From Sanggang By Election Page

Memorandum Menuntut Dato' Adnan Yaacob Meminta Maaf Kepada Pengundi Dan Penyokong BA.

Pilihanraya kecil DUN Sanggang semakin menjelang tiba. Maka, inilah peluang keemasan bagi seluruh rakyat Malaysia, khasnya di Sanggang untuk memilih wakil rakyat baru yang akan membela nasib dan masa depan mereka serta generasi yang akan datang. Kita juga mengharapkan agar pilihanraya kecil ini akan berjalan dengan penuh lancar dan adil tanpa ada sebarang kejadian buruk atau hina dari mana-mana pihak.

Malang sekali, kebiadaban Dato' Adnan Yaacob terhadap para pengundi BA telah mula mencerminkan 'kekotoran' pilihanraya kecil yang akan berlangsung dalam masa beberapa hari lagi. Sekiranya di Jepun ini berlaku perkara yang sedemikian, maka kerajaan dan rakyat tidak akan dapat memaafkan sama sekali perbuatan biadab seperti itu dan orang yang berkenaan haruslah meletakkan jawatannya secepat mungkin.

Menyedari kejadian biadab tersebut, maka kami para ahli Pakatan Pelajar Elit Pahang Jepun (PPEPJ), MENDESAK DAN MENUNTUT Supaya Dato' Adnan Yaacob meminta maaf secara terbuka kepada seluruh pengundi dan penyokong BA, khasnya di Sanggang sebelum pilihanraya kecil berlangsung. Jika ini tidak dapat dilakukan, maka amatlah wajar bagi seluruh rakyat Sanggang untuk menghukum tindakan biadab tersebut dengan memberi undi dan kepercayaan yang tidak berbelah bagi kepada calon BA, Dato' Hishamuddin Yahaya demi menjaga maruah kita rakyat Pahang, khususnya di Sanggang.

Sekian.

Mohd Arshad Osman,
Setiausaha Agong,
Pakatan Pelajar Elit Pahang Jepun (PPEPJ), Tokyo, Jepun.

Bertarikh 22 Zulhijjah 1420, bersamaan 28 March 2000