From Sanggang By Election Page

'KEMENANGAN' TANPA BERTANDING PRESIDEN DAN TIMBALAN PRESIDEN UMNO MEMALUKAN

Oleh Ronnie Liu

DAP memandang 'kemenangan' tanpa bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO tidak sewajarnya disambut dengan ucapan syabas dan pujian 'tetap unggul' (sebagaimana digembar-gemburkan oleh akhbar-akhbar pro-Barisan Nasional) kerana 'kemenangan' itu adalah kemenangan kosong.

'Kemenangan' itu telah diperolehi secara yang amat tidak demokratik. Semua orang tahu bahawa sebelum ini pucuk pimpinan tertinggi UMNO telah mengeluarkan arahan (ugutan?) kepada Bahagian-bahagian agar kedua-dua jawatan tersebut tidak dipertandingkan. Ini diikuti pula dengan pesan dan arahan para pemimpin UMNO lain untuk memastikan pencalonan untuk kedua-dua jawatan tertinggi itu diberi hanya kepada Dr Mahathir dan Abdullah Badawi. Rakyat sudah masak dengan sepak terajang politik UMNO.

Lihat saja apa yang berlaku di Melaka apabila Ali Rustam Ketua Menteri membatalkan apa-apa kontrak dan perjanjian Kerajaan (seperti doktor panel, kontraktor, khidmat guaman, pegawai kerajaan) yang telah beri kepada mana-mana pihak yang pro-pembangkang.

Perbuatan kejam ini menghantar isyarat kepada semua pihak bahawa sesiapa yang berani membangkang akan menerima padahnya ! UMNO sudah tidak tahu apa erti demokrasi dan 'sporting'spirit' Dengan kedudukan Dr Mahathir tidak tercabar, maka tiadalah harapan untuk UMNO melakukan reformasi dalaman dan negara sepertimana yang diidamkan oleh ahli-ahli biasa dalam UMNO.