KATA ALUAN GURU BESAR
Sek.Keb Juara
 
 
    Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
    Hello! Selamat Datang ke "Laman Web SK Juara".Pelancaran Rasmi Laman Web ini pada pagi Sabtu, 8 November 1997 menandakan titik permulaan SK Juara melangkah ke Alam Informasi Teknologi Maklumat ( I T ) sebagai menyahut seruan kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membawa mutu pendidikan di Malaysia ke taraf dunia.(World Class Education) 
     
     Dengan adanya" Laman Web SK Juara " ini, SK Juara mulai dikenali di seluruh Malaysia khasnya dan di serata dunia amnya melalui jaringan internet. Hasrat pihak sekolah dan PIBG ialah dengan pelancaran Laman Web SK Juara ini, ianya mampu menarik minat para pelajar mendalami pengetahuan berhubung dengan Teknologi Maklumat melalui penubuhan Pusat Sumber Multimedia. 
 
    Penubuhan Pusat Sumber Multimedia yang lengkap dengan komputer dan kemudahan teknologi Pendidikan lain adalah bertujuan untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer di kalangan semua guru dan murid sekolah ini nanti.
 
    Bagi menjayakan hasrat ini, pihak sekolah dan PIBG sangat mengalu-alukan sumbangan kepakaran, perkakasan, perisian serta kewangan daripada ibu bapa, para dermawan, tokoh-tokoh koprat malahan agensi-agensi kerajaan dan swasta. Kepada bekas-bekas pelajar SK Juara (ataupun dahulunya dikenali sebagai SK Cherok To'Kun) yang telah berjaya dalam bidang masing-masing, derma dan sumbangan ikhlas anda kepada sekolah yang suatu masa dahulu pernah memberi didikan dan pelajaran kepada anda sekalian sangat-sangat diharapkan dan dihargai.Sampaikanlah dan hulurkanlah sumbangan ikhlas sebagai tanda sokongan dan rasa berterima kasih kerana tanpa pendidikan asas, kita tidak dapat melangkah lebih jauh ke hadapan.
 
    Akhirkata, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sumbangan derma bagi melaksanakan penubuhan Pusat Sumber Multimedia serta pelancaran "Laman Web SK Juara" Cherok To'Kun, Bukit Mertajam ini. Sesungguhnya tanpa sokongan semua pihak, hasrat ini tidak akan menjadi kenyataan. Saya mendoakan agar SK Juara akan terus maju dan berjaya dalam segala bidang yang diceburi pada masa-masa akan datang. 
    LAWATILAH SELALU LAMAN SK JUARA. 
    Sekian, terima kasih. 

    BERKHIDMAT UNTUK NEGARA 

    Saya yang menurut perintah, 

    ILLYAS BIN ISMAIL 
    Guru Besar SK Juara, 
    Cherok To'Kun, 
    14000 BUKIT MERTAJAM. 

    Bertarikh : 8 Nov,1997

 
TERUSKAN 
 

 

 

E-mail kami jika anda ada sebarang cadangan
Halaman in ditaja oleh