From Sanggang By Election Page

SELAMATKAN SURAU AL-IKHLAS, PANDAN PERDANA !

Download dalam format word

PAS Kawasan Ampang Jaya mengutuk dengan sekeras-kerasnya arahan dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ ) agar dirobohkan Surau Al-Ikhlas di Rumah Pangsa Pandan Perdana 3, Jalan 9 /10C, Pandan Perdana, 55300 Kuala Lumpur. Arahan MPAJ ini merupakan satu arahan yang tidak menghormati umat Islam bukan sahaja di Pandan Perdana malah di seluruh Ampang Jaya dan Negeri Selangor.

MPAJ langsung tidak memperdulikan keadaan umat Islam di rumah pangsa itu yang tidak mempunyai sebarang tempat untuk menunaikan solat berjamaah sekiranya surau itu dirobohkan. Kami difahamkan akibat dari kelalaian MPAJ pihak pemaju telah tidak menyediakan sebarang surau bagi rumah pangsa itu. Oleh itu memandangkan keperluan yang mendesak maka penduduk telah membina sebuah surau sementara.

Malangnya MPAJ bukannya bertindak untuk membantu mereka dengan mendapatkan sebuah surau yang kekal tetapi notis supaya merobohkan surau telah diterima pada 20 Mac yang lepas. Tindakan mengeluarkan notis ini tanpa menghiraukan keperluan umat Islam setempat merupakan satu pencabulan ke atas hak masyarakat Islam Pandan Perdana.

Kami begitu sangsi mengapa beberapa tahun yang lepas apabila pihak MPAJ mendapati sejumlah pub dab kafe haram beroperasi di sekitar Ampang Jaya maka tindakannya adalah dengan memaafkan pemilik-pemilik premis tersebut dengan mengeluarkan lesen-lesen kepada mereka. Tetapi apabila masyarakat Islam yang ingin beribadah mendirikan surau sementara yang tidak mengacau-ganggu sesiapa maka notis untuk meroboh telah dikeluarkan. Kenapakah dengan pemilik-pemilik premis yang boleh mewujudkan keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat dilayan dengan begitu mesra ? Tetapi kenapakah umat Islam Pandan Perdana didera sedemikian ? Kami juga ingin tahu apa yang telah dilakukan oleh ADUN-ADUN UMNO, terutamanya YB Mad Aris Mad Yusuf ( ADUN Pandan ) yang juga merupakan ahli majlis MPAJ sehingga boleh dikeluarkan notis tersebut ?

Dengan itu kami menuntut agar YB Mad Aris meletakkan jawatan sebagai ADUN Pandan di atas kegagalan beliau mempertahankan hak masyarakat Islam Pandan Perdana. Kami juga menuntut agar Yang Di Pertua MPAJ, Tuan Haji Mohammad Nik juga meletakkan jawatan di atas kegagalan beliau untuk memahami akan sensitiviti umat Islam dan juga di atas pelbagai keputusan-keputusan MPAJ yang jelas hanya memihak kepada kumpulan-kumpulan tertentu.

Sebenarnya apa yang berlaku di Ampang Jaya ini merupakan sikap sebenar UMNO/Barisan Nasional terhadap Islam di negara kita. Beginilah keadaannya apabila kita diperintah oleh sebuah parti yang tidak prihatin kepada kehendak-kehendak umat Islam. Dengan itu kami menyeru kepada umat Islam di Ampang Jaya dan mereka yang cintakan keadilan sejagat supaya menyatakan sokongan kepada masyarakat Islam Pandan Perdana yang berhadapan dengan satu bentuk penindasan.

Kami juga menggesa mereka supaya menggunakan saluran-saluran yang dibenarkan oleh undang-undang untuk menyatakan bantahan terhadap tindakan yang tidak berperikemanusian ini serta sikap tidak bertanggung-jawab ADUN Pandan itu. Jangan biarkan peristiwa Masjid Babri berulang di Ampang Jaya !

Iskandar Abdul Samad
Setiausaha PAS Kawasan Ampang Jaya
19 Zulhijjah 1420 / 25 Mac 2000

Download dalam format word