangkat ke bahagian ni, rasanya abanglah orang yang paling gembira.”

“Tapi, kenapa abang tiada semasa Anis masuk ke bahagian ni?”

“Anis lupa ke, abang ke London untuk kursus 6 bulan waktu itu? Selepas pulang dari London, abang bercuti 3 minggu untuk menguruskan perkahwinan kita. Bukan ke, perkahwinan kita berlangsung beberapa hari setelah abang pulang dari London, sayang?”

Iskandar terdiam seketika. Dia meraih kedua-dua tanganku dan kembali bersuara…

“Abang rasa sedikit terkilan kerana tidak dapat menyambut Anis ke bahagian ni. Abang hanya mampu meninggalkan bunga dan hadiah di meja Anis. Abang rasa Anis ada menerimanya, kan?”

Aku mengangguk. Aku teringatkan kotak muzik berbentuk gitar hati yang kuletakkan di atas meja di pejabatku. Aku sering memasangnya jika kebosanan menghadap kerja-kerja yang bertimbun menyelubungi diriku.

“Abang bangga bila abang datang minggu lepas, tengok kotak muzik itu berada di atas meja Anis. Lebih menggembirakan abang bila melihat bingkaian bunga-bunga kering pemberian abang tersangkut di dinding pejabat Anis. Terima kasih, Anis.”

“Sebenarnya Anis pun tak tahu kenapa Anis tergerak untuk membingkaikan bunga-bunga itu. Jauh dalam sudut hati Anis, seperti ada suara yang meminta Anis melakukannya.”

“Adakah itu tandanya Anis sebenarnya tak pernah melupakan abang?”

Aku mengangguk, mengiyakan sesuatu yang selama ini ingin sekali aku nafikan. Betapa selama hampir sepuluh tahun ini, aku cuba menidakkan perasaanku terhadap Iskandar.

“Dah laa tu, senyumlah sikit sayang. Lepas ni, jangan buat abang macam tu lagi. Hampir gila abang dibuat Anis. Sekarang ni, kita lupakan memori pahit dulu dan kenangi memori manis sahaja. Ok?”

Aku mengangguk. Iskandar mahu meleraikan genggaman tangannya, tapi aku menariknya kembali. Aku tunduk mengucup tangannya, memohon maaf atas segala kesilapan yang pernah kulakukan dulu.

“Abang maafkan Anis. Abang pun nak minta maaf sebab membiarkan alam pertunangan kita tak seindah alam pertunangan orang lain. Abang sebenarnya takut Anis tak dapat menerima abang.”

Aku terdiam mengenangkan waktu pertunangan kami dulu. Namun, akhirnya aku tersenyum. Aku tidak mahu lagi mengingati kenangan pahit yang telah berlalu itu. Yang penting, sekarang ni, aku harus menjaga hati dan perasaan suamiku sebaik mungkin.

Betapa kecilnya dunia ini. Pusing ke sana ke mari, aku dan Iskandar masih tetap bersama. Inikah jodoh? Pertemuan demi pertemuan antara aku dan Iskandar, mengeratkan lagi kasih sayang antara kami. Inikah pertemuan kasih kami?

TAMAT

~Hak Cipta Terpelihara 2004~


@a & @de

1983 & 1986

Back Menu